Ahad, Mei 22, 2011

Menonton Filem Nur Kasih The Movie

Sabtu, 21 Mei 2011. Hari ini kami sekeluarga berkesempatan menonton filem Nur Kasih The Movie di MBO Melaka Mall. Sewaktu membeli tiket wayang, kami memilih waktu tayangan 8.45 malam. Sewaktu kami sampai, ada notis ditampal di kaunter tiket menyatakan waktu tayangan ditunda lewat sejam iaitu pada pukul 9.45 malam.







Kami mengambil kesempatan untuk menjamu selera di Food Court di bahagian bawah bangunan Melaka Mall. Jam 9.40 malam, kami sudahpun berada di pintu masuk Bilik No. 4 untuk menunggu pintu dibuka. Beberapa minit kemudian, kami sudahpun berada di dalam panggung tersebut untuk menikmati tayangan Nur Kasih The Movie. Kami pulang jam 11.30 malam. Sinopsis cerita Nur Kasih The Movie lebih kurang begini:

Filem Nur Kasih The Movie terbitan bersama Grand Brilliance, Film Scape Sdn Bhd dan Juita Viden Sdn Bhd ini masih mengekalkan tiga teraju utama untuk 3 watak penting yang berjaya meninggalkan kesan di hati penonton siri Nur Kasih. Penangan pembawaan watak-watak Adam, Nur Amina dan Aidil oleh Remy Ishak, Tiz Zaqyah dan Fizz Fairuz benar-benar memberi impak sehingga tercetusnya fenomena Nur Kasih di kalangan peminat siri drama di Malaysia. Pada mereka, kesungguhan dan kecekalan tiga watak ini menghadapi cabaran kehidupan menjadi sumber inspirasi dan tauladan.

Nur Kasih The Movie Official Trailer:

Nur Kasih The Movie ini yang turut menjadikan Jordan sebagai lokasi utama penggambaran mengisahkan kehidupan 6 tahun kemudian 3 jiwa yang sentiasa diuji ini. Aidil yang sememangnya seorang lelaki yang tabah kini meneruskan hidupnya bersama dua anak kecilnya tanpa isteri tercinta di sisi. Adam yang mula menjumpai jalan lurusnya, berusaha untuk mengekalkan laluannya tanpa menyimpang lagi dan Nur Amina, seorang gadis suci ini semakin kental melalui cabaran hidup sebagai seorang isteri.

Nur Kasih The Movie Theme Song:
Nur Kasih – Yassin ft. Tiz Zaqyah (OST Nur Kasih The Movie)

Ketiga-tiga jiwa ini masih memerlukan antara satu sama lain. Di saat getir seakan mahu memisahkan Adam dan Nur, Aidil setia di antara keduanya walaupun dirinya juga dihimpit kerinduan teramat. Masih adakah sinar bahagia untuk mereka bertiga akhirnya? Inilah perjalanan hidup mereka dalam usaha mereka mendapatkan pencarian sebenar erti kehidupan yang abadi selamanya.

Bertemu Cinta – Mila Jirin (OST Nur Kasih The Movie)
Composer: Hafiz Hamidun


Filem yang juga membawakan tema cinta sejati ini telah mula ditayangkan untuk tontonan umum pada 19 Mei 2011. Rasai satu kesyahduan indah bak bait-bait lirik lagu temanya, Nur Kasih, yang turut dinyanyikan kembali oleh Tiz Zaqiah, ‘Aku kembali kerana masih, mencari yang hakiki, sinar pasti, janji suci yang abadi…’

Tanpamu – Sabhi Saddi duet with Helena (Indonesian Idol) (OST Nur Kasih The Movie)
Composer: Andrew Darmoko


Filem ini membawa kita untuk berfikir sejenak apakah sebenarnya yang sudah kita lakukan sepanjang kehidupan ini, adakah kita menikmatinya atau sekadar membiarkan ia berlalu begitu saja. Yang jelas, setiap apa yang terjadi mempunyai hikmahnya. Hanya mata hati yang ikhlas akan dapat merasakan nikmat ujian yang diturunkan Allah SWT.

