Setelah sebulan merancang untuk mengadakan satu majlis bagi meraikan persaraan Cik Siti Noor Kiah Syed Malek, bekas Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, akhirnya saat yang ditunggu tiba. Majlis yang diberi nama Malam Seribu Kenangan ini telah diadakan pada malam Rabu, 7 Disember 2011 bertempat di Medan Ikan Bakar, Muara Sungai Duyung, Melaka.
Malam Seribu Kenangan ini merupakan suatu majlis yang dianjurkan di atas inisiatif para pustakawan Perpustakaan UTeM untuk meraikan pustakawan yang bersara. Para pustakawan bergabung dari segi dana dan idea bagi menjadikan majlis ini paling bermakna.
Jawatankuasa majlis yang secara tidak rasmi ini bergerak di atas semangat kerjasama dan persefahaman yang jitu. Ada yang membantu membeli dan membungkus hadiah untuk cabutan bertuah, ada juga yang membeli kek hari jadi, ada yang menguruskan dana, juga membuat perbincangan dengan tauke ikan bakar serta membantu membawa segala hadiah dan menjemput tetamu istimewa ke lokasi majlis.
Pukul 8.45 malam, kesemua yang terlibat hadir melainkan beberapa orang pustakawan tidak dapat bersama kerana ada tugasan di luar. Pukul 9.00 malam, majlis bermula. Encik Zaidi Saad yang dilantik sebagai 'master of ceremony' (MC) memulakan majlis dengan mengalu-alukan kehadiran semua pustakawan dan tetamu jemputan malam itu, Cik Siti Noor Kiah. Majlis diteruskan dengan bacaan doa oleh Encik Mohd Mawardi Badruddin.
Seterusnya Encik Arman Mohamad yang dilantik mewakili semua pustakawan memberikan sepatah dua kata. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih di atas segala tunjuk ajar dan bimbingan Cik Siti Noor Kiah terhadap rakan-rakan pustakawan sewaktu beliau berkhidmat di UTeM sejak tahun 2003. Encik Arman juga berharap semoga hubungan silaturrahim di antara para pustakawan dengan Cik Siti Noor Kiah akan terus berpanjangan pada masa hadapan.
Di dalam ucapan balasnya pula, Cik Siti Noor Kiah mengucapkan ribuan terima kasih di atas penganjuran majlis makan malam oleh para pustakawan dan beliau amat terharu dengan usaha tersebut. Nasihat beliau agar pustakawan terus profesional dalam tugas mereka dan bagi pustakawan yang masih 'muda' diharapkan tidak jemu-jemu belajar untuk mendalami bidang ini.
Semua yang hadir kemudiannya menjamu selera. Pelbagai juadah yang disediakan pada malam itu. Di antaranya kupang sambal, sotong goreng, udang goreng butter, ikan bakar, telur dadar, tom yam, nasi dan nasi lemak serta buah-buahan potong. Air juga bermacam-macam, air tembikai, oren dan teh O. Sambil makan sambil bergambar.
Setelah selesai makan, Encik Zaidi memaklumkan acara pada malam itu diteruskan dengan acara potong kek hari jadi sempena sambutan ulangtahun kelahiran Cik Siti Noor Kiah dan Radzif yang jatuh pada 6 Disember 2011. Sambil potong kek, hadirin yang ada menyanyikan lagu ucap selamat kepada kedua individu yang menyambut ulangtahun kelahiran secara 'belated'.
Majlis diteruskan dengan acara cabutan nombor bertuah. Pada malam itu, semua yang hadir amat bertuah kerana mendapat hadiah. Cuma saiz hadiah sahaja berbeza. Lima hadiah utama berupa hamper. Semua hadiah disampaikan oleh Cik Siti Noor Kiah.
Di akhir majlis, semua pustakawan bergambar kenangan bersama Cik Siti Noor Kiah. Setelah bersalaman, ada di antara pustakawan wanita berpelukan dengan Cik Siti Noor Kiah sebagai tanda sayang dan perpisahan.
Hampir jam 10.00 malam, majlis berakhir dan masing-masing pulang ke rumah dengan seribu kenangan. Semoga pertemuan ini menjadi pertemuan yang paling indah dalam kehidupan para pustakawan dan juga Cik Siti Noor Kiah.
Kepada semua yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini diucapkan ribuan terima kasih juga kepada Cik Siti Noor Kiah yang menaja hadiah untuk cabutan bertuah.
Jasamu tetap dikenang sampai bila-bila...
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
12 tahun yang lalu