Rabu, November 17, 2010

Sambutan Hari Raya Aidil Adha 1431H

Tarikh 17 November 2010 merupakan Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji di kalangan umat Islam. Pada hari tersebut selain daripada bertakbir, diadakan juga kenduri kesyukuran dan seperti kebiasaannya akan ditumbangkan lembu untuk korban dan dagingnya diagih-agihkan kepada mereka yang berhak.

Jam 8.00 pagi, aku dengan Arif ke Masjid Alai. Sebaik sampai, para jemaah sudahpun ramai. Masing-masing beramai-ramai bertakbir sementara menantikan imam memandu sembahyang sunat Aidil Adha. Dalam pada itu, pengerusi masjid memaklumkan sumbangan daripada jemaah amat diperlukan untuk pembangunan masjid. Beberapa orang petugas membawa bekas kosong atau songkok yang diterbalikkan kepada jemaah masjid bagi memungut sedekah. Masing-masing yang berkemampuan dan membawa wang memberikan sedekah masing-masing.

Pukul 8.30 pagi, sembahyang sunat Aidil Adha diimamkan oleh Tuan Haji Ahmad. Selesai sembahyang, khutbah pula disampaikan oleh imam. Pukul 9.20 pagi, selesai sembahyang, aku berdua kembali ke rumah.

Dek perut yang kelaparan, aku dengan Arif terus mengisi perut sementara menunggu kenduri dan acara sembelih lembu korban pada pukul 10.00 pagi nanti. Kami menjamu ketupat dan rendang ayam di samping sambal udang dan kari daging.

Tahun ini Busu Jamil, adik bongsu Mak Munah sekeluarga sepakat untuk menyumbangkan seekor lembu untuk majlis korban. Selepas bersembahyang sunat hari raya, aku dan ahli keluarga yang lain berkumpul untuk mengadakan tahlil ringkas dan kenduri. Seperti pada tahun lepas, tahun ini juga diadakan Majlis Korban.

Pada pukul jam 10.45 pagi, Tuan Hj. Ahmad, Imam Kampung Alai sampai dan mengetuai tahlil. Selepas selesai kenduri, jiran-jiran dan beberapa orang pemuda kampung sudah bersedia untuk menjalankan gotong-royong untuk menyembelih dan melapah lembu untuk ibadah korban. Pukul 11.00 pagi, upacara penyembelihan dijalankan. Pak Imam mendapatkan senarai nama mereka yang mengadakan korban ini. Setelah akad dijalankan, Pak Imam segera menjalankan tugas penyembelihan tersebut.

Cuaca pagi ni mendung. Kerja-kerja penyembelihan dijalankan oleh Pak Imam dengan dibantu oleh beberapa pemuda kampung. Mulanya agak sukar untuk menumbangkan lembu tersebut tetapi lama-kelamaan dengan kepakaran dan kekuatan pemuda, kerja-kerja menumbangkan lembu berjalan lancar.

Pak Imam meletakkan pisau pada leher lembu sambil membaca doa dan terus menyembelih haiwan berkenaan. Darah memancut keluar daripada leher lembu. Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya lembu tersebut sudah tidak bernyawa lagi. Kerja-kerja melapah lembu berjalan lancar. Setelah itu, daging-daging diagih-agihkan kepada jiran-jiran dan keluarga terdekat serta orang kampung.

Pukul 12.30 tengah hari, semua kerja agihan selesai. Selepas membersihkan diri, aku bersiap-siap untuk menunaikan solat Zuhur. Pukul 2.30 petang, aku sekeluarga ke rumah Mak Bedah dan Pak Yup untuk menziarah mereka. Biasanya aku akan mencari ketupat dan rendang buat mengisi perut tetapi tahun ini ada tambahan menu iaitu nasi ayam. Tak larat nak makan banyak-banyak. Kesihatan perlu dijaga.

Pukul 5.00 petang, kami kembali semula ke Alai dan mula menjalankan aktiviti sampingan aku iaitu surf internetdan mengemaskini blog.....

Sambutan Hari Raya Aidil Adha mungkin tidak semeriah seperti di Pantai Timur tetapi ianya cukup bermakna bagi keluarga kami. Tahun depan giliran siapa pula mengadakan majlis korban?

Tunggu dan lihat.




Rakaman video penyembelihan lembu untuk majlis Qurban di Alai.

Hadiah Peperiksaan Akhir Tahun

Semalam sewaktu pulang dari kerja, Alim bukan main excited lagi. Dari dalam bilik dia terus membawa piala yang diterimanya siang tadi sewaktu di sekolah. Bukan main lagi dia bercerita dia menerima piala tersebut bersama kakaknya, Miza.

Alim yang berumur 6 tahun bersekolah di Tadika Keh Seng, sebuah sekolah tadika Cina yang terletak di Bukit Baru. Miza pula berada dalam Tahun 1 di SJK (C) Keh Seng. Pada peperiksaan akhir tahun, Alim menduduki tempat pertama manakala Miza mendapat tempat ke-5. Kedua-duanya menerima hadiah berupa piala daripada Guru Besar SJK (C) Keh Seng di dewan sekolah jam 9.00 pagi semalam.

Miza yang bersekolah agama pada sebelah petang di SRA Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru mendapat tempat pertama dan sekaligus ditawarkan menjadi pengawas pada tahun 2011. Miza menerima hadiah pada 18 November 2010.

Aku berdoa semoga semua anak-anak aku berjaya dalam apa jua bidang yang diceburinya. Amin....




Rakam video Alim menerima piala.

Ahad, November 14, 2010

10 Tips Bagaimana Menjadi Pasangan Yang Baik

Dikongsikan 10 tips bagaimana menjadi pasangan yang baik sekali gus memperbaiki hubungan rumah tangga atau percintaan.

1.Terima seadanya: Jangan cuba untuk mengubah pasangan mengikut kemahuan anda. Ingat, pasangan yang anda kahwini atau cintai itu adalah pilihan anda sendiri. Jangan terlalu dambakan kesempurnaan. Terima segala kekurangan kerana tiada manusia yang sempurna. Cuba fikirkan kebaikan pasangan daripada terus memikirkan kekurangan dan keburukannya.

2.Berkomunikasi secara terbuka: Jangan selalu membuat andaian mengenai perasaan pasangan anda. Adalah lebih baik mengajak pasangan untuk berbincang secara terbuka mengenai segala hal. Belajar untuk mengekspresi perasaan dengan cara terbaik supaya pasangan memahami anda ketika anda marah, terluka, tersinggung atau gembira. Ucaplah kata sayang sekerap yang mungkin walaupun kadangkala ia dianggap keterlaluan. Tetapi itulah yang mahu didengar oleh pasangan. Sikap mendiamkan diri adalah sesuatu yang patut dielakkan.

3.Aktiviti bersama: Aktiviti bersama mampu merapatkan perhubungan. Carilah sesuatu yang boleh dilakukan bersama. Misalnya, menonton video di rumah atau menonton wayang seperti waktu bercinta dahulu. Anda perlu berhati-hati jika anda lebih gemar untuk bersama rakan-rakan melebihi pasangan anda. Ini kerana itu adalah petanda yang tidak baik.

4.Tunjukkan cinta anda: Setelah berumah tangga, ramai yang kurang mengambil perhatian mengenai perihal hati pasangan. Ramai yang berkata 'sudah kahwin untuk apa romantik lagi'. Itu adalah tanggapan yang salah. Rasa cinta dan sayang tidak ada salahnya jika diluahkan dengan sejambak bunga buat isteri atau makan malam romantis untuk suami. Menunjukkan rasa cinta secara berterusan kepada pasangan adalah sesuatu yang mampu mengekalkan perhubungan pada tahap yang selesa.

5.Kawal perasaan: Apabila marah atau ada hal yang mengganggu anda, cubalah bertenang dan bertanya kepada pasangan. Elakkan tuduhan melulu dan meninggikan suara kerana ia hanya akan membawa kepada pergaduhan. Pasangan akan menghargai jika anda bertenang dalam menghadapi sebarang situasi.

6.Jangan ungkit kisah lalu: Berhentilah mengungkit masa lalu yang negatif. Tidak ada sesiapa mahu mengingati kesilapan yang mungkin merupakan kenangan pahit atau memalukan. Jangan jadikan kesilapan lalu pasangan sebagai senjata setiap kali berlaku pertengkaran.

7.Kurangkan rasa cemburu: Setiap individu tidak boleh lari daripada pasangan cemburu. Namun, cemburu yang keterlaluan patut dielakkan kerana ia boleh mencetuskan pergaduhan dan rasa tidak selesa pada diri sendiri. Hubungan cinta harus dibina atas dasar percaya kepada pasangan.

8.Jaga komitmen antara satu sama lain: Elakkan membuat janji yang tidak mampu dipenuhi. Jika berlaku, ia akan menyebabkan pasangan kurang menghormati kita. Menjaga kepercayaan merupakan komitmen dalam satu perhubungan yang sihat. Apabila pasangan merasakan anda mula mengabaikan komitmen, maka bersiap sedialah untuk kehilangannya.

9.Jujur: Jujur adalah perkara yang paling penting dalam perhubungan. Jangan sesekali menipu pasangan kerana ia adalah antara punca utama sebuah perpisahan. Kejujuran yang dimaksudkan adalah kejujuran untuk mengungkap perasaan kita terhadap pasangan. Jika terluka, katakan bahawa anda terluka. Katakanlah dengan tenang tanpa perlu meninggikan suara.

10.Beri layanan terbaik sepanjang hidup: Layanlah pasangan anda seperti sebelum berkahwin. Jika dahulu jalan berpimpinan tangan, pimpinlah tangan pasangan setelah berkahwin. Ramai pasangan cenderung untuk mengabaikan keakraban perhubungan selepas berkahwin kerana lebih tertumpu kepada keperluan keluarga atau anak-anak.

Fasa Hubungan Suami Isteri

Pakar-pakar agama menyatakan terdapat 6 peringkat hubungan intim perkahwinan.

Pertama, bulan madu. Pada masa ini semuanya indah. Apa yang dilakukan suami cantik, apa yang dilakukan oleh isteri semuanya bagus.

Kedua, bulan bawang. Bulan air mata. Selepas 3-5 tahun berkahwin, warna-warna sebenar suami isteri kelihatan. Perangai sebenar suami isteri sudah dikenalpasti. Pada waktu ini mulalah. Itu tak kena, ini tak kena. Masing-masing dengan ego sendiri. Kadang-kadang boleh berakhir dengan perceraian.

Ketiga, proses rundingan. Pada peringkat ini suami isteri akan mengenalpasti kesilapan dan kelemahan masing-masing. Suami mengaku kesilapan dan kelemahan dia, isteri juga begitu.

Keempat, penyesuaian. Apabila suami-isteri telah mengetahui kelemahan dan kesilapan masing-masing, segala kekurangan tersebut akan dilengkapi oleh kedua-dua belah pihak. Jika suami pandai masak, suami boleh tolong masakkan dan jika isteri rajin berkemas, isteri pula yang tolong kemaskan.

Kelima, proses peningkatan. Pada peringkat ini suami-isteri berusaha untuk menjadikan hubungan lebih mesra dan dan bahagia.

Keenam dan yang terakhir, pemantapan. Pada peringkat ini suami-isteri akan berusaha untuk memantapkan hubungan mereka.

Selepas enam peringkat inilah maka lahirlah mawaddah rahmah iaitu kasih sayang antara suami isteri. Biasanya peringkat keenam ini berlaku pada usia warga emas.

Di manakah peringkat anda sekarang?

Jagalah Pergaulan, Elak Orang Ketiga

Tidak kira suami atau isteri, jangan terlibat dalam skandal cinta tiga segi. Mereka ini bukan sahaja salah kerana menduakan pasangan, malah bersama bukan muhrim dengan ikatan cinta itu dilarang oleh agama. Hukumnya jelas, haram.

Suami atau isteri yang ada hubungan cinta tiga segi harus sedar akan peringatan bahaya zina. Walaupun tidak berniat melakukannya, tetapi hubungan itu membuka jalan ke arah perbuatan zina.

Kebanyakan suami atau isteri yang terlibat dengan cinta tiga segi ini tahu tentang peringatan zina tetapi terus menjalinkan hubungan.

Menjadi kewajipan suami isteri melayari bahtera rumah tangga berlandaskan iman dan ketakwaan terhadap Allah SWT. Dalam Al-Quran dan hadis Rasulullah SAW jelas menggariskan akan tanggungjawab suami isteri.

Malah melaksanakan tanggungjawab itu bukan sekadar membahagiakan pasangan, tetapi ia juga satu ibadah yang dijanjikan pahala oleh Allah SWT.

Tidak ada sebab pasangan mencari orang lain jika tahu tanggungjawab masing-masing, saling memenuhi keperluan dan membahagiakan pasangan. Amalan ini akan menyubur dan mengharmoni rumah tangga.

Dalam erti kata lain, bila suami isteri boleh seia sekata dalam setiap urusan rumah tangga dan hubungan kedua-duanya, tidak ada sebab kasih beralih arah atau orang luar mengambil kesempatan menagih cinta baru suami atau isteri.

Hari ini, hubungan suami isteri agak rapuh, mudah berkocak bila ada perselisihan faham. Kesibukan dan keterbatasan waktu untuk mengutamakan rumah tangga, anak-anak dan pasangan hanya memenuhi kelangsungan hidup berumah tangga.

Hubungan yang rapuh, bila-bila masa boleh retak, oleh itu kukuhkan hubungan yang rapuh ini. Jangan angkuh dengan ego sendiri, rumah tangga adalah usaha bersama. Jika salah seorang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan betul, kepincangan akan dirasai oleh seluruh ahli keluarga iaitu pasangan, anak-anak, ibu bapa dan juga ahli keluarga yang lain.

Seorang isteri walau setinggi mana jawatan disandang di tempat kerja, di rumah dia adalah isteri dan suami tetap ketua keluarga. Jangan perkecilkan tanggungjawab suami, sebaliknya ada kelebihannya. Bantu dan bimbing suami supaya dapat mentadbir rumah tangga dengan lebih baik, faedah bukan untuk suami seorang tetapi untuk semua ahli keluarga.

Begitu juga dengan suami, jika isteri tidak bekerja, jangan perkecilkan tugasnya atau berlagak tuan bila berada di rumah, minta dilayan itu dan ini tanpa mempedulikan perasaan isteri.

Sebenarnya sumbangan isteri dalam mencorakkan kebahagiaan rumah tangga cukup besar, terutama dalam mengasuh dan mendidik anak-anak. Fahami kesibukan isteri, jika berpeluang bantunya dalam kerja-kerja rumah tangga. Seorang isteri merasa bangga bila suami menghargai pengorbanannya. Oleh itu jangan kedekut ucapkan terima kasih.

Suami isteri juga mesti terima hakikat bahawa sebagai manusia biasa, mereka tidak lepas dari melakukan kesilapan. Maka sentiasalah saling memaafi, segera mencari penyelesaian jika ada masalah dan mengamalkan prinsip ambil yang jernih, buang yang keruh. Jangan mencari penyelesaian masalah dalam hubungan suami isteri dengan cara menjalin hubungan dengan orang luar kerana ia hanya mengundang masalah besar.

Punca mendorong suami atau isteri menjalin hubungan dengan orang ketiga, ia biasanya disebabkan masalah rumah tangga dan faktor menarik di luar rumah. Jika salah seorang ada affair di luar, pasangan yang seorang lagi boleh mengesan jika hubungan mereka baik. Kalau sudah berkongsi hidup bertahun-tahun, suami isteri sudah masak dengan perlakuan dan tabiat pasangan. Jika ada perlakuan ganjil pasti bersebab.

Setiap perlakuan luar biasa pasangan perlu diselidik, kalau suami ada hubungan, isteri bertangungjawab mengingat, begitu juga sebaliknya. Jika timbul masalah, selesaikan melalui perbincangan. Berbincang, menerima teguran dan mengakui kesilapan dan saling memaafkan adalah jalan terbaik mencari damai.

Orang ketiga juga mesti sedar bahawa ada ketikanya kehadiran mereka hanya sekadar persinggahan atau pelarian. Oleh itu berhati-hati menjalin hubungan dengan suami atau isteri orang. Dalam memilih pasangan, terutamanya anak gadis berhati-hatilah, jangan mudah terpikat dengan godaan lelaki. Selidik dulu latar belakangnya, elakkan suami orang kerana ia hanya mengundang masalah.

Begitu juga lelaki jangan mudah terpikat dengan wanita cantik, selidik dulu sebelum jatuh cinta, jika isteri orang lupakan sahaja. Kebiasaannya, hubungan dengan wanita atau lelaki berkahwin bukan sahaja merosakkan rumah tangga. Orang ketika juga selalu menjadi mangsa bila kekasih kembali ke pangkuan pasangan.

Oleh itu sentiasalah beringat...

Sabtu, November 13, 2010

Menjadi Biasa atau Luar Biasa?

Sebagai orang biasa, kita sekadar melakukan perkara biasa-biasa sahaja kerana pemikiran kita membuatkan kita sanggup melakukan perkara biasa saja, bukan yang luar biasa. Orang biasa selalunya :

1. Sentiasa mahu selesa, selamat dan tetap.
2. Sentiasa mahu senang dan bermalas-malasan.
3. Sentiasa mencari jalan mudah atau 'shortcut'
4. Mengelak dari kesakitan, kegagalan dan seboleh mungkin, tidak mahu terlibat dengan perkara-perkara yang boleh menggagalkan mereka kerana mereka merasakan ianya cukup menyusahkan.
5. Melihat orang lain dengan penuh kejengkelan, rasa meluat dan sakit hati.























Namun begitu, bagi orang luar biasa, sanggup melakukan perkara yang luar biasa, lain dari kebiasaan yang normal. Golongan sebegini hanya ada sedikit di kalangan kita dan senang dikenal pasti kerana mereka mempunyai ciri-ciri seperti:

1. Sanggup meletakkan matlamat yang berada di luar jangkauan mereka sendiri.
2. Sanggup bekerja kuat dua kali ganda.
3. Sanggup bersusah payah, kerana mereka mahu susah dahulu, senang kemudian.
4. Sanggup berdepan dengan kesakitan, kesusahan, kegagalan.
5. Melihat sesiapa saja dengan penuh kagum, walaupun mereka itu buruh kasar sekalipun.
6. Sentiasa membandingkan dirinya dengan orang yang lebih luar biasa, tetapi tidak akan sesekali membandingkan dirinya dengan orang biasa.
7. Tabah berdepan dengan kritikan dan kata-kata nista.
8. Ekstrim iaitu melakukan sesuatu lebih banyak dari yang dilakukan oleh ramai orang.

Satu lagi, orang luar biasa berani gagal berani dan bangkit dari kegagalan, walau mereka boleh rugi berjuta ringgit..

Anda yang mana satu? Biasa atau luar biasa?

Tanya diri anda.

Jika merasa diri masih tergolong dalam kategori orang biasa, ubah menjadi orang luar biasa hari ini juga!

Hidupkan semangat dan perubahan bermula dalam diri dan jiwa anda...

Memenuhi Undangan Perkahwinan Keluarga Min

Hari ini jam 2.00 petang aku sekeluarga tanpa Arif ke Tiang Dua, Melaka. Ini bagi memenuhi undangan perkahwinan keluarga Aminah Ahmad atau lebih dikenali sebagai Min di kalangan teman-teman.

Aku dimaklumkan oleh Ida, dua minggu lepas sewaktu membuat persiapan majlis perkahwinan adik bongsunya, ayahnya meninggal dunia kerana sesak nafas. Ini sedikit sebanyak melemahkan semangatnya dalam menguruskan majlis berkenaan. Namun begitu, Min yang aku kenali memang tabah orangnya. Memang dia menjadi orang penting dalam majlis tersebut. Kata orang sudah macam mak pengantin gayanya.

"Bila nak kahwinkan anak?", usik aku sewaktu mula menjamah makanan di meja tetamu.

"Dah kahwin dah..." balas Min sambil tersenyum.

Min memaklumkan kepada kami, dua orang anaknya sudahpun mendirikan rumah tangga. Seorang yang berkahwin masih di Jordan meneruskan pengajiannya di sana. Min mempunyai 6 orang anak dan yang bongsu dalam berumur 9 tahun. Min berkahwin dalam usia muda.

Min bekerja di PERPUSTAM selama hampir 16 tahun dan beliau pernah bertugas di bawah kendalian aku suatu masa dahulu. Beliau memang tidak suka ambil tahu hal orang lain dan lebih bertanggungjawab dalam hal kerja dan keluarganya.

Kadang-kadang menelusuri kehidupan staf membuatkan aku seakan-akan menginsafi diri kerana aku juga pernah hidup susah seperti Min suatu masa dahulu. Ini mengingatkan aku kepada ibuku, Mak Bedah yang bertungkus-lumus mencari nafkah sesuap nasi membesarkan 12 orang anaknya membantu Pak Yup yang ketika itu bergaji kecil. Alhamdulillah, kini semuanya berkerjaya dan mampu mengubah taraf hidup keluarga.

Sebelum pulang Min mengirimkan suatu bungkusan makanan dan cenderamata kepada Ida. Besar hatinya melihatkan staf yang juga bekas pegawainya dapat hadir memenuhi undangan beliau.

Jam 3.00 petang, kami bercadang melawat Mak Bedah sebelum ke sebuah pasar raya di Batu Berendam untuk membeli barangan keperluan harian.