Selasa, November 29, 2011

Majlis Qurban Sempena Aidil Adha

Ahad, 6 November 2011. Hari ini merupakan hari di mana umat Islam meraikan hari raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji.

Seawal jam 7.45 pagi, aku dan Arif bergegas dari Alai untuk menunaikan sembahyang hari raya di Masjid Al-Azim. Sebaik kami sampai, sembahyang baru dimulakan. Mujur aku sudah mengambil wuduk dari rumah.

Pukul 9.00 pagi, aku ke rumah Mak Bedah kerana harus menguruskan majlis qurban yang diamanahkan kepada aku. Pukul 9.15 pagi, Haji Ayup mengetuai bacaan tahlil ringkas dan kenduri dengan dikelilingi oleh anak-anak dan cucu-cucunya.

Pukul 10.00 pagi, Pak Abu dan ahli kumpulannya sampai untuk menguruskan qurban. Aku menyiram lembu di tepi bangsal dan meminta anak-anak saudara supaya menjauhi binatang tersebut bimbang disondol atau ditendang.

Pukul 10.15 pagi, lembu yang meronta-ronta selamat disembelih. Tahun ini mereka yang berkongsi untuk qurban ialah Mak Bedah, Aziah, Azilah, Azhar, Yati, Rozanah dan Suhaina.

Kami sekeluarga bertungkus lumus memotong dan mengagih-agihkan daging qurban kepada jiran-jiran dan saudara-mara dengan bantuan Pak Abu.

Alhamdulillah, menjelang jam 12.30 tengah hari, segalanya selesai. Majlis seterusnya ialah memasak dan menjamu sup daripada tulang dan daging lembu. Semua ahli keluarga Mak Bedah dapat merasa keenakan sup lembu dan menjelang petang, masing-masing mula mencari bantal kerana kepenatan.

Aku bersyukur kerana perancangan untuk mengadakan qurban dan amanah yang diberikan telah dilaksanakan dengan sempurna.








































Seminar Halal Dan Haram Dalam Pemakanan Dan Perubatan

Pada 27 Oktober 2011, aku dijemput menghadiri Seminar Halal Dan Haram Dalam Pemakanan Dan Perubatan yang dianjurkan oleh Pusat Islam UTeM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Produk Halal UPM. Seminar ini diadakan di Auditorium PPS, UTeM.

Di antara objektifnya ialah memberi kesedaran kepada staf UTeM dan umat Islam amnya tentang kepentingan makanan halal dalam membentuk sahsiah seseorang Muslim. Ia juga bagi menerangkan mengenai implikasi pengambilan makanan dan ubat-ubatan yang dilarang oleh Allah SWT di dalam kehidupan seharian kerana doa tidak akan diterima olehNya jika makanan yang haram dimasukkan ke dalam tubuh badan individu. Di samping itu ia bagi melahirkan pekerja yang mempunyai hati yang patuh dan tunduk kepada perintah Allah SWT hasil daripada pengambilan makanan dan ubat-ubatan yang halal dan baik.

Di antara topik-topik yang dibentangkan oleh pembentang-pembentang kertas kerja ialah Sains dan Falsafah Halal Dalam Islam oleh Encik Dzulkifly Mat Hashim, Halal Sebagai Kaedah Pengukuran Baharu Dalam Jaminan Kualiti dan Keselamatan Makanan oleh Dr. Suhaimi Ab. Rahman. Bagi tajuk Perkembangan Terkini Dalam Isu Perubatan dan Kosmetik Halal, ianya dibentangkan oleh Prof. Dato Dr. Yaakob Che Man.

Pada sebelah petang, dibentangkan kertaskerja berjudul Penentuan Halal dan Haram Dalam Produk Makanan dan Perubatan Masa Kini oleh Prof. Dr. Amin Ismail. Kemudian diadakan sesi praktikal di mana mesin tertentu dapat mengenalpasti kod-kod tertentu bersumberkan yang haram.

Akhir sekali tajuk yang dibentangkan ialah Pengekstrakan DNA daripada sampel makanan oleh Prof. Dr. Shuhaimi Mustafa. Seminar sehari ini dihadiri lebih lima puluh peserta dari pelbagai jabatan dan fakulti di UTeM.





Rabu, November 23, 2011

Hukum Melantik Wakil Untuk Ibadat Qurban

Apabila seorang itu dilantik menguruskan qurban maka dia menjadi wakil kepada orang yang buat qurban, maka sepatutnya perkara di bawah ini hendaklah diketahui oleh orang yang menguruskannya supaya memudahkan urusan.

Terkadang orang yang buat qurban hanya melantik wakil untuk menyembelih sahaja, tidak yang lain maka wakil tidak boleh melakukan perkara yang lain daripada yang disuruh.



