Jumaat, September 30, 2011

Jamuan Makan Rakan Sekerja

Pada petang Jumaat, 30 September 2011, aku, Arif dan Mohd Mawardi, rakan sekerja bergerak ke Taman Krubong Perdana di Krubong. Tujuan kami ialah untuk memenuhi undangan majlis jamuan makan oleh dua orang staf perpustakaan yang juga staf di unit kami.



Rumah pertama yang kami kunjungi ialah rumah Puan Fauziah. Walaupun kami bergerak tanpa pelan rumah, berdasarkan maklumat yang ada pada Mohd Mawardi, kami berjaya juga mencari rumah beliau. Memang benar, kedudukan rumah Puan Fauziah agak jauh ke belakang berhampiran dengan tangki air dan pokok getah.



Kami adalah antara tetamu yang paling awal sampai walaupun menu istimewa iaitu nasi ayam Singapura masih belum tiba. Menurut Mohd Mawardi, beliau bersedia menunggu sehingga menu istimewa itu sampai sebelum bergerak ke rumah staf yang lain.

Hampir setengah jam menunggu, kami duduk di sofa dalam rumah beliau sambil berbual-bual dan menikmati dekorasi hiasan dalaman rumah berkenaan.

Sebaik selesai menjamu selera, kami meminta diri untuk mengunjungi rumah Puan Rohana. Lokasi rumah Puan Rohana letaknya kira-kira 500 meter daripada rumah Puan Fauziah.



Sewaktu kami tiba, beberapa orang staf perpustakaan sedang menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah. Menu utama ialah punten, iaitu makanan tradisi Jawa seperti ketupat tetapi ianya sedikit lembik. Makanan ini dimakan bersama sambal ataupun rendang. Memang sedap tetapi dek kekenyangan makan nasi ayam, kami menjamah juga. Arif langsung tidak makan punten kerana terlalu kenyang.

Sedang kami menjamu selera, beberapa orang staf lagi sampai dan suasana menjadi lebih meriah.

Pukul 6.30 petang, kami bersalaman dengan tuan rumah dan bergerak balik ke pejabat. Buat kedua staf yang menjemput kami, diucapkan ribuan terima kasih. Kata orang tua, terima kasih daun keladi, kalau sudi jemput kami lagi...

Membeli-belah Di Ayer Hitam

Khamis, 22 September 2011. Hari ini aku cuti. Sebelah pagi aku menguruskan anak-anak ke sekolah. Kemudian aku ke rumah Mak Bedah untuk menjemput Babah bersarapan pagi di warung. Selepas bersarapan pagi, Babah memaklumkan bahawa beliau ada appointment dengan doktor untuk pemeriksaan kesihatan berjadual di Klinik Kesihatan Peringgit. Hampir tiga jam menguruskan Babah, akhirnya pukul 12.30 tengah hari, kami singgah di Medan Selera Semabok untuk makan tengah hari.

Pukul 1.40 petang, aku menjemput anak-anak di sekolah. Kemudian selepas menguruskan anak-anak makan tengah hari, kami bersiap untuk ke Kluang, Johor bagi menjemput Ida. Untuk makluman, Ida menghadiri kursus selama 4 hari iaitu dari 19 hingga 22 September 2011 di INTAN Kluang.



Pukul 3.00 petang, kami bergerak melalui Lebuh AMJ dan masuk ke Lebuhraya Utara-Selatan melalui Plaza Tol Jasin. Akhirnya jam 5.00 petang , kami sampai di INTAN Kluang.

Anak-anak sudah tidak sabar untuk bertemu ibu mereka. Mak Munah pun ikut sama. Setelah melalui pintu masuk INTAN Kluang, kami akhirnya menjemput Ida pulang.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Ayer Hitam. Cadangan asal ialah untuk membeli ubat lelah Ida di sana, malangnya produk kesihatan itu tidak lagi dihasilkan oleh penjualnya.

Kami ke deretan kedai yang menjual pelbagai jenis barang-barang perhiasan dan seramik, hasil pertanian dan permainan. Mak Munah berhajat untuk membeli pasu dan bunga-bunga hiasa kering. Alim dan Miza pula inginkan kereta yang dikawal melalui remote control. Aku pula membelikan Babah hasil pertanian seperti keladi dan keledek seperti yang dipesan oleh beliau. Lama juga kami di sana. Selain meninjau barang-barang yang ingin dibeli, proses tawar-menawar juga mengambil masa yang agak lama.


















Pukul 7.15 malam, kami selesai membeli barangan yang dicari. Akhirnya kami bergerak pulang ke Melaka. Memandangkan anak-anak lapar, kami singgah makan di Hentian Rehat dan Rawat, Pagoh.

Kami sampai di rumah pada jam 9.30 malam. Walaupun penat, hati terasa puas dapat mengisi masa cuti dengan berfaedah.

Malam itu, aku mendapat panggilan daripada Arif meminta beberapa helai pakaian dihantar ke asrama kerana keesokan harinya, beliau akan menghadiri satu kursus di Umbai, Melaka.

Gerai Eidulfitri UTeM

Sempena Majlis Sambutan Eidulfitri 1432H Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah diadakan pada 20 September 2011 lalu, hampir semua PTj dan fakulti telah bertungkus-lumus membuat persiapan bagi menghias gerai masing-masing mengikut konsep yang telah dipilih mereka.

Staf di PTj dan fakulti akan berbincang sesama mereka dan hasilnya ialah kreativiti hiasan dapat dilihat daripada persiapan terakhir gerai-gerai tersebut.



Sempena Majlis Sambutan Eidulfitri 1432H ini, diadakan beberapa pertandingan gerai bagi menampakkan kerjasama yang lebih erat di kalangan PTj dan fakulti.

Kategori pertandingan tahun ini ialah Gerai Paling Ceria dan Tercantik, Gerai Menu Paling Digemari, Gerai Staf Paling Bekerjasama dan Gerai Perkhidmatan dan Layanan Terbaik.



































Majlis yang diselenggarakan oleh Pusat Islam ini merupakan aktiviti tahunan universiti dan ianya bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara jemputan dan warga kampus.

Tetamu khas pada majlis ini ialah TYT Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob merangkap Canselor UTeM.