Pesta Buku Melaka 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) ini bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat serta menyokong industri buku tempatan khususnya di Negeri Melaka. Di samping itu ia juga dapat membina gaya hidup yang positif dan menerapkan amalan murni melalui pembacaan.
Pesta Buku ini berlangsung selama tiga hari iaitu dari 2 hingga 4 November 2012. Pelbagai aktiviti diadakan seperti jualan dan pameran buku, Pameran Perpustakaan, Kembara Ilmu, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Karaoke Bintang Cilik, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Tulisan Khat dan Pertandingan Bowling Terbuka.
Selain daripada itu turut diadakan Pertandingan Nazam, Pertandingan Ikatan Kasih (Puzzle), Pertandingan Pakaian Beragam, Demonstrasi Kraftangan, Bicara Novelis, “Spell It Right In JAWI”, Kuiz Pelancongan, Kuiz Perpustakaan, Kuiz Pengetahuan Am dan Pengunjung Bertuah. Kartunis Imuda dan novelis Ain Maisarah turut dijemput untuk memeriahkan sesi bersama para pengunjung.
Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 diadakan pada jam 2.15 petang dan dihadiri oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, YB Datuk Hj. Ab. Wahab Ab. Latip, Pengerusi Perpustam, YB Datuk Latiff Datuk Hj. Tamby Chik, Datuk Prof. Madya Dr. Abu Bakar Md. Diah dan Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris, selaku Pengarah Perpustam di samping ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, para pemenang pertandingan serta pengunjung pesta buku.
Beliau berharap Perpustam dapat memikirkan strategi memapankan industri buku negara seperti mengadakan pertandingan menulis buku bagi melahirkan lebih ramai penulis di mana ia mampu merancakkan industri buku tanah air. Bagi Negeri Melaka, ianya turut mendapat manfaat di mana ia menjadikan negeri ini sebagai negeri pelancongan pendidikan pada masa depan.
Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 berakhir pada jam 3.30 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan