Ahad, Jun 05, 2011

Sampai Lewat Proton Perdana V6 Rosak

Alhamdulillah, kami sampai di Hotel EDC-UUM pada jam 9.45 malam. Setelah check-in, kami bergerak menuju ke bilik penginapan masing-masing. Aku, Muaat dan Rashid duduk sebilik, Norlian dan Rasida sebilik manakala KP dengan anak-anaknya tinggal sebilik.

Mengimbas kembali perjalanan kami pagi tadi, aku, Muaat, Rashid, Norlian dan Rasida menaiki van jabatan. Van dipandu oleh Muaat. Kami semua dalam perjalanan ke Perpustakaan UUM untuk menghadiri Kursus ePrints. Kami bergerak pukul 10.00 pagi setelah menziarahi Siddiq dan Nadia, pengantin baru di rumahnya di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang.

Kami melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan perjalanan kami lancar. Aku yang duduk di bahagian hadapan di sebelah pemandu sesekali melayan Muaat berbual bagi mengelakkan beliau mengantuk tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Sesekali aku terlelap. Kami bercadang untuk singgah di Plaza R&R Tapah.

Hanya beberapa meter untuk masuk ke susur keluar Plaza R&R Tapah, Muaat menerima panggilan telefon daripada KP menyatakan kereta Proton Perdana V6 yang dipandunya mengalami masalah. Kejadian berlaku lebih kurang 2 kilometer sebelum susur keluar Plaza Tol Gopeng.

Akhirnya kami membatalkan hasrat untuk singgah di Plaza R&R Tapah sebaliknya meneruskan perjalanan untuk melihat kerosakan kepada kenderaan KP. Pukul 2.00 petang, sewaktu kami sampai di tempat kejadian, kami lihat sebuah kenderaan Proton Perdana V6 berada di bahu jalan manakala KP bersama anak-anaknya duduk di bawah sepohon pokok di sebelah longkang kecil di tepi lebuhraya.

Aku, Muaat dan Rashid membuka hood kereta dan melihat kerosakan tersebut. Terdapat sedikit leaking pada enjin dan air di dalam radiator juga tiada. Kami cuba mencari ikhtiar mendapatkan air daripada botol-botol minuman tetapi tidak mencukupi. Selepas kira-kira 15 minit meninjau kerosakaan dan cuba mengisi air ke dalam radiator, tiba-tiba sebuah kereta Proton Iswara yang dipandu oleh seseorang berhenti dan mengundurkan kenderaan ke arah kami.

Seorang lelaki India bertanyakan masalah dan menyatakan radiator ketiadaan air. Beliau meninjau dan memaklumkan kepada kami radiator cap rosak menyebabkan air meleleh keluar. Kami meminta bantuan daripada lelaki India yang kami panggil 'macha' itu dan dia juga mengisi air dari dalam tong kecil keretanya ke dalam radiator tersebut.

Sedang macha ini berusaha membantu, tiba-tiba sebuah kereta peronda daripada Plus sampai. Macha meminta air daripada petugas dan mereka memberikan sebuah tong sederhana besar berisi air. Macha memasukkan air ke dalam radiator sehingga penuh. Kemudian air diisi ke dalam botol-botol sebagai bekalan jika berlaku lagi pengurangan air di dalam tangki. Setelah meneliti keadaan enjin, Macha meminta kami keluar melalui Plaza Tol Gopeng untuk dibersihkan radiator dan ditukarkan radiator cap yang baru.

KP meminta aku memandu Proton Perdana V6 manakala beliau bersama anak-anak perempuannya menaiki van. Akhirnya Rashid memandu Proton Perdana V6 manakala aku duduk kerusi sebelah. Dua orang anak lelaki KP juga berada di dalam kereta Proton Perdana V6 tersebut.

Pukul 3.00 petang, kami sudah berada di Plaza Tol Gopeng. Kenderaan dibawa berdekatan tandas dan radiator dicuci kerana air sudah bercampur dengan sedikit minyak enjin. Macha membuat semua kerja pembersihan tersebut dan menguji enjin kereta. Setelah menutup radiator dengan cap yang baru, fasa seterusnya memastikan kipas berpusing kerana jika sebaliknya, enjin akan menjadi panas. Bila enjin menjadi panas, kerosakan pada enjin akan menjadi lebih teruk. Aku berdoa semoga segala masalah akan selesai. Tiba-tiba kipas berpusing dan kami berasa lega dengan masalah tersebut.

Kos keseluruhan pencucian tangki radiator dan juga radiator cap baru berjumlah RM105.00 dan kami terkejut dengan jumlah tersebut. Kami cuba berbincang meminta macha mengurangkan caj tersebut namun beliau hanya boleh mengurangkan sebanyak RM5.00 sahaja.

Setelah membayar kos tersebut, kami meneruskan perjalanan semula. KP seakan trauma dengan kejadian ini dan meminta aku, Rashid dan anak-anak lelakinya meneruskan perjalanan dengan Proton Perdana V6 tersebut. Dua buah kenderaan akhirnya bergerak secara bertunda dan Muaat memastikan jarak di antara dua kenderaan tidak jauh.

Sambil memandu, kami melihat petunjuk air pada dashboard dan ianya nampak stabil. Kami singgah di Plaza R&R Gurun untuk menunaikan solat Maghrib dan mengisi perut. Pukul 9.00 malam kami meneruskan perjalanan dan akhirnya sampai juga kami di Hotel EDC-UUM, lebih kurang 9 km daripada Changloon.

Pukul 10.30 malam, kami keluar makan malam di sebuah gerai makan berhampiran pintu masuk UUM. Pukul 11.30 malam, kami kembali semula ke hotel.

Setiap kejadian Allah SWT itu ada hikmahnya. Manusia hanya merancang hanya Allah SWT yang menentukan.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan