Isnin, April 30, 2012

Lawatan Audit Pemantauan ISO9001:2008

Isnin, 30 April 2012. Hari ini satu lawatan audit pemantauan daripada SIRIM QAS International telah diadakan di Perpustakaan UTeM. Lawatan ini diketuai oleh Encik Mohamad Rafidi Mat Dahan selaku Ketua Pasukan Audit dan Puan Nurhasifah Abdul.

Pasukan audit ini tiba jam 9.30 pagi dan disambut oleh Encik Mohd Mawardi Badruddin, selaku pegawai pengiring. Mesyuarat pembukaan audit telah diadakan pada jam 9.50 pagi dengan pengenalan diri pustakawan oleh Ketua Pustakawan kepada para auditor.

Di antara objektif lawatan audit pemantauan ini ialah bagi mengesahkan sistem pengurusan kualiti organisasi dilaksana dan diselenggara secara berkesan menepati keperluan-keperluan yang ditetapkan oleh standard ISO 9001:2008.


Encik Mohamad Rafidi Mat Dahan (Ketua Auditor) dan Puan Nurhasifah Abdul ketika membentangkan laporan audit.

Ia juga bagi menilai sekiranya terdapat perubahan kepada sistem pengurusan kualiti dan kesannya serta sebagai satu tindakan susulan terhadap keberkesanan tindakan pembetulan yang diambil ke atas penemuan-penemuan audit yang lepas.

Semakan dokumen dan susulan terhadap penemuan yang lalu telah diadakan secara serentak pada jam 10.20 pagi. Encik Mohamad Rafidi membuat semakan dan penilaian terhadap penghasilan produk dan perkhidmatan merangkumi semua aktiviti pengurusan perkhidmatan seperti pendaftaran keahlian, perolehan bahan, pengkatalogan, pinjaman dan pemulangan serta persekitaran kerja.

Puan Nurhasifah pula membuat semakan terhadap pengukuran, analisa dan penambahbaikan produk dan perkhidmatan meliputi audit dalaman, pengendalian aduan pelanggan, tindakan pembetulan dan pencegahan, analisa data dan penambahbaikan berterusan.

Beliau juga menyemak tentang tanggungjawab pengurusan merangkumi kajian semula pengurusan serta menyemak perolehan bahan merangkumi aktiviti pemilihan, penilaian dan kawalan ke atas khidmat luaran.

Pada jam 5.00 petang, semasa mesyurat penutup lawatan audit pemantauan, satu laporan dihasilkan dan dibentangkan oleh kedua auditor ini. Dua NCR kecil dikeluarkan yang melibatkan kajian semula pengurusan dan juga berkaitan audit dalaman. Selain daripada itu terdapat tiga peluang penambahbaikan diutarakan auditor bagi memantapkan proses sedia ada. Pihak perpustakaan diberi tempoh tiga bulan untuk memperbaiki NCR ini dan memberikan maklumbalas kepada SIRIM QAS.

Secara keseluruhan, auditor memaklumkan bahawa kualiti perkhidmatan di tahap yang baik dan boleh dipertingkatkan lagi pada masa hadapan.

Lawatan pemantauan audit tamat jam 5.40 petang.

Isnin, April 23, 2012

Cerita Tok Imam Tak Ambil Air Sembahyang

Arakian, tersebutlah kisah seorang suami (kita namakan Abang Mat) yang malas solat di masjid - termasuklah liat menunaikan sembahyang Jumaat. Mak Mentua yang solehah amatlah susah hati dengan perangai menantunya itu.

Setelah puas berdoa dan memberikan nasihat, akhirnya Mak Mentua mendapat satu ilham. Mak Mentua yang baru pulang dari mengerjakan umrah itu pun menziarahi menantunya membawa jubah dan serban.

"Mak belikan jubah dan serban ini kepada anak - semoga anak dapat menjadi menantu yang soleh," kata Mak Mentua kepada menantu. Si menantu menerima hadiah dari Mekah itu dengan selamba saja.

Dalam hati, Abang Mat kata ini mesti Mak Mentua nak perli. Bagaimanapun, demi menjaga hati Mak Mentua, si menantu ini pun memakai jubah dan serban baru itu, lalu melangkah dengan penuh bergaya untuk solat Maghrib di masjid.

Tiba di masjid, semua orang memandang Abang Mat dengan penuh kehairanan. Pertama, mereka tak pernah melihat beliau di masjid sebelum ini. Malah, ramai juga jemaah yang berbisik sesama sendiri melihat "tok syeikh" yang kelihatan cukup hebat. Kedua, para jemaah di kampung itu hanya memakai kain pelikat dan baju Melayu saja. "Ini tentu tok syeikh hebat," bisik sesama mereka apabila melihat dia memakai serban dan jubah.

Melihat kehebatan pakaian Abang Mat, tok imam mempersilakannya untuk mengimami solat maghrib berjemaah. Mula-mula Abang Mat menolak, tetapi setelah dipaksa akhirnya dia mara ke hadapan dan menjadi imam.

Abang Mat memang "ada tokoh" menjadi imam. Bacaan dalam solat cukup baik.

Selepas solat, tok imam tadi menghampiri Abang Mat sekali lagi.

Kata tok imam masjid itu, "Hebat bacaan tuan syeikh dalam solat tadi. Mengalahkan imam di Mekah!"

Dengan tersipu-sipu tetapi penuh kebanggaan, Abang Mat menjawab, "Oh, itu belum cukup sedap lagi. Kalau saya ambil air sembahyang sebelum solat, bacaan saya lagi sedap!"

Ahad, April 22, 2012

Menghadiri Majlis Perkahwinan

Menggunakan masa terluang menunggu Miza yang menghadiri Bengkel EZ Math di Perpustam tengah hari tadi, aku, Ida dan Alim mengambil keputusan untuk memenuhi undangan perkahwinan salah seorang staf Perpustam iaitu Mohd Azizul.

Kami bergerak ke lokasi majlis di Sg, Udang, Melaka pada pukul 11.30 pagi dan sampai kira-kira setengah jam kemudian. Selain kami sekeluarga, turut bersama kami tetapi menggunakan kenderaan masing-masing ialah Kamariah, Noriah dan Suriati bersama anaknya, Fatehah.



Pukul 12.20 tengah hari, sewaktu kami mula beredar dari majlis setelah selesai menjamu selera, kedua mempelai iaitu Mohd Azizul bersama isterinya, Siti Masriana baru sahaja tiba menandakan perarakan pengantin bersama rombongan bakal bermula. Keduanya mengenakan pakaian sedondon merah.

Kami sempat bersalaman dengan pengantin sebelum bergerak balik ke Perpustam.

Kepada kedua mempelai, kami sekeluarga mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Pengantin Baru, semoga kekal ke anak cucu.

Miza Hadir Bengkel EZ Math

Ahad, 22 April 2012. Pukul 9.00 pagi, sebaik selesai bersarapan di sebuah warung di Duyong, aku, Ida dan Alim singgah di Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) untuk mendaftarkan Miza dalam Bengkel EZ Math yang diadakan di Auditorium Perpustam.



Bengkel ini anjurkan oleh sebuah syarikat iaitu EZ Math Sdn. Bhd. dari Taman Alam Megah, Shah Alam. Syarikat ini bukan sahaja mengadakan bengkelnya di Melaka malah di seluruh Malaysia mengikut tarikh-tarikh yang telah dirancangkannya. Ia dikendalikan oleh seorang fasilitator dan penulis iaitu Encik Zullaili Harun.

Bengkel ini menekankan kaedah pantas pengiraan matematik bagi tambah, tolak, darab dan bahagi. Seperti lain-lain peserta, Miza juga dibekalkan dengan buku-buku latihan Ez Math. Di antara judul bukunya ialah Mathematics EZ - Multiplication and Division Practice, Subtraction Practice dan Addition Practice.



Sebaik bengkel bermula, ibu bapa diminta tidak bersama anak-anak bagi membolehkan anak-anak fokus kepada latihan dan kaedah pengiraan yang disediakan. Kami mengambil keputusan untuk duduk di ruang lain di perpustakaan. Para peserta disediakan minum pagi, makan tengah hari dan juga minum petang.

Pukul 5.00 petang, ibu bapa dibenarkan untuk mengambil tempat di mana ada sesi penerangan daripada fasilitator kepada ibu bapa. Ibu bapa diterangkan kaedah pengiraan agar dapat membimbing anak-anak semasa di rumah. Bengkel berakhir jam 6.15 petang.

Sesungguhnya dengan pendedahan dan latihan sebegini diharapkan Miza akan lebih mahir dari segi pengiraan di dalam subjek Matematik.


Miza sedang menyelesaikan latihan matematik yang disediakan.


Sebahagian peserta membuat latihan yang diberikan.


Tekun.


Miza.


Miza dan adiknya Alim.


Para peserta sewaktu rehat.


Miza menjamu selera.


Sesi bersama ibu bapa.

Jumaat, April 20, 2012

Lawatan Audit Dalaman

Pada 19 dan 20 April 2012, satu pelan audit dalaman telah dijalankan di Perpustakaan UTeM sebagai persediaan untuk lawatan audit pemantauan ISO 9001:2008 oleh SIRIM pada 30 April 2012.

Lawatan audit dalaman pada ini diketuai oleh Encik Mohamad Yusof bin Mohamad Dan dari Pejabat Pendaftar yang bertindak sebagai Ketua Auditor dibantu oleh Encik Mohd Mawardi bin Badruddin sebagai auditor.



Mesyuarat pembukaan audit telah diadakan pada jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Perpustakaan. Ia dipengerusikan oleh Puan Hajah Faridah Md. Amin, Ketua Pustakawan dan turut dihadiri oleh pemilik-pemilik proses dan lain-lain pustakawan.

Menurut Ketua Auditor, lawatan audit bukanlah untuk mencari kesalahan tetapi bertujuan untuk penambahbaikan dalam proses kerja sedia ada. Katanya lagi, skop yang akan dinilai ialah dari segi perkhidmatan perpustakaan di mana beberapa dokumen disemak seperti manual kualiti, prosedur MS ISO 9001:2008, 11 dokumen yang melibatkan prosedur yang telah dikenalpasti serta lain-lain dokumen.

Antara kaedah yang dijalankan ialah temubual, pemerhatian, semakan rekod dan dokumen serta laporan bertulis.

Mulai jam 9.40 pagi, secara berperingkat-peringkat, pemilik proses dipanggil untuk dinilai dokumen dan proses yang telah didokumenkan itu. Ada teguran-teguran positif yang diberikan oleh para auditor yang boleh membantu dari segi penambahbaikan proses kerja sedia ada. Hampir semua proses kerja disemak dan diteliti.

Pada sebelah pagi, 20 April 2012, para auditor kelihatan bertungkus-lumus menyediakan laporan audit untuk pembentangan dapatan-dapatan audit pada sebelah petang.



Pada jam 3.00 petang, satu mesyuarat penutup diadakan di Bilik Mesyuarat Perpustakaan. Mesyuarat penutup ini dihadiri seramai 18 orang termasuk Ketua Pustakawan, auditor dan para pustakawan yang juga pemilik proses.

Berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh ketua auditor, tiada NCR diberikan oleh melainkan beberapa teguran untuk penambahbaikan dari segi proses kerja dan dokumen. Secara keseluruhannya, laporan audit mendapati kesemua 11 prosedur kerja dipatuhi.

Auditor mencadangkan perlunya pegawai penyemak dokumen atau wakil pengurusan dilantik kerana pegawai berkaitan sebelum ini sudahpun bersara.

Dari PK01 hingga PK11, perkara yang ditegur oleh auditor ialah berkaitan simbol pada carta alir, pernomboran pada proses, terminologi, akronim, kod dan tanggungjawab pegawai.

Ketua auditor juga mencadangkan agar pembetulan atau penambahbaikan pada dokumen perlu disiapkan sebelum lawatan audit SIRIM hujung bulan April nanti. Yang penting, dalam proses kerja, apa yang dibuat perlu didokumenkan, perkara yang didokumenkan harus dilaksanakan.

Sesi penutup berakhir jam 4.30 petang.

