Sabtu, Februari 26, 2011

Hari Keluarga Hj. Ayup 2011

Sambutan Hari Keluarga Hj. Ayup Kali Ke-2 telah diadakan di Glory Beach Resort, Port Dickson pada 3 dan 4 Februari 2011. Seramai 45 orang ahli keluarga ini yang datangnya dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka berkumpul untuk mengadakan aktiviti sukaneka yang bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim di kalangan ahli.

Hari Keluarga Hj. Ayup kali pertama telah diadakan di Kalumpang Resort & Training Centre (KRTC), Perak pada 25 Disember 2009.

Di antara acara sukaneka yang diadakan ialah makan buah, pecah belon, boling kelapa, bola tampar pantai, berkayak dan acara kolam. Pada sebelah malam diadakan bacaan Yaasin dan tazkirah. Selepas itu diadakan pula aktiviti bertukar-tukar hadiah di kalangan ahli keluarga dan aktiviti bahasa isyarat.

Tuan Hj. Ayup dan Puan Hajjah Khadijah menyampaikan hadiah kepada semua pemenang. Di akhir acara, Tuan Hj Ayup membacakan doa selamat dan diaminkan oleh kesemua anak-anak dan cucu-cucunya.

Dalam perjalanan pulang ke Melaka, singgah di Kota Kuala Linggi untuk makan tengah hari sekeluarga. Terima kasih kepada semua ahli keluarga Hj. Ayup yang bertungkus-lumus menjayakan program ini especially 'orang dapur'.

Cabaran untuk semua ahli keluarga, pesan Tuan Hj. Ayup tahun depan buat Hari Keluarga di Kelantan pula...

Semoga perancangan yang rapi dapat disusun dengan rapi agar hari keluarga seterusnya dapat direalisasikan dengan jayanya.

























Rabu, Februari 09, 2011

Memenuhi Undangan Perkahwinan Afiz & Ain di Duyong

Pada 5 Februari 2011, kami sekeluarga berkunjung ke Taman Seri Duyong 2 untuk memenuhi undangan perkahwinan Afiz dan Ain. Mencari rumah bernombor 24, Jalan SD 2/24 tidaklah sukar. Kami sampai pada jam 2.00 petang.

Turut hadir sewaktu kami sampai di majlis perkahwinan tersebut ialah keluarga Mohd Mawardi, keluarga Mohd Effendi, keluarga Zulkarnaen, keluarga Ahmad, keluarga Mahadir dan Nik Syukran.

Aku, Mohd Mawardi dan Mohd Effendi duduk semeja bersama ahli keluarga masing-masing.

'Lewat sampai orang sebelah...', bisik aku kepada Ida.

'Orang jauh...rombongan dalam perjalanan agaknya..', balas Ida.

Di Melaka, kebiasaannya 'orang sebelah' sampai sekitar jam 1.00 hingga 2.00 petang. Bimbang tetamu dah pulang, pengantin baru sampai. Jadi tidak berkesempatan melihat persandingan kedua mempelai.

Akhirnya rombongan pengantin perempuan hadir jam 2.30 petang sewaktu kami sekeluarga selesai menjamu selera. Paluan kompang menggamatkan suasana dengan majlis persandingan kedua mempelai ini dihadiri sanak-saudara dan rakan-taulan.

Sebelum beredar dari majlis, aku sempat menabur beras kunyit dan merenjis air mawar buat kedua mempelai yang duduk di atas pelamin.

'Terima kasih Encik Azman kerana sudi datang..', bisik Afiz sambil tersenyum. Aku lihat, pasangan Afiz, Noraini turut tersenyum.

'Sama-sama. Tahniah dan selamat pengantin baru...', balas aku kepada mereka berdua.

Majlis perkahwinan Afiz & Ain diadakan secara sederhana tetapi cukup meriah. Penulis mewakili seluruh warga kerja Perpustakaan UTeM mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat pengantin baru semoga kekal selamanya...

Persoalannya, dah bersediakah menjadi ibu? Suatu fasa kehidupan yang bakal ditempuhi kelak...























Selamat Pengantin Baru, Afiz & Ain

Tahniah buat Muhammad Afiz Ahmad dan Noraini Mohd Noor yang telah bergelar raja sehari.

Dari Pasir Mas Kelantan, rakan sekerja, Harul Rizam yang sempat menyaksikan majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan memaklumkan kedua mempelai selamat diijabkabulkan pada jam 9.45 malam, 28 Januari 2011 yang lalu. Tahniah buat Muhammad Afiz yang telah melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sahaja.

Majlis persandingan di rumah pengantin perempuan telah diadakan pada 29 Januari 2011, jam 2.30 petang. Khabarnya khemah penuh sesak dengan rombongan dari Melaka walaupun sebuah bas rombongan sahaja.

Penulis tidak sempat melihat sendiri majlis tersebut memandangkan ada komitmen lain yang harus diselesaikan.

Apa-apapun terima kasih kepada Harul Rizam di atas foto-foto majlis pernikahan tersebut dan Selamat Pengantin Baru buat kedua pasangan ini, Encik Muhammad Afiz Ahmad dan Puan Noraini Mohd Noor. Kami doakan semoga berkekalan selamanya.

Welcome to our club...










Selamat Hari Lahir, Ifa

Ahad, 30 Januari 2011 merupakan hari ulangtahun kelahiran Ifa yang ke-12. Tahun ini Ifa berjanji untuk menyambut hari lahirnya bersama dengan teman-teman rapatnya di KFC.

Pukul 1.00 petang, kami sekeluarga ke KFC di Jaya Jusco Lebuh Ayer Keroh. Hujan renyai ketika itu.

Kami sekeluarga menjamu ayam goreng di suatu sudut manakala Ifa dan beberapa orang rakannya duduk di meja yang berlainan. Setelah hampir sejam, Ifa dan rakan-rakannya ke kedai buku manakala kami melayan Miza dan Alim di taman permainan kanak-kanak di tingkat atas bangunan pasar raya tersebut. Pukul 3.30 petang, kami pulang ke rumah.

Pukul 8.00 malam, aku dan Ida ke Secret Recipe di Tesco untuk membeli sebuah kek hari lahir untuk Ifa. Malam tu kami sekeluarga meraikan hari lahir Ifa. Walaupun majlis ini ringkas tetapi ianya amat bermakna buat Ifa.

Kek istimewa dikeluarkan dari kotaknya. Lilin dipasang.

'Selamat hari lahir, selamat hari lahir, selamat hari lahir, Ifa...'
'Selamat hari lahir...'

Begitulah bait-bait lagu yang dinyanyikan oleh Arif, Miza dan Alim.

Ifa tersenyum malu lantas meniup lilin pada kek. Kek dipotong dan diagih-agihkan kepada semua ahli keluarga.

Aku mengucapkan selamat hari lahir buat Ifa.

Selamat Hari Lahir Ke-12, Ifa!

Aku mendoakan semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki buat puteri aku yang seorang ni...