Isnin, September 05, 2011

Hari Raya Ketiga - Meneruskan Perjalanan Ke Rumah Zaki

Perjalanan selama lebih kurang 40 minit akhirnya menemui noktah bilamana kami sampai di Jalan Daud, Muar untuk singgah di rumah Zaki. Zaki ialah anak Mak Munah ketiga dan bertugas sebagai Pengurus Bank CIMB, Jalan Hang Tuah, Melaka.



Sesampai kami di sana, pintu pagar masih lagi berkunci. Kami terpaksa menelefon beliau untuk membukanya kerana pintu pagar adalah dari jenis automatik.

Kami bersalaman. Anak-anak sudah berlari masuk ke bilik kerana di dalam bilik ada banyak permainan kepunyaan anak-anak Zaki atau sepupu mereka. Kami cuma di ruang tamu menonton TV dan bersembang.

Memandangkan Rin, isteri Zaki tidak berapa sihat kerana slip disc, kami menguruskan sendiri makanan di atas meja di ruang dapur. Menu yang dihidangkan ialah ikan siakap, tom yam dan lain-lain.







Jam 11.00 malam, aku segera pulang ke Alai kerana Arif nak bermain futsal dengan sepupu-sepupunya yang lain pada jam 12.00 tengah malam di Bukit Baru.

Walaupun dua buah rumah yang sempat dilawati pada hari ini, rasanya itupun sudah berbaloi daripada tidak bergerak langsung.

Hari Raya Ketiga - Singgah di Rumah Akop

Hari Khamis, 1 September 2011. Diam tak diam, sudahpun raya ketiga. Rasa macam sekejap sahaja raya ni. Semalam dua keluarga sudahpun berangkat pulang ke rumah keluarga pasangan masing-masing bersama anak-anak mereka. Seorang balik Gopeng, Perak dan seorang lagi balik ke Batu Pahat.

Si anak yang kena balik kampung, muka sudah macam cuka. Sepupu tengah ramai, semuanya nak berjalan raya. Beraya di Kampung Alai, memang terasa suasana kampungnya. Kanak-kanak berduyun-duyun singgah untuk mendapatkan duit raya. Ada pula kedai-kedai kampung yang mengambil kesempatan menjual permainan 'tikam', mercun dan bunga api. Kanak-kanak menjadi mangsa apabila duit raya mereka 'dikerjakan'. Suasana meriah dengan dentuman mercun di sana sini.



Pukul 6.00 petang, keluarga kami dan keluarga Shariff singgah di rumah Akop di Pekan Umbai, Melaka. Sebelum bertolak, kena telefon dulu sebab isteri Akop, Ina bertugas sebagai jururawat. Ina bertugas malam.

Sebaik sampai, kami bersalaman. Kanak-kanak pula turun ke halaman rumah untuk bermain bunga api. Sambil makan kami berbual. Kami dihidangkan dengan bihun goreng. Arif dan Ifa bukan main selera lagi makan.















Akop merupakan anak lelaki Mak Munah yang keempat dan juga anak keempat dari tujuh orang adik-beradik. Beliau adalah kembar kepada Usop.

Jam 7.10 malam, kami meminta izin untuk bergerak ke rumah Zaki di Muar.

Hari Raya Kedua - Bersembang Dengan Pak Uda Samad

Dengan jaraknya lebih kurang 300 meter dari rumah Pak Ngah Ahmad, kami singgah di rumah Pak Uda Samad. Beliau merupakan anak keempat dalam keluarga Senin.



Seperti Pak Ngah Ahmad, aku sering berjumpa Pak Uda Samad di madrasah dan majlis kenduri di kampung. Pak Uda Samad ni agak rapat dengan Mak Munah. Beliau adalah pesara kerajaan yang suatu masa dahulu bertugas dengan Jabatan Kastam di Keluang. Sebelum membina rumah sendiri, beliau suatu masa dahulu bila pulang ke kampung, akan menginap di rumah Mak Munah terutama hari raya. Anak-anak aku pun rapat dengan Pak Uda Samad dan isteri beliau.



Kami bersalaman dan berbual. Mak Uda pula tidak sihat. Sakit kepala barangkali. Sambil bersembang, kami menjamah kuih-muih yang sememangnya terhidang di atas meja. Hampir Maghrib, kami meminta diri untuk pulang ke rumah.




Pukul 9.00 malam, kami ke rumah adik bongsu Mak Munah, Busu Jamil. Beliau menetap di Taman Mas, Teluk Mas bersebelahan SMKA Sharifah Rodziah.

Sewaktu sampai, ada tetamu di rumah beliau. Jadi kami tidaklah dapat bersembang panjang dengan beliau seperti sebelum ini. Kami bersalaman dengan beliau dan juga tetamu yang hadir.

Untuk mengisi masa, aku mencapai akhbar yang ada dan mula membelek-belek dari halaman ke halaman. Ida bersembang dengan Busu Lon, isteri Busu Jamil di ruang makan di dapur. Kami sekeluarga agak rapat dengan keluarga beliau kerana sewaktu kecil, anak-anak beliau pernah dijaga oleh Ida. Beliau sering ke Alai melawat Mak Munah. Boleh dikatakan keluarga ini mempunyai perasaan hormat yang tinggi kepada Mak Munah sebagai kakak beliau.