Producer : Rosihan Zain (Executive Producer)
Director : Kabir Bhatia
Producer (Company) : Primeworks Studios Sdn Bhd (Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)
Language : Malay
Genre : Drama
Classification : U – General viewing for all ages
Release Date : 19 May 2011
Duration : 90 min
Audio : Stereo
Format : 35mm

Script : Kabir Bhatia (Screenplay), Mira Mustaffa (Scriptwriter)
Cast : Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah, Ayu Raudhah, Liza Othman, Munif Isa, Sara Ali, Adik Mia Sara Nasuha, Adik Ilyas Suhaimi









Geran Penyelidikan Universiti Diperbanyakkan



Bajet 2012: Perbanyakkan geran penyelidikan demi kemajuan sains, teknologi - Berita Harian Online

MELAKA: Bajet 2012 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober ini diharap menyediakan lebih banyak geran bagi tujuan penyelidikan, kata Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Profesor Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan.

Beliau berkata, geran penyelidikan tersebut amat diperlukan bagi memastikan kesinambungan kemajuan pesat bidang sains dan teknologi dalam negara.

"Persaingan untuk geran ini tinggi, jadi kita mesti berusaha gigih untuk memperolehinya," katanya pada Majlis Hari Kualiti UTeM 2011 di kampus induk universiti itu di Durian Tunggal dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Yusoff menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 142 petugas universiti itu.

Ahmad Yusoff berkata, UTeM berjaya menghasilkan kejayaan cemerlang dalam bidang penyelidikan tahun lalu dan menerusi produk reka cipta universiti itu berjaya memenangi 41 anugerah dalam dan luar negara.

Katanya, tahun ini produk reka cipta UTeM berjaya memperolehi 18 anugerah di mana lima daripadanya diperolehi menerusi satu pameran reka cipta di Geneva, Switzerland.

Ahmad Yusoff berkata, UTeM akan berusaha memperolehi lebih banyak geran penyelidikan bagi meneruskan usaha menghasilkan lebih banyak produk reka cipta, sekali gus memajukan bidang penyelidikan dalam negara.

Beliau berkata, selain geran penyelidikan, UTeM juga berharap dapat memperolehi bantuan untuk menambah fasiliti di kampus induk universiti itu seperti membina bangunan baru untuk Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.

Sementara itu, beliau berkata, UTeM bakal memperkenalkan program baru sarjana muda dalam bidang teknologi kejuruteraan berteraskan elektrik, elektronik, mekanikal dan pembuatan.

"Kami menyasarkan kemasukan 570 pelajar dalam program sarjana muda bidang teknologi kejuruteraan pada kemasukan September ini dan menjelang 2015 kami sasar kemasukan 6,000 pelajar," katanya.

UTeM kini mempunyai lebih 7,500 penuntut dan 750 tenaga pengajar akademik bagi enam fakulti iaitu empat fakulti kejuruteraan, sebuah fakulti teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT) dan sebuah fakulti pengurusan teknologi dan tekno keusahawanan. - BERNAMA



UTeM Hoping For More Research Grants - The Star

MALACCA: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Vice-Chancellor Prof Datuk Dr Ahmad Yusoff Hassan hopes that more research grants would be allocated under the 2012 Budget.

He said the funds are needed to ensure continued research and advances in science and technology.

“We must strive harder as competition for reserach grants is stiff,” he said at UTeM Quality Day 2011 and excellent service award presentation ceremony in Durian Tunggal here.

Ahmad Yusoff said he is proud with the average 82.59% score achieved by UTeM straff and the 41 awards won last year.

The university has 7,500 students and 750 staff and won 18 awards so far including five foreign honours at a design and invention exhibition in Geneva, Switzerland.

