Sabtu, Februari 26, 2011

Hajah Munah Menunaikan Umrah

Segala persiapan sudah disediakan. Dari beg pakaian hinggalah kepada keperluan semasa di tanah suci nanti. Begitulah persediaan Hajah Munah untuk ke Mekah bagi menunaikan umrah.

Kali ini beliau mengikuti rombongan De Mawardah Travel & Tours bersama adiknya, Haji Ahmad dan isteri beliau. Jemaah lain juga ramai yang mengikuti pakej umrah ini. Kali terakhir Hajah Munah menunaikan umrah ialah pada 30 Mei 2009 bersama Arif, Yunus dan Sarah.

Pukul 11.58 malam, 18 Februari 2011, ramai tetamu yang merupakan sanak saudara dan jiran-jiran berkumpul di halaman rumah Mak Munah. Azan berkumandang dan dilaungkan oleh Pak Long Latip. Sebaik selesai azan, Mak Munah menaiki kereta Naza Ria Zaki. Kami sekeluarga menyusul kemudian.

Mengikut jadual yang dikeluarkan oleh agen, semua jemaah harus berada di KLIA pada jam 3.00 pagi, 19 Februari 2011 dan penerbangan menggunakan Garuda Airlines akan berlepas ke Jakarta pada jam 7.45 pagi sebelum transit dan berlepas ke Jeddah pada jam 12.30 tengah hari.

Pukul 2.30 pagi, kami berehat di Stesen Petronas KLIA sebentar sebelum bergerak ke Balai Berlepas, Aras 5 KLIA pada jam 3.30 pagi. Akhirnya setelah menurunkan penumpang, aku meletakkan kereta di tempat letak kereta KLIA. Pukul 4.45 pagi, proses check-in bagasi dilakukan dan kemudian taklimat tentang perjalanan disampaikan oleh wakil agen di suatu sudut di ruang terbuka KLIA.

Sebaik selesai sembahyang Subuh, semua jemaah berkumpul bersama ahli keluarga masing-masing. Kemudian jemaah mula bersalaman dan berpelukan dengan sanak saudara kerana mereka akan bertolak sebentar lagi.

Sebaik mengiringi jemaah, aku disapa seseorang yang aku kenali. Azlina Azhari, Pegawai Kewangan Kanan, Pejabat Bendahari, UTeM yang turut sama menghantar ibu saudaranya menunaikan umrah menggunakan agen yang sama.

Jam 7.00 pagi, Mak Munah bersama jemaah-jemaah lain memasuki balai berlepas dan kami hanya melambaikan tangan kepada beliau sebagai tanda selamat jalan.

Sebaik hilang kelibat Mak Munah dari pandangan mata, aku lihat Ida dan Miza mengalirkan air mata. Aku faham situasi isteri dan anak aku yang terasa dengan perpisahan ini tetapi aku cuba menenangkan keduanya. Aku memujuk Miza dan memaklumkan perpisahan ini hanya dua minggu sahaja. Beliau bersetuju tetapi masih belum boleh menerima kenyataan tersebut.

Jam 8.30 pagi, kami bertolak pulang ke Melaka setelah menjamah bekalan yang dibawa di tempat letak kereta Masjid KLIA. Semalaman aku tidak dapat melelapkan mata dan pagi itu aku terus memandu walaupun penumpang di kiri dan belakang aku semuanya lelap. aku sampai di Melaka pada jam 10.20 pagi.

Pakej umrah yang disertai oleh Mak Munah ini tempohnya ialah 2 minggu. Beliau bersama jemaah lain dijangka tiba di KLIA pada 4 Mac 2011, jam 8.10 malam menggunakan Garuda Airlines.

Semoga perjalanan Mak Munah bersama jemaah lain selamat dan mendapat umrah yang mabrur.




























Lawatan ke Nottingham University Malaysia Campus Library

Pada 17 Februari 2011, satu lawatan kerja seramai 11 orang pustakawan dari UTeM berpeluang meninjau kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan di University of Nottingham Malaysia Campus, Semenyih, Selangor Darul Ehsan. Taklimat disampaikan oleh Puan Khan Quay Kin, Head of Library and Information Services.

Terima kasih kepada pihak tuan rumah khususnya kepada Margaret Rozario, Ng Siew Ling, Karen Kuan Chee Hong, Rosnani Abdul Rahman, Zamri Hamzah dan semua warga perpustakaan tersebut di atas layanan yang diberikan.

Perpustakaan ini mempunyai koleksi sejumlah 27,000 bahan monograf dan 32,000 dalam bentuk e-books manakala bahan AV pula berjumlah 3,000 unit. Mempunyai infrastruktur ICT yang baik yang dapat menyokong kepada kecemerlangan universiti berkenaan,

Lawatan ini memberikan manfaat terutama dari segi 'benchmarking' dari banyak sudut dalam meningkatkan kemajuan Perpustakaan UTeM.





















Hari Keluarga Hj. Ayup 2011

Sambutan Hari Keluarga Hj. Ayup Kali Ke-2 telah diadakan di Glory Beach Resort, Port Dickson pada 3 dan 4 Februari 2011. Seramai 45 orang ahli keluarga ini yang datangnya dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka berkumpul untuk mengadakan aktiviti sukaneka yang bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli.

Hari Keluarga Hj. Ayup kali pertama telah diadakan di Kalumpang Resort & Training Centre (KRTC), Perak pada 25 Disember 2009.

Di antara acara sukaneka yang diadakan ialah makan buah, pecah belon, boling kelapa, bola tampar pantai, berkayak dan acara kolam. Pada sebelah malam diadakan bacaan Yaasin dan tazkirah. Selepas itu diadakan pula aktiviti bertukar-tukar hadiah di kalangan ahli keluarga dan aktiviti bahasa isyarat.

Tuan Hj. Ayup dan Puan Hajjah Khadijah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang. Di akhir acara, Tuan Hj Ayup membacakan doa selamat dan diaminkan oleh kesemua anak-anak dan cucu-cucunya.

Dalam perjalanan pulang ke Melaka, singgah di Kota Kuala Linggi untuk makan tengah hari sekeluarga. Terima kasih kepada semua ahli keluarga Hj. Ayup yang bertungkus-lumus menjayakan program ini especially 'orang dapur'.

Cabaran untuk semua ahli keluarga, pesan Tuan Hj. Ayup tahun depan buat Hari Keluarga di Kelantan pula...

Semoga perancangan yang rapi dapat disusun dengan rapi agar hari keluarga seterusnya dapat direalisasikan dengan jayanya.