Beliau bertugas sebagai juruteknik di Telekom Malaysia di Ayer Keroh, Melaka dan pernah bertugas di Iraq suatu masa dahulu semasa era pemerintahan Saddam.

Pukul 10.30 malam, kami meminta diri untuk pulang setelah menikmati teh tarik dan kuih-muih yang disediakan.

Hari Raya Kedua - Menziarahi Pak Ngah Ahmad

Pukul 5.15 petang, kami singgah di rumah Pak Ngah Ahmad di Kg. Alai. Walaupun sekampung, aku hanya berjumpa beliau di madrasah atau bila ada majlis-majlis kenduri di kampung. Pak Ngah Ahmad merupakan adik kepada Mak Munah, anak kedua dalam keluarga seramai lima beradik.



Sebagai anak lelaki pertama dalam keluarga beliau, Pak Ngah Ahmad ni orangnya tegas dan beliau adalah di antara orang yang berpengaruh dalam membuat keputusan tertentu dalam keluarga walapun Mak Munah merupakan anak sulung dalam keluarga Senin. Satu yang aku respect, mereka ni bersatu dalam membuat apa jua keputusan yang melibatkan masa depan keluarga masing-masing.



Macam biasa, anak-anak bermain-main di halaman rumah manakala kami bersembang hal-hal keluarga. Sewaktu kunjungan kami, Mak Ngah tidak berapa sihat. Demam agaknya.






Pukul 6.00 petang kami beredar selepas bersalaman dengan beliau.

Hari Raya Kedua - Menziarahi Mak Mon

Selepas bergerak dari rumah Busu Lambak, kami singgah di rumah Mak Mon di Bukit Larang yang jaraknya lebih kurang 1 km dari Bukit Pegoh. Sewaktu kami sampai, Mak Mon berada di ruang tamu rumah menunggu tetamu.



Kami bersalaman. Selain kuih-muih, kami dihidangkan dengan buah rambutan. Barangkali di kampung ketika ini musim rambutan agaknya. Boleh dikatakan sepanjang perjalanan ke rumah beliau, kiri kanan jalan di setiap rumah ada setidak-tidak sebatang pokok rambutan.

Kami bersembang-sembang sambil ditemani anak perempuannya yang menyediakan minuman di dapur. Mak Mon merupakan adik Mak Munah yang sama ibu tetapi berlainan bapa. Hampir 45 minit kami di sana, kami meminta diri untuk bergerak ke destinasi lain.

Semoga Allah SWT panjangkan umur Mak Mon agar dapat kami berjumpa beliau pada hari raya tahun hadapan.










Hari Raya Kedua - Mengunjungi Busu Lambak

Hari Rabu, 31 Ogos 2011. Hari ini merupakan hari kedua bulan Syawal 1432H. Ramai di antara ahli keluarga yang bangun lewat. Biasanya aktiviti sebelah malam lebih kepada menonton rancangan raya di TV dan bersembang-sembang di samping melayan tetamu yang berkunjung ke rumah.

Pada sebelah pagi kami sekeluarga memang tidak dapat berjalan raya kerana sambil minum pagi ada lagi sesi bersembang. Maklumlah bila semua ahli keluarga berkumpul, banyak perkara yang menjadi topik perbualan hangat. Kami memulakan perjalanan raya hanya selepas Zuhur atau Asar.



Pukul 3.00 petang, kami sekeluarga dan keluarga Shariff dengan menaiki kenderaan masing-masing menuju ke rumah Busu Lambak di Bukit Pegoh, Teluk Mas. Jaraknya lebih kurang 3 km dari Alai.



Bila kami sampai, ada tetamu yang hadir di rumah beliau. So, kami duduk di ruang tamu luar sahaja. Aku dan Ida bersalaman dengan Busu Lambak. Anak-anak juga turut bersalaman dengan nenek saudara mereka. Bagi mengisi masa, aku mencapai galah dan memetik buah rambutan di halaman rumah beliau. Kemudian kami menikmatinya bersama.



Cuaca panas menyebabkan aku berpeluh-peluh. Busu Lambak memasang mobile fan bagi memastikan anak-anak tidak berpeluh kepanasan. Barulah selesa sedikit nak menjamu kuih-muih di situ. Kami faham Busu Lambak sibuk. Nak melayan anak-anak buahnya, kami dua keluarga dan sebuah lagi keluarga yang baru sampai. Sesekali beliau bersama kami berbual.

Pukul 4.00 petang kami meminta diri. Ida menghulur sampul duit kepada Busu Lambak. Busu Lambak juga menghulurkan duit raya kepada anak-anak kami. Memang menjadi kebiasaan kami bukan sahaja menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak malah kepada saudara-mara yang sudah agak berumur sebagai tanda sedekah.

Apa yang penting kami sudahpun sampai di rumah Busu Lambak.