Sabtu, Januari 22, 2011

Majlis Perpisahan Pelajar Praktikal UiTM

Satu majlis perpisahan ringkas untuk pelajar yang menjalani latihan praktikal di Perpustakaan UTeM telah diadakan di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan pada 21 Januari 2011. Majlis ini bertujuan meraikan Norazizah Md. Tahir dan Noor Eznyza Khalid yang tamat menjalani latihan praktikal setelah dua bulan menimba pengalaman di sini. Ianya dijalankan selepas bacaan tahlil mingguan yang dihadiri oleh semua staf perpustakaan.

Kedua pelajar Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat daripada Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Shah Alam ini mula melaporkan diri di perpustakaan pada 22 November 2010 dan menjalani latihan di Unit Pentadbiran, Unit Automasi, Unit Perolehan Buku, Unit Perolehan Jurnal, Unit Hadiah dan Pertukaran, Unit Pengindeksan, Unit Sirkulasi dan Media serta Unit Rujukan.

Di dalam ucapannya, Norazizah Md Tahir mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf perpustakaan yang sudi memberikan tunjukajar kepada mereka berdua. Bagi Noor Eznyza Khalid pula, beliau yang sebelum ini bercadang untuk menukar profesion sebagai pustakawan kini mempertimbangkan semula cadangannya setelah mendapat pengalaman yang berguna di Perpustakaan UTeM. Beliau juga berterima kasih kepada beberapa orang staf perpustakaan yang bersungguh-sungguh membantu beliau dalam meningkatkan kefahamannya tentang ilmu kepustakawanan.

Cenderahati daripada kedua pelajar berupa sebuah replika kapal diterima oleh wakil Ketua Pustakawan, Azman Hj. Ayup untuk disimpan di Unit Pentadbiran manakala kedua pelajar ini juga menerima dua beg cenderahati daripada pegawai tersebut.

Majlis yang bermula pukul 9.50 pagi itu tamat sejam kemudian.

Bagi pihak perpustakaan, aku mengucapkan terima kasih di atas segala bantuan yang diberikan oleh kedua pelajar ini.

Semoga perjalanan hidup Norazizah Md. Tahir dan Noor Eznyza Khalid untuk mencapai segulung ijazah akan tercapai hendaknya.

Amin!!!

Noor Eznyza Khalid (kiri) dan Norazizah Md. Tahir (kanan)







Ahad, Januari 16, 2011

Berdiam Lebih Baik...

Bercakap atau berdiam diri? Mana satu pilihan anda?

Ya, Diam. Bolehkah? Sanggupkah?

Kalau salah cakap, kita bakal merana di dunia juga akhirat. Hanya kerana lidah!
Orang yang beriman tidak akan menggunakan lidah sesuka hati. Yang pasti, setiap butir bicara mereka penuh dengan hikmah peringatan. Saat mendengar terasa tenang dan bahagia!

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata perkara yang baik atau diam. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan jirannya. Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”
(Mutafaq ‘alaih)

Daripada Muaz bin Jabal RA, berkata, ”Khabarkan kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku masuk ke dalam syurga dan menjauhkan aku dari neraka.”

Jawab Rasulullah SAW, ”Sebenarnya engkau telah bertanya suatu perkara yang besar, dan sesungguhnya amat mudah sekali bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Ta’ala, iaitu hendaklah engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu yang lain, engkau mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah. ”

Kemudian Rasulullah bersabda lagi, ”Mahukah engkau aku khabarkan pokok amalan, tiangnya dan kemuncaknya?”

Muaz bin Jabal RA menjawab, ”Mahu, ya Rasulullah.”

Sabda baginda, ”Pokok amalan ialah Islam, tiangnya ialah sembahyang dan kemuncaknya ialah jihad.”

Kemudian Rasulullah bersabda lagi, ”Mahukah engkau aku khabarkan kunci kepada semua perkara ini?”

