Sabtu, November 06, 2010

Bengkel Pengkatalogan Deskriptif

Pada 3 dan 4 November 2010, Perpustakaan UTeM telah menganjurkan Bengkel Pengkatalogan Deskriptif dan Aplikasi Format MARC 21 Untuk Monograf. Bengkel ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kecekapan peserta dalam pendokumentasian bahan supaya pengaksesan dapat dilakukan dengan cepat dan tepat di samping merupakan satu pendedahan dan latihan bagi meningkatkan kompetensi staf dalam pendokumentasian bahan perpustakaan.

Bengkel yang diadakan di Aras 2, Bangunan Perpustakaan UTeM ini dihadiri seramai 45 orang peserta yang terdiri daripada 33 orang staf Perpustakaan UTeM dan 12 orang peserta daripada agensi luar. Penyertaan peserta daripada agensi luar terdiri daripada Kolej Pengajian Islam Johor (3 orang), Melaka Manipal Medical (2 orang), Micost (1 orang), Southern College (1 orang), Kolej RISDA Melaka (1 orang), Unikl Micet (2 orang), Kolej Teknologi Yayasan Alor Gajah (1 orang) dan Kolej Negeri Kampus Chedang (1 orang).

Bengkel Pengkatalogan Deskriptif dan Aplikasi Format MARC 21 Untuk Monograf ini dikendalikan oleh Cik Salmah Hj. Salleh, iaitu Training Consultant di Wisdom Synergy Enterprise. Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang pengkatalogan menggunakan segala kepakarannya untuk membantu peserta yang rata-rata terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang kepustakawanan untuk memantapkan pengetahuan mereka dengan perkongsian maklumat semasa bengkel.

Di antara topik yang dibentangkan pada hari pertama ialah berkaitan asas pengkatalogan, pengkatalogan deskriptif - deskripsi monograf dan contoh-contoh serta pemilihan punca-punca akses.

Pada hari kedua, topik yang dibicarakan ialah berkaitan bentuk tajuk - nama orang perseorangan, nama badan korporat, nama persidangan dan nama geografi. Di samping itu, penceramah juga menerangkan tentang aplikasi format MARC 21 untuk monograf dan bagi memastikan peserta faham topik-topik yang dibentangkan, penceramah menyediakan latihan dan jawapan dibincangkan secara bersama.

Di akhir sesi, peserta dapat bersoal jawab dengan penceramah dan ini dapat meningkatkan kefahaman peserta serta dapat menyelesaikan segala kekusutan semasa diaplikasikan ke dalam pekerjaan peserta kelak.

Bengkel yang bermula pada jam 8.30 pagi tamat pada jam 5.00 petang. Bengkel diakhiri dengan aktiviti penyampaian sijil oleh Ketua Pustakawan kepada peserta dan penceramah.

Secara keseluruhan, Bengkel Pengkatalogan Deskriptif dan Aplikasi Format MARC 21 