He said UTeM will try to secure more research grants and also financial assistance to build a Faculty of Mechanical Engineering.

UTeM, added Ahmad Yusoff, would also introduce new Bachelor’s degree programmes in electrical, electronic, mechanical and manufacturing engineering for its intake in September. –Bernama.

Sabtu, Mei 21, 2011

Staf Perpustakaan Menerima APC

Pada tahun ini seramai empat orang staf Perpustakaan UTeM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sempena Majlis Hari Kualiti 2011, Universiti Teknikal Malaysia Melaka yang diadakan di Dewan Besar UTeM pada 18 Mei 2011.



Mereka ialah Fauziah Hassan, Pustakawan, Aziana M. Bahrim dan Noorlizawati Kamis, Pembantu Perpustakaan dan Amir Hafizuddin A. Bakar, Pembantu Am Pejabat.

Amir Hafizuddin A. Bakar merupakan salah seorang penerima APC kali kedua di mana beliau pernah menerima anugerah yang sama pada tahun 2009.

Pada tahun ini seramai 142 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang setelah prestasi mereka dinilai oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia pada 23 Mac 2011.

Kesemua penerima APC ini menerima sijil dan lain-lain insentif daripada Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan universiti dan ketua-ketua jabatan.

Pada majlis tersebut, Fauziah Hassan tidak dapat hadir untuk menerima anugerah kerana demam.

Tahniah di atas kejayaan menerima APC buat keempat-empat staf perpustakaan ini...


Berikut adalah senarai Penerima APC dari Pejabat Perpustakaan UTeM sepanjang sembilan tahun anugerah ini diwujudkan.

2003
Majlis Sambutan Hari Q KUTKM 2003 & Pelancaran Sistem ISO 9000
Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
7 Oktober 2003
1. Abu Hassan Shamsudin

2004
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2004
Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
16 September 2004
1. Ahmad Abu Bakar
2. F. Haslinda Harun

2005
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2005
Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
20 Disember 2005
1. Kharmizi Khamis
2. Zulkarnaen Mahat
3. Muhammed Rashid Mat Derus

2006
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2006
Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka
12 September 2006
1. Siti Roheizah Mohni
2. Zulkarnaen Mahat
3. Kamariah Kamis

2007
Majlis Hari Kualiti UTeM 2007
Dewan Seri Negeri, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, Melaka
25 Ogos 2007
1. Azman Hj. Ayup
2. Siti Saluwa Jamal
3. Rasida Abu Bakar

2008
Majlis Hari Kualiti UTeM 2008
Ballroom, MITC, Ayer Keroh, Melaka
13 Jun 2008
1. Mohd Nasir Hashim
2. Norhairol Khalid
3. Elfa Laily Ramly

2009
Majlis Hari Kualiti UTeM 2009
Ballroom, MITC, Ayer Keroh, Melaka
23 Jun 2009
1. Mahadir Che Ali
2. Mohd Efendi Rajali
3. Kharmizi Khamis
4. Muhammad Afiz Ahmad
5. Amir Hafizuddin Abu Bakar

2010
Majlis Hari Kualiti 2010
Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka
25 Mei 2010
1. Arman Mohammad
2. Zuraidah Amar
3. Fatilah Ramly
4. Nor Aini Md. Jali
5. Jumakyah Yacoob

2011
Majlis Hari Kualiti 2011
Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka
18 Mei 2011
1. Fauziah Hassan
2. Aziana M. Bahrim
3. Noorlizawati Kamis
4. Amir Hafizuddin A. Bakar








Mesyuarat SIG KPI Academic Libraries

Selasa, 10 Mei 2011. Seawal jam 6.00 pagi aku sudahpun bersiap-siap untuk ke Kuala Lumpur. Selepas menikmati sedikit sarapan yang disediakan oleh Ida, aku bergegas menghidupkan enjin kereta dan memulakan perjalanan.