Muaz menjawab, ”Mahu, ya Rasulullah.”

Lalu baginda memegang lidahnya seraya berkata, ”Awas, jaga ini baik-baik.”

Muaz bertanya lagi, ”Ya Rasulullah, adakah kami akan dituntut kerana berkata dengannya?”

Baginda lalu menjawab, ”Dan tidak akan dicampakkan manusia ke atas muka mereka atau batang hidung mereka ke dalam neraka, melainkan hasil tutur bicara mereka. ”
(Riwayat Tirmizi)

Ya, diam. Insya-Allah, kita tidak akan rugi jika berdiam, dan diam itu kena pada tempatnya.

Hikmah berdiam diri ialah ianya satu ibadah tanpa bersusah payah dan merupakan satu perhiasan tanpa berhias. Ia juga suatu kehebatan tanpa kerajaan dan benteng tanpa pagar. Berdiam juga merupakan kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang dan istirehat bagi kedua malaikat pencatat amalan. Diam juga akan menutupi segala aib.

Terdapat juga hadis-hadis Rasullullah SAW mengenai kelebihan diam yang bermaksud:

"Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya. Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya" (Riwayat Abu Naim).

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam" (Riwayat Bukhari & Muslim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat At-Tarmizi)

Banyak diam tidak semestinya bodoh,
Banyak cakap tidak semestinya cerdik,
Kerana kecerdikan itu buah fikiran,
Orang cerdik yang pendiam lebih baik
Dari orang bodoh yang banyak cakap.
Menasihati orang yang bersalah, tidak salah.
Yang salah memikirkan kesalahan orang lain.
Kalau orang menghina kita, bukan kita terhina,
Yang sebenarnya orang itu menghina dirinya sendiri

Latihan Penggunaan Bookdrop dan Stock Take LW1 Wand

Pada 11 Januari 2011, semua staf perpustakaan diminta menghadiri satu latihan tentang penggunaan Bookdrop dan Stock Take LW1 Wand. Dua sesi latihan diadakan di mana sesi pertama diadakan pada jam 9.00 pagi manakala sesi kedua diadakan pada jam 2.30 petang. Setiap sesi dihadiri kira-kira 25 orang staf dan sesi-sesi penerangan berkenaan Bookdrop dan Stock Take LW1 Wand ini dijalankan oleh Mr. Heng dari Pintaran IT dengan bantuan Unit Automasi, Perpustakaan UTeM.

Staf dibawa ke bahagian dalam mesin bookdrop untuk melihat bagaimana mesin ini berfungsi. Beberapa buah buku dimasukkan daripada hadapan mesin dan sesetengah staf dapat melihat bagaimana buku-buku diterima oleh mesin bookdrop, diasingkan mengikut status bahan sama ada buku dalam keadaan sempurna atau rosak.

Kemudian, staf dibawa ke rak buku untuk melihat bagaimana alat Stock Take LW1 Wand berfungsi. Alat ini digunakan semasa proses semakan stok buku di rak. Memandangkan buku-buku di perpustakaan sudah ditampal dengan tag RFID, maka alat ini digunakan untuk menyemak sama ada buku-buku di sesuatu rak ada atau sebaliknya.

Tempoh latihan kepada semua staf di setiap sesi berakhir selepas dua jam penerangan diberikan oleh Mr. Heng.

Semoga latihan ini menjadikan staf perpustakaan akan lebih mahir dalam menggunakan peralatan berteknologi tinggi.





















Lawatan Audit Peringkat Pertama MS ISO 9001:2008

Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) kini menuju ke arah memperolehi pensijilan MS ISO 9001:2008. Usaha-usaha untuk mendapatkannya bermula pada akhir tahun 2009 di mana diadakan kursus kesedaran ISO untuk semua staf.

