Selasa, Januari 04, 2011

Selamat Hari Lahir Miza & Alim

Ahad, 2 Januari 2011. Seharian di rumah Pak Hamid, jiran sebelah rumah, membantu di majlis perkahwinan anak beliau Shahrul. Hari ini adalah hari langsung atau hari menerima menantu bagi Pak Hamid. Hari ini juga merupakan hari di mana rombongan pengantin perempuan bertandang ke rumah pengantin lelaki. Aku bersama-sama penduduk kampung yang lain membantu mana-mana yang perlu bagi memastikan majlis berjalan dengan lancar.

Sebelah petang, sesudah majlis selesai, aku ke sebuah kedai kek untuk membeli sebiji kek hari jadi. Hari ini genap 8 tahun umur Miza dan hari ini juga genap 7 tahun umur Alim.

Selepas Maghrib, kami meraikan sambutan hari jadi Miza dan Alim. Selain Arif dan Ifa, Aliya, Haikal dan Wani juga turut meraikannya. Lagu 'Happy Birthday' dan 'Allah Selamatkan Kamu' dinyanyikan secara beramai-ramai. Kemudian kedua-duanya meniup lilin serentak dan memotong kek hari jadi untuk diagih-agihkan.

Hadiah? Nanti akan diberikan kemudian.

Walaupun ringkas, majlis ini amat bermakna kepada kami sekeluarga.

Selamat Hari Lahir Miza...
Selamat Hari Lahir Alim...

Aku berdoa semoga kedua-duanya berjaya dalam apa juga perkara yang dilakukan dalam hidupnya....
















Majlis Perkahwinan Shahrul-Noraidah

Sabtu, 1 Januari 2011. Jam 12.30 tengah hari aku, Ida dan Ifa bersiap-siap untuk bertandang ke rumah pengantin perempuan di Kampung Pulau, Belimbing Dalam, Durian Tunggal. Jiran sebelah rumah, Pak Hamid atau nama sebenarnya Pak Kasim mengadakan majlis perkahwinan anak lelakinya, Shahrul dan menjemput kami sekeluarga.

Petang Jumaat, 31 Disember 2010, aku bersama rombongan pengantin lelaki singgah di Masjid Durian Tunggal untuk menyaksikan majlis pernikahan Shahrul bersama pasangannya Noraidah di masjid tersebut. Malam Sabtu, kami dijemput juga untuk menghadiri majlis berinai besar di rumah pengantin perempuan.

Kami tiba di Kampung Pulau jam 1.30 petang. Setelah semua ahli rombongan sampai, pengantin lelaki diarak dengan kompang dan disertai oleh ahli rombongan di belakang. Kedua mempelai disatukan dan dibawa ke pelamin. Setelah majlis menepung tawar pengantin selesai, semua ahli rombongan bersama mempelai dibawa ke khemah untuk jamuan.

Sambil menjamu selera, ada pula dendangan lagu melalui karaoke oleh penduduk tempatan. Bagi rombongan dari Alai ini, memang tidak sah kalau Pak Mahad tidak mendendangkan satu atau dua lagu. Fuh, kalau dengar suara Pak Mahad ini, macam artis 60-an.

Pukul 2.45 petang, setelah selesai jamuan, masing-masing meminta diri untuk pulang. Petang itu sewaktu dalam perjalanan pulang, singgah di Batu Berendam untuk pekena coconut shake. Memang lazat...
















Isnin, Januari 03, 2011

Hari Orientasi Tahun 1 SJK (C) Keh Seng

Sabtu, 1 Januari 2011. Walaupun hari ini adalah cuti umum sempena tahun baru 2011, Hari Orientasi Tahun 1 Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Keh Seng tetap diteruskan. Program bermula jam 9.00 pagi di mana pendaftaran untuk pelajar tahun 1 diadakan di dewan sekolah. Aku dan Ida membawa Alim ke sekolah lengkap dengan baju sekolah baru. Aku meninjau senarai nama pada papan kenyataan dan mendapati Alim ditempatkan di Kelas 1H. Segera aku mendaftarkan Alim pada guru berkenaan yang duduk di meja 1H.

Kemudian murid dan ibu bapa dipisahkan. Ruang hadapan dewan diletakkan murid-murid tahun 1 mengikut kelas manakala ibu bapa di bahagian belakang. Entah apa yang dituturkan oleh Guru Besar, Encik Yang Ching Lian dalam Bahasa Mandarin, akupun tidak tahu. Tetapi melalui persembahan powerpoint, dapatlah aku faham, itu adalah taklimat tentang sejarah sekolah, persekitaran, pencapaian dan kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah di peringkat yang lebih tinggi. Sesekali aku menoleh Alim di hadapan. Ternyata Alim sedikit bosan. Aku menunjukkan isyarat tangan meminta Alim bersabar.

Pukul 10.00 pagi, murid-murid dibawa ke kelas masing-masing. Alim berjalan berbaris menuju Kelas 1H. Kami bersama ibu bapa yang lain mengekori barisan tadi hingga ke kelas. Murid-murid mengambil tempat masing-masing secara bebas.

Beberapa keping borang diserahkan kepada ibu bapa untuk dipenuhkan dan ditandatangani. Aku juga turut berbuat demikian. Setelah borang-borang dipenuhi dan diserahkan kepada guru kelas, anak-anak dibenarkan pulang bersama ibu bapa masing-masing.