Ahad, April 15, 2012

Mengisi Masa Bersama Keluarga

Sabtu, 14 April 2012. Cuti hujung minggu begini dapatlah aku mengisi masa terluang dengan pelbagai aktiviti. Sebaik menghantar Arif menghadiri tuisyen Bahasa Arab, aku ke rumah Mak Bedah untuk mengetut pokok jambu air (jambu bertih) merah dan putih. Jam 1.00 tengah hari, aku dan Arif pulang ke rumah dan kemudian menghantar Alim dan Miza menghadiri tuisyen Bahasa Cina.

Pukul 5.00 petang, kami sekeluarga menjemput semula Alim dan Miza di pusat tuisyen dan kemudian singgah di Batu Berendam untuk memenuhi hajat anak-anak. Beberapa hari lepas, anak-anak menyatakan keinginan untuk menikmati ayam goreng KFC.

Paling bersungguh-sungguh ialah Alim yang menjamah sehingga 4 ketul ayam goreng manakala yang lain-lain sekadar satu atau dua ketul sahaja.

Hampir Maghrib, kami pulang ke rumah dan anak-anak mengucapkan terima kasih serta menyatakan kepuasan kerana dapat menikmati ayam goreng KFC.


Kaunter KFC Batu Berendam.


Nur Arifah Adlina.


Anak-anak tidak sabar menikmati ayam goreng KFC.


Alim yang paling bersungguh-sungguh...


Menikmati ayam goreng.


Ifa dan Miza.


Muhammad Arif.


Sambil makan sambil membaca berita di akhbar.


Berbual.


Arif.


Ifa.


Berbual-bual selepas makan.

Khamis, April 12, 2012

Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14

Rabu, 11 April 2012. Istiadat pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 telah diadakan di Istana Negara pagi ini dengan upacara pemeriksaan barisan kehormat.

Seramai l07 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang terdiri daripada tiga pegawai dan 104 anggota lain pangkat, terbabit dalam perbarisan kehormat di anjung utama Istana Negara.

Tuanku Abdul Halim dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah diiringi ke Pentas Diraja oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menerima "Hormat Diraja", yang diikuti dengan lagu "Negaraku."

Serentak dengan lagu "Negaraku' dimainkan, Bendera Peribadi Seri Paduka Baginda dikibarkan.

Selesai upacara itu, Seri Paduka berdua bersemayam di Bilik Seri Maharaja, sebelum berangkat ke Balairong Seri untuk upacara pertabalan yang buat julung kalinya diadakan di Istana Negara baru, Jalan Duta, yang berdiri megah sebagai lambang pemerintahan Raja Berperlembagaan di Malaysia.

Pertabalan kali ini turut melakar sejarah kerana buat pertama kali Sultan yang sama dilantik semula sebagai Ketua Negara sejak sistem giliran memegang jawatan di kalangan sembilan Sultan dan Raja dipraktikkan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Tuanku Abdul Halim pertama kali ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 1970 semasa berusia 42 tahun, dan kini empat dekad kemudian, baginda ditabalkan sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada usia 84.

Upacara tersebut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan turut dirakamkan oleh National Geographic Channel dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk penerbitan dokumentari bagi siaran di persada antarabangsa.

Dokumentari pertabalan kali ini menumpukan kepada keunikan dan keistimewaan pelantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong untuk kedua kalinya.

Biodata

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berasal dari susur galur kesultanan Kedah sejak 1,200 tahun dahulu.

Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit dan mendapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Baginda memperoleh Ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam daripada Wadham College Oxford, United Kingdom.

Selepas kemangkatan ayahandanya, Sultan Badlishah, baginda menaiki takhta sebagai Sultan Kedah ke-27 pada 15 Julai 1958.

Baginda pernah menyertai perkhidmatan awam Kedah di Pejabat Daerah Kota Setar dan Pejabat Perbendaharaan negeri pada tahun 1950an.

Ditabalkan Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 bersama Raja permaisuri Agong, Tuanku Sultanah Bahiyah.

Baginda mendirikan rumahtangga dengan Sultanah Hajah Haminah pada 25 Disember 1975.

Selepas kemangkatan Tuanku Sultanah Bahiyah pada 2003, Sultanah Haminah ditabalkan sebagai Sultanah Kedah pada 9 Januari 2004.

Pada 15 Julai 2008, Tuanku Abdul Halim menyambut Jubli Emas ulang tahun pemerintahan ke-50.