Di sini adalah dinasihatkan kepada mereka yang berkongsi tujuh orang supaya melantik seorang dari kalangan mereka atau orang lain menguruskan qurban mereka dari segi pembelian lembu, mencari tukang sembelih, meniatkan qurban dan membahagikan daging, dan pengurus ini adalah wakil bagi mereka.

Adakah pengurus ini boleh melantik orang lain untuk melakukan apa yang diwakilkan kepadanya. Berikut dinyatakan hukumnya.

Hukum wakil melantik wakil yang kedua:

Wakil melantik orang lain menggantikan tempatnya ada beberapa keadaan:
1. Tidak harus wakil melantik orang lain menjadi wakil menggantikan tempatnya selagi wakil itu dapat melakukan dengan sendiri perkara yang diwakilkan kepadanya.
2. Harus wakil melantik orang lain menjadi wakil yang kedua dengan izin daripada orang yang berwakil.
3. Harus wakil melantik orang lain menjadi wakil yang kedua dengan tiada izin daripada orang yang berwakil jika perkara yang diwakilkan itu tidak dapat dikerjakan oleh wakil dengan sendirinya kerana dia tidak layak dengan pekerjaan itu, dia tidak dapat mengerjakannya dengan baik atau dia lemah hendak mengerjakannya sekiranya jika dia mengerjakannya, nescaya dia akan mengerjakannya dengan kepayahan yang amat.
4. Wakil yang kedua yang dilantik oleh wakil pertama adalah menjadi wakil bagi orang yang berwakil dan dia bukan wakil bagi wakil pertama melainkan orang yang berwakil berkata kepada wakil yang pertama “lantiklah wakil bagi diri kamu” maka setelah dia melantik wakil kedua, wakil kedua itu hukumnya menjadi wakil bagi wakil yang pertama.

Sekiranya orang yang berwakil menyuruh melantik wakil bagi pihak orang yang berwakil maka wakil yang kedua itu adalah wakil bagi orang yang berwakil bukan wakil bagi wakil pertama.

Pemecatan wakil kedua:

1. Wakil kedua yang menjadi wakil bagi orang yang berwakil hanya terpecat sebagai wakil apabila dipecat oleh orang yang berwakil.
2. Wakil pertama tidak boleh memecat wakil kedua yang dia lantik untuk orang yang berwakil.
3. Wakil pertama dan orang yang berwakil boleh memecat wakil kedua yang dilantik bagi pihak wakil pertama.

Peringatan kepada orang yang berwakil.

Dicadangkan kepada yang berwakil supaya menyatakan apa yang hendak diwakilkan dengan jelas, terutama kepada mereka yang berkogsi tujuh orang.

Perkara yang perlu dinyatakan adalah:

1. Wakil sembelih sahaja.
2. Wakil niat sahaja tidak sembelih.
3. Wakil sembelih dan niat.
4. Wakil membeli binatang yang hendak dibuat qurban sahaja.
5. Wakil membahagi daging qurban sahaja.
6. Wakil pengurusan iaitu mengurus segala urusan qurban dari membeli, mewakilkan orang lain untuk menyembelih, niat dan membahagikan daging qurban.

Selasa, November 22, 2011

Memilih Lembu Untuk Korban

Seperti yang pernah dirancangkan sebelum ini, beberapa orang ahli keluarga bersetuju untuk bergabung bagi mengadakan majlis korban di rumah Mak Bedah. Jika segala yang dirancangkan itu benar-benar berlaku, bermakna inilah julung-julung kali majlis korban seumpama ini diadakan.

Mak Bedah bersama anak-anaknya, Aziah, Azhar, Azilah, Rozanah, Norhayati serta menantunya Suhaina adalah penama untuk majlis korban dan aku dilantik untuk menguruskannya.

Pada 26 Oktober 2011, aku bersama Ifa dan Mak Bedah ke Kg Bukit Durian untuk berjumpa dengan Cikgu Abas. Cikgu Abas merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Alai dan beliau juga mengusahakan penternakan lembu secara sambilan di belakang rumahnya.

Kami ke rumah beliau dengan bantuan Zakiah, seorang guru di sekolah tersebut. Walaupun hujan, kami redah sahaja. Pukul 6.00 petang, kami sampai di sana.

Sebaik sampai, kami diajak ke bangsal di belakang rumah Cikgu Abas. Beliau memaklumkan bahawa lembu-lembu yang sedia ada semuanya sudah ditempah untuk majlis korban pada hari raya haji nanti.

Menurutnya lagi hanya ada dua ekor lembu sahaja yang belum ditempah iaitu yang berwarna coklat dan hitam. Beliau mengesyorkan lembu berwarna hitam dan memaklumkan harganya. Harga seekor lembu yang sederhana besar lebih kurang RM2500. Aku setuju.

Hampir Maghrib, setelah perbincangan selesai, kami bertolak kembali ke rumah. Lega rasanya kerana amanah yang diberikan sudah separuh aku selesaikan...