Program Hari Orientasi Tahun 1 SJK (C) Keh Seng tamat jam 10.30 pagi.















Selamat Tahun Baru 2011



365 hari sudahpun berlalu. Tahun 2010 sudah melabuhkan tirainya. Kini 365 hari lagi bakal kita lalui. Diam tak diam cepat sungguh masa berlalu. Seperti angin yang bertiup. Sudah tentu banyak kenangan yang tersimpan baik yang manis maupun yang pahit. Itu semua menjadi teladan dalam hidup kita.

Apa azam tahun 2011? Sudah pasti ada azam baru yang tersemat di dalam sanubari setiap orang. Paling tidakpun, menyambung azam tahun lepas yang masih tidak kesampaian.

Buat mereka yang sudi singgah di blog ini, saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru semoga tahun 2011 membawa lebih pengertian dalam hidup kita.

Sesungguhnya hari ini lebih baik daripada semalam seperti hadis Rasulullah SAW iaitu:

Seseorang yang hari ini LEBIH BAIK dari hari semalam, ia orang BERJAYA;
Seseorang yang hari ini SAMA dengan hari semalam, ia orang yang SIA-SIA;
Seseorang yang hari ini LEBIH BURUK dari hari semalam, ia orang yang CELAKA.

Mudah-mudahan kita semua dalam kalangan golongan yang pertama itu.

Selamat Tahun Baru 2011.

AFF Suzuki Cup Final 2nd Leg - Penantian 14 Tahun Berakhir

Akhirnya sokongan kepada pasukan Harimau Malaya berputik kembali. Setelah menang 3-0 ke atas pasukan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 Disember 2010, Malaysia kini dinobatkan sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010 dengan kemenangan agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno. Berikut adalah laporan daripada media tempatan. Tahniah buat pasukan Malaysia...

















Badi 14 tahun berakhir

JAKARTA – Sejarah tercipta di bumi Stadium Gelora Bung Karno, buat pertama kali dalam sejarah penganjuran Piala Suzuki AFF 2010 apabila Malaysia menjadi juara walaupun tewas 1-2 kepada Indonesia dalam perlawanan akhir kedua untuk meraih kemenangan melalui agregat 4-2, semalam.

Bertambah manis anak didik K. Rajagobal berjaya melakukannya di hadapan 95,000 penyokong fanatik Indonesia yang terpaksa menelan kepahitan bahawa Malaysia lebih berhak merangkul kejuaraan edisi kelapan Piala Suzuki.

Ternyata bekalan 3-0 yang dibawa dari Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu cukup membantu kerana gol di tempat lawan yang dijaringkan oleh Safee Sali menjadi faktor penting mematahkan api perjuangan Indonesia yang mahu mencipta jaringan pendahuluan.

Bukan sekadar itu, penyerang negara, Safee Sali dinobatkan selaku penjaring terbanyak kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 dengan lima gol mengatasi pesaing terdekat, Cristian Gonzales.

Gol tunggal Malaysia dalam perlawanan ini diilhamkan daripada gerakan pantas Mohd. Ashari Samsudin ketika Indonesia rancak menyerang dan pemain Terengganu itu melakukan hantaran jauh yang disambut dengan baik oleh Safee Sali.

Safee dengan tenang mengawal bola sebelum mendapat posisi terbaik melepaskan rembatan kencang melalui kaki kiri menewaskan Markus Harison untuk memberikan gol penting di tempat lawan.

Biarpun Indonesia dengan mendapatkan dua jaringan pada minit ke-71 melalui Mohamad Nasuha dan Muhammad Ridwan pada minit ke-87, ia sudah terlewat buat skuad Garuda bangkit mengatasi Malaysia yang menang dengan kelebihan agregat 4-2.

Penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi Che Mat wajar diberikan pujian menggunung kerana beraksi cemerlang menghalang hajat Indonesia memburu gol yang lebih besar termasuk menyelamatkan sepakan penalti pada minit ke-18 yang diambil oleh Firma Utina.

Walaupun pertahanan negara yang dikemudi oleh Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas bocor sebanyak dua kali, ketenangan dan kesungguhan semangat juang pemain Malaysia bertahan jelas menjadi kunci utama kejayaan bersejarah Malaysia.

Apa yang penting, kejayaan merangkul Piala Suzuki AFF akan menutup mulut media dan peminat Indonesia yang tidak henti-henti melancarkan provokasi semenjak hari pertama skuad Malaysia tiba di Jakarta.

Malahan, sebelum perlawanan, mental pemain Malaysia didera habis-habisan oleh penyokong tuan rumah yang menyebut perkataan Maling! Maling! dan membuat bising semasa lagu kebangsaan Malaysia dimainkan.

Bertambah pahit buat pihak Indonesia, ini merupakan kegagalan kali keempat buat Indonesia selepas empat kali mencuba di pentas final.

Selain membawa pulang trofi AFF, Malaysia meraih wang tunai sebanyak A$$100,000 sementara Indonesia mendapat A$$ 50,000.

Pemain terbaik kejohanan Piala Suzuki AFF dirangkul kapten Indonesia, Firman Utina. – Utusan