Majlis Bercukur Jambul & Akikah

Selasa, 10 April 2012. Setelah beberapa hari bercuti rehat, hari ini aku bekerja semula dan bertugas syif malam.

Jam 6.15 petang, aku, Mahadir, Noor Rahman dan Mohd Nazir bergerak ke Taman Seri Duyung 2 untuk memenuhi undangan Muhammad Afis dan Noraini yang mengadakan Majlis Bercukur Jambul & Akikah anak sulung mereka, Muhammad Aisy Danial.



Muhammad Aisy Danial berumur lebih kurang 4 bulan telah dilahirkan pada 26 November 2011di Hospital Besar Melaka.

Jamuan makan bermula dari jam 4.00 petang hingga 10.00 malam manakala Majlis Bercukur Jambul & Akikah diadakan selepas waktu Isyak.

Sewaktu sampai di lokasi majlis, kelihatan Puan Hajah Faridah, Ketua Pustakawan sedang menjamu selera bersama anak perempuan beliau. Turut hadir ialah Zaidi Saad, Muhamad Hafeez, Mohd Rashid, Harulrizam dan juga Razali dari HEPA.

Antara menu yang dihidangkan ialah roti jala, mee sup, ketupat, kuih-muih dan lain-lain lagi.

Sambil makan sambil bersembang. Sedar tak sedar sudah menjelang Maghrib. Akhirnya aku dan rakan-rakan yang duduk semeja meminta diri untuk beredar.


Muhammad Aisy Danial selepas dibotakkan.

Walaupun kami tidak berkesempatan untuk menghadiri Majlis Bercukur Jambul pada sebelah malam, memenuhi undangan dikira memadai. Semoga majlis berjalan dengan lancar dan semoga harapan tuan rumah termakbul hendaknya.

Foto: FB Stramberrymanis

Selasa, April 10, 2012

Pembentangan Siasatan Kehilangan Aset Universiti



Rabu, 4 April 2012. Hari ini aku menghadiri pembentangan satu kes kehilangan aset di universiti. Aku hadir jam 9.15 pagi di lokasi yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa Kehilangan Aset Universiti iaitu di Bilik Mesyuarat, Pejabat Bendahari.

Sewaktu dijemput masuk oleh urusetia mesyuarat, aku lihat ramai ahli jawatankuasa yang aku kenali termasuk bos aku sendiri. Tujuh orang semuanya dan termasuk urusetia dan pegawai dari Pejabat Bendahari, aku kira sepuluh orang semuanya. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Bendahari.

Sebaik duduk di kerusi yang telah ditetapkan, aku lihat skrin besar sudah memaparkan butir-butir siasatan seperti mana yang tertera dalam laporan akhir hasil siasatan aset (KEW.PA 30) yang aku hantar seminggu lepas.

Aku diminta membentangkan hasil laporan mengikut paparan di skrin dan pada masa yang sama, ahli jawatankuasa turut mendapatkankan maklumbalas terus daripada aku yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyiasatan Kehilangan Aset Universiti sebelum ini.

Jawatankuasa Kehilangan Aset Universiti juga sukar membuat keputusan untuk menjatuhkan hukuman kepada pegawai yang terlibat dengan kes kehilangan aset ini disebabkan jasa dan tanggungjawab pegawai berkenaan terhadap universiti berbanding kesalahan yang mereka lakukan.

Pelbagai kes terdahulu dirujuk dan dibincangkan tetapi pekeliling yang dikeluarkan Pejabat Bendahari iaitu Surat Pekeliling Bendahari Bil. 3/2008, Tatacara Pengurusan Aset dan Surat Pekeliling Bendahari Bil. 8/2011, Pindaan Borang Membawa Keluar Aset (KEW.PA-6A) adalah dirujuk.

Kes kehilangan aset melibatkan sebuah komputer riba dan external hard disk berlaku pada jam 10 malam, 22 Disember 2011 hingga jam 5.00 pagi, 23 Disember 2011.

Mengikut fakta kes, pegawai berkenaan yang dinamakan sebagai Puan X bertugas sebagai Penolong Pendaftar di salah sebuah unit di Pejabat Pendaftar telah bertolak ke Kuala Lumpur lebih kurang pukul 10 malam, 22 Disember 2011 kerana mengikut suaminya menguruskan satu projek mengandam di sana. Selepas mengambil beberapa barangan milik beliau di kedai andamannya, beliau bersama suami pulang ke rumah terlebih dahulu dan meletakkan komputer riba bersama external hard disk di hadapan almari di dalam bilik tidurnya.

Puan X kemudian bertolak ke Kuala Lumpur dan bercadang untuk bermalam di sana tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk pulang ke rumah disebabkan ada kerja-kerja yang diamanahkan oleh majikannya yang perlu disiapkan segera.

Sebaik Puan X tiba di rumahnya pada pukul 5 pagi, 23 Disember 2011, beliau mendapati pintu rumahnya renggang sedikit manakala kunci bertaburan di atas rumput. Puan X segera menghubungi pihak polis dan apabila polis sampai didapati barang-barang di dalam rumah beliau telah berselerakan. Siasatan polis mendapati rumah Puan X telah dipecah masuk oleh penjenayah melalui tingkap. Di antara barang-barang yang hilang ialah barang kemas, TV, PSP dan juga komputer riba jenama Toshiba Model M300-E430 dan external hard disk jenama Seagate milik universiti.

Puan X telah mengambil beberapa langkah di antaranya melaporkan kejadian jenayah ini kepada pihak polis. Beliau juga telah membuat laporan kepada Pegawai Kewangan di Pejabat Bendahari serta melaporkan kepada majikannya. Majikannya kemudiannya mengambil beberapa langkah menyertakan beberapa salinan borang daftar aset komputer riba dan juga external hard disk untuk dilampirkan bersama laporan kepada Naib Canselor.

Pada 13 Januari 2012, aku bersama seorang Penolong Pendaftar di Pejabat Canselori dan seorang Pembantu Akaun di FTMK telah dilantik oleh Naib Canselor untuk menjalankan siasatan terhadap kes kehilangan aset universiti ini. Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Penyiasatan Kehilangan Aset Universiti yang dipengerusikan oleh aku sendiri dan lantikan ini adalah mengikut kes. Kes perlu disiasat dalam tempoh dua bulan dan laporan akhir siasatan perlu diserahkan kepada Urusetia Jawatankuasa Kehilangan Aset Universiti.

Beberapa mesyuarat telah diadakan di antara ahli jawatankuasa ini. Laporan polis dan salinan daftar harta diteliti. Prosedur pinjaman aset disemak sama ada pergerakan harta tetap ini direkod atau sebaliknya. Laporan hasil siasatan polis juga diminta di samping rakaman percakapan dengan Puan X juga direkodkan dan ditandatangan.

Akhirnya satu laporan akhir siasatan telah diserahkan kepada Urusetia Jawatankuasa Kehilangan Aset Universiti pada 27 Mac 2012.

Jawatankuasa Kehilangan Aset Universiti setelah berbincang dengan panjang lebar, akhir bersetuju bahawa aset yang hilang ini telah dibawa keluar daripada universiti tanpa mengikut tatacara sebenar oleh Puan X dengan mengisi Borang Permohonan Membawa Keluar Aset (Borang KEW. PA-6A). Puan X juga tidak menyimpan aset di tempat yang berkunci di rumahnya serta menyifatkan kes ini sebagai satu kes jenayah.

Jawatankuasa Kehilangan Aset Universiti juga bersetuju menerima syor daripada Jawatankuasa Penyiasatan Kehilangan Aset Universiti iaitu melupuskan aset yang hilang. Di samping itu, Puan X perlu diberikan surat teguran daripada pentadbiran universiti dan dikenakan surcaj mengikut kadar susutnilai tahunan manakala bayaran penuh bagi external hard disk.

Hampir jam 11.00 pagi, pembentangan selesai. Pengerusi Jawatankuasa Kehilangan Aset Universiti mengucapkan ribuan terima kasih di atas siasatan yang dilaksanakan serta laporan yang dibentangkan itu.

Pada aku secara peribadi ianya merupakan satu tugas yang telah dapat aku sempurnakan. Ia juga membuka lembaran baru dalam kerjaya kerana bukan mudah menjalankan sesuatu siasatan walaupun pernah menghadiri kursus berkaitan pada November 2011.