Khamis, Jun 21, 2012

Seminar Transformasi Perkhidmatan Online & ICT

Rabu, 20 Jun 2012. Hari ini aku, rakan setugas Mahadir Che Ali, dan dua orang pegawai UTeM sempat menghadiri Seminar Transformasi Perkhidmatan Online & Infrastruktur Sektor Awam sempena Minggu Sains, Teknologi dan ICT Johor (MISTI Johor) dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.



Seminar ini dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta serta pentadbir komuniti. Antara tujuannya ialah untuk menerangkan kepada masyarakat akan kemajuan ICT yang dibangunkan oleh kerajaan dan pelaksanaannya di peringkat masyarakat setempat.



Beberapa jabatan terlibat dalam memberi penerangan tentang projek ICT yang sedang dilaksanakan kepada rakyat seperti MAMPU, MOSTI, JPN dan lain-lain lagi. Beberapa inisiatif kerajaan turut disampaikan seperti penggunaan Eduweb TV dan Myemel. Selain seminar, ada juga pameran dan aktiviti-aktiviti sampingan untuk pelajar sekolah dan pengunjung MISTI Johor 2012 ini.



Semalam, Perasmian Minggu Sains, Teknologi dan ICT Johor (MISTI Johor) dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor. Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YBhg. Dato’ Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI. Seramai 1,000 orang menghadiri majlis perasmiannya di Dewan Tanjung Puteri, Persada Johor.



Program ini berlangsung selama 7 hari bermula dari 19 hingga 25 Jun 2012 dan dijangka menarik seramai 50,000 orang pengunjung dari segenap lapisan masyarakat untuk mengikuti pelbagai aktiviti berteraskan sains, teknologi, ICT dan inovasi yang telah disediakan sepanjang MISTI Johor dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan berlangsung.




















Tiada ulasan:

Catat Ulasan