Khamis, Disember 29, 2011

Anak-anak Berseronok Di Funfair

Selepas Maghrib, kami bersiap untuk ke Funfair yang terletak beberapa meter bersebelahan lobi. Banyak peramainan disediakan dan setiap permainan dikenakan bayaran. Tiket perlu dibeli di kaunter.

Bagi pengunjung yang ingin keseronokan yang berganda, mereka boleh membeli 'gelang' iaitu tiket tanpa had dengan bayaran RM15.00 dan boleh menaiki apa jua permainan yang disediakan seperti merry go round, train ride dan lain-lain lagi.

Pukul 11.30 malam, kami pulang semula ke bilik walaupun anak-anak merengek kerana tidak puas bermain. Mereka perlu rehat kerana keesokan hari mereka akan seharian di Bukit Gambang Water Park.



































Bercuti Di Bukit Gambang Resort City

Isnin, 26 Disember 2011. Hari ini aku dan Ida masih lagi bercuti dan pagi ini anak-anak bangun lewat. Selepas bersarapan pagi, kami mula membungkus segala barangan dan peralatan untuk dimuatkan ke dalam kereta. Destinasi percutian kami kali ini ialah Bukit Gambang Resort City (BGRC) di Pahang Darul Makmur.



Pukul 12.00 tengah hari, keluarga kami dan Farok memulakan perjalanan dari Putra Heights, USJ ke Gambang melalui Lebuhraya Kesas dan Lebuhraya Pantai Timur. Cuaca hari ini sungguh cerah dan berawan membuatkan pemanduan lebih selesa. Perjalanan kami lancar dan sepanjang perjalanan anak-anak kerap bertanya bila kami akan sampai ke BGRC. Kami singgah di Hentian Rehat Maran untuk Solat Zuhur.

Perjalanan diteruskan akhirnya kami keluar melalui Plaza Tol Gambang. Lebih kurang 15 minit perjalanan melalui jalan lama menghala ke KL dari persimpangan Gambang, kami sampai di BGRC yang terletak di sebelah kanan jalan di atas bukit. Kami sampai ke destinasi ini pukul 4.00 petang.



Setelah check-in di lobi, kami terus ke apartment dua bilik (family suite) tempat penginapan kami di Caribbean Bay Resort. Anak-anak sudah tidak sabar untuk mandi-manda di kolam renang. Pukul 5.45 petang, kami ke kolam renang yang terletak berhampiran lobi BGRC. Pukul 7.00 malam kolam ditutup kepada pengunjung dan kami balik semula ke bilik walaupun anak-anak masih belum puas berenang.












Rabu, Disember 28, 2011

Shopping Di Uptown Shah Alam

Malam 25 Disember 2011, aku, Farok, Arif dan Ifa mengunjungi Kompleks Muhibbah yang terletak di Persiaran Sultan, Seksyen 24. Ia juga dikenali sebagai Uptown Shah Alam.

Kami bertolak dari Putra Heights, USJ pukul 11.50 tengah malam dan sampai kira-kira 15 minit perjalanan. Di sini terdapat lebih 400 gerai yang menjual pelbagai barangan seperti pakaian, produk kesihatan, aksesori, bundle, kasut, barangan perhiasan wanita, cenderamata dan kedai-kedai makan. Aktiviti perniagaan di sini beroperasi dari jam 7.00 malam hingga 3.00 pagi.



Pengunjung pada malam itu sungguh ramai sehinggakan mencari tempat letak kereta sukar. Akhirnya kami meletakkan kereta di tepi jalan utama sahaja.

Kami bergerak dari satu kedai ke satu kedai yang lain. Bangga juga aku bila melihatkan ramai bumiputera yang menjalankan perniagaan masing-masing dan kompleks ini nampak terurus.



Arif dan Ifa masing-masing berminat untuk memiliki sehelai baju sukan. Akhirnya kami mengunjungi sebuah gerai yang menjual pelbagai pakaian sukan. Selepas memilih pakaian dan tawar menawar dengan tauke kedai, akhirnya Arif berjaya memiliki sehelai baju pasukan Queen Park Rangers (QPR)manakala Ifa memilih baju pasukan Malaysia. Masing-masing memilih nombor 7 sebagai nombor kegemaran mereka.



Selain daripada baju, Arif juga membeli sehelai snow cap dan juga beg sekolah. Aku cuma membeli sehelai seluar sukan tiga suku panjang buat bersantai di Bukit Gambang Resort City.




Selepas puas berjalan, akhirnya kami singgah di sebuah gerai makan untuk menjamu selera. Kami pulang ke rumah pada jam 3.00 pagi.