Semalam petang aku dimaklumkan oleh Asmadi, rakan sekerja bahawa aku harus mewakili Ketua Pustakawan menghadiri satu mesyuarat di UTM International Campus, Jalan Semarak, Kuala Lumpur. Mesyuarat Special Interest Group, Key Performance Indicator, Academic Libraries ini diadakan di Bilik Mesyuarat, Perpustakaan Sultanah Zanariah.

Memandu di awal pagi sungguh menarik. Kenderaan di atas jalan tidak banyak dan jika perlu kita boleh memandu sedikit laju untuk mengejar masa. Aku harus tiba ke destinasi jam 9.00 pagi tetapi tersangkut di dalam kesesakan jalan raya setibanya aku di sungai Besi berhampiran dengan Lapangan Terbang TUDM Sungai Besi. Mahu tidak mahu terpaksa bersabar walaupun kerapkali mata menjeling pada jam di dashboard kereta.

Aku sampai lebih kurang jam 9.30 pagi. Aku bersama KP UMK, Azman Hashim dan kami masuk sewaktu mesyuarat sedang berjalan. Rupanya bukan kami yang terakhir tetapi Wafi, Pustakawan UPNM yang tinggal di Kuala Lumpur juga lewat.

Mesyuarat Special Interest Group, Key Performance Indicator, Academic Libraries ini dihadiri oleh kebanyakannya Ketua Pustakawan dari seluruh IPT di Malaysia. Ianya membincangkan tentang satu kaedah standard mengukur prestasi perpustakaan akademik menggunakan ISO BS11620:2008 (library performance indicator).

Rumusan daripada mesyuarat, jawatankuasa bersetuju diadakan satu bengkel dalam masa terdekat iaitu pada pertengahan bulan Jun 2011. Bengkel tersebut berkemungkinan adakan diadakan sehingga ke malam dan setiap perpustakaan perlu membentangkan KPI perpustakaan masing-masing berdasarkan yang sedia ada sekarang. UTM menawarkan tempat berbengkel di KL, tetapi UMS dan UNIMAS pula menawarkan tempat berbengkel di Pantai Timur.

Pukul 1.00 tengah hari, mesyuarat tamat dan aku memulakan pemanduan untuk balik semula ke Melaka. Jam 4.00 petang, aku sudahpun berada di rumah. Walaupun penat tetapi aku seronok kerana ada input baru yang aku terima bila berjumpa dengan rakan-rakan semasa mesyuarat.








Ahad, Mei 08, 2011

Karnival Pendidikan Melaka 2011

Sewaktu balik daripada menghantar Ifa ke Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR 2011 di INB Resort, kami singgah di MITC Ayer Keroh, Melaka untuk mengunjungi Karnival Pendidikan Melaka 2011.

Karnival Pendidikan Melaka 2011 diadakan selama 4 hari iaitu dari 5 Mei hingga 8 Mei 2011. Tema karnival ialah 'Inovasi Pendidikan Menjana Transformasi'. Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan ko akademik, pameran dan jualan buku, peluang-peluang kemasukan ke IPTA, jualan kelengkapan ICT, keperluan sekolah, pembiayaan kewangan dan insuran, kerjaya dan latihan kemahiran serta hari bertemu pelanggan.

Sewaktu kami tiba, ada aktiviti daripada pelajar di pentas iaitu pertandingan kalam jama'e sekolah menengah. Macam choral speaking tapi dalam bahasa Arab. Kemudian kami bergerak dari satu gerai ke gerai yang lain.

Arif mencari kertas soalan tahun-tahun lepas PMR untuk dibuat latihan. Akhirnya kami singgah di satu gerai EZ Mathematic di mana Miza dipelawa membuat latihan di depan gerai. Kemudian jurujual tersebut menunjukkan caranya dan nampaknya Miza macam berminat dengan cara penyelesaian yang ditunjukkan.

Lantas kami mendaftar untuk Miza menghadiri satu bengkel matematik yang akan diadakan pada bulan Julai 2011 di Perpustam. Kami membeli buku latihan untuk disiapkan oleh Miza sebelum menghadiri bengkel tersebut.

Pukul 4.30 petang, kami beredar daripada Karnival Pendidikan Melaka 2011 dan bergerak menuju Hospital Putra untuk melawat Aiman Danial yang dimasukkan ke wad kerana asma.













Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR 2011

Sabtu, 7 Mei 2011. Semalam kami sekeluarga menghantar Arifah ke Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR 2011 anjuran Jad Ansar di INB Resort, Ayer Keroh. Pendaftaran bermula pada jam 2.00 petang tetapi kami sampai jam 2.45 petang. Sewaktu kami tiba, ramai peserta sudahpun mendaftar dan sudahpun mengambil tempat di dalam dewan.

Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR 2011 ini dihadiri lebih daripada 100 orang peserta. Tujuan program ini diadakan ialah bagi membantu peserta mengetahui teknik-teknik menjawab soalan UPSR yang akan diduduki peserta pada bulan September nanti.

Aku bersalaman dengan Cikgu Zulcafli yang masih mengenali Arif. Arif suatu masa dahulu merupakan pelajar kelas tuisyen Jad Ansar. Program berlangsung selama dua hari dan dijangka tamat pada jam 1.30 petang, 8 Mei 2011.

Semoga Kem Motivasi Kecemerlangan UPSR 2011 ini menjadi pemangkin kepada kejayaan semua peserta khususnya Arifah.




Hari Terakhir di Felda Residence Hot Springs

Isnin, 2 Mei 2011. Hari ini merupakan hari terakhir percutian kami di Felda Residence Hot Springs. Pukul 8.45 pagi, kami dua keluarga bersarapan pagi di Cemara Lounge yang terletak hanya beberapa meter dari villa. Kami hanya berjalan kaki sahaja ke sana.

Setelah menikmati sarapan pagi, kami berpecah. Ada yang ingin mandi-manda di kolam air gunung dan air panas dan ada juga yang ingin membuat aktiviti yang lebih mencabar seperti menaiki motor di ATV X-Treme Park.

ATV X-Treme Park terletak bersebelahan jalan masuk ke kawasan kolam air gunung dan hanya beberapa meter dari tempat letak kereta pengunjung. Ia adalah satu kawasan yang lapang yang dibina jalan untuk laluan motosikal 4 roda. Kadar bayaran bagi satu pusingan ialah RM10.00. Ia sesuai untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Arif, Aiman, Eimran, Syafiq dan Rayyan menaiki kenderaan tersebut dua kali setiap seorang melainkan Rayyan. Memandangkan usia dan saiz badan Rayyan yang kecil, beliau dibantu oleh petugas yang menaiki motosikal bersamanya.

Pukul 11.00 pagi, kami ke kolam air gunung semula. Ini adalah mandian terakhir sebelum kami check-out dari villa. Secara kebetulan berjumpa adik aku, Azilah dan suaminya Nizam bersama tiga orang anaknya yang merancang bercuti sehari bersama dua lagi rakan mereka. Masing-masing datang bersama keluarga mereka.

Pukul 12.00 tengah hari, hujan agak lebat. Kami semua balik semula ke villa dan bersiap-siap untuk check-out tengah hari itu. Semua peralatan memasak dan baki bekalan makanan dimasukkan ke dalam kereta.

Pukul 2.00 petang , kami ke lobi hotel untuk memulangkan kunci dan terus bergerak balik ke Melaka. Sebaik keluar dari tol, berlaku kesesakan kenderaan di lebuhraya sejauh 20 km. Mahu tidak mahu, kena bersabar sahaja.

Kami singgah di rumah Farok di Putra Height petang itu dan selepas Isyak, kami bergerak balik ke Melaka. Sesungguhnya percutian ini amat menyeronokkan dan ada yang memasang impian untuk datang semula ke resort ini.