Kemudian pada bulan Julai 2010, usaha ini menjadi lebih komited bila mana dibentuk jawatankuasa pengurusan ISO di peringkat jabatan. Sistem Pengurusan Kualiti dibentuk di mana wujudnya manual kualiti dan prosedur utama dan juga prosedur sokongan. PJKA menjadi jabatan yang banyak membantu dan menasihati pengurusan perpustakaan agar ianya selari dengan pensijilan MS ISO 9001:2008 UTeM.

Akhirnya pada 10 Januari 2011, satu lawatan audit peringkat pertama telah diadakan bertujuan untuk menilai sistem pengurusan kualiti perpustakaan selari dengan piawaian yang ditetapkan dalam MS ISO 9001:2008. Auditor yang hadir cuma seorang iaitu Puan Hajah Hawa binti Ma'arof. Beliau sampai di perpustakaan pada jam 9.15 pagi.

Beberapa orang pustakawan dan staf perpustakaan yang terlibat dengan dengan lawatan audit ini hadir di Bilik Mesyuarat 1, di Aras 2, Perpustakaan UTeM untuk mesyuarat pembukaan. Ketua Pustakawan, Puan Hajah Faridah binti Md. Amin memberikan sedikit taklimat tentang latar belakang perpustakaan dan pencapaiannya serta usaha ke arah mendapatkan pensijilan MS ISO 9001:2008.

Selepas minum pagi, Puan Hajah Hawa menjalankan tanggungjawabnya mengaudit prosedur-prosedur di dalam sistem pengurusan kualiti iaitu manual kualiti dan prosedur-prosedur utama yang lain. Skop pensijilan ialah perkhidmatan perpustakaan di kampus induk dan kampus bandar.

Pada jam 3.00 petang, diadakan mesyuarat penutup bagi mendengar dapatan hasil daripada pemerhatian dan pertanyaan oleh Puan Hajah Hawa. Sebagai auditor, beliau menyatakan bahawa Perpustakaan UTeM telah membangunkan semua dokumen mengikut keperluan Standard MS ISO 9001:2008 namun begitu terdapat beberapa dokumen yang perlu diperbaiki. Auditor juga mendapati lawatan audit dalaman sebelum ini tidak menyeluruh dan semakan juga mendapati sesetengah tindakan tidak direkodkan dengan jelas.

Pihak perpustakaan diminta memperbaiki beberapa kelemahan di dalam sistem pengurusan kualiti dalam tempoh tidak lebih daripada enam bulan untuk membolehkan lawatan audit peringkat kedua dilakukan.

Sebelum itu, pada 22 Disember 2010, lawatan audit dalaman telah dijalankan oleh Dr. Syed Najmuddin bin Syed Hassan, Pengarah Pusat Pengajaran dan Pembelajaran dan Professor Madya Norhaziah binti Md Salleh, Pensyarah FTMK. Hasil lawatan audit dalaman itu, auditor berpendapat objektif kualiti di dalam SPK mestilah realistik.

Pada 30 Disember 2010 pula,lawatan audit dalaman bagi skop pengajaran dan pembelajaran UTeM dijalankan di perpustakaan. Kali ini auditor ialah Encik Mohd Nizam bin Pavel, Timbalan Pendaftar, Bahagian Pengurusan Akademik, Pejabat Pendaftar, Encik Khairi Amri bin Mohamad, Pegawai Kewangan Kanan, Bahagian Pengurusan Aset dan Pentadbiran, Pejabat Bendahari, dan Puan Emaliana binti Kasmuri, Pensyarah FTMK. Lawatan auditor pada tarikh tersebut tidak menemukan sebarang ketidakakuran.

Kini Perpustakaan UTeM sedang berusaha memperbaiki beberapa teguran auditor bagi membolehkan lawatan audit peringkat kedua diadakan. Bila? Yang pasti ianya tidak melebihi enam bulan dan arahan daripada Ketua Pustakawan, ianya perlu diadakan segera. Semoga segala perancangan akan berjalan dengan lancar dan sasaran mencapai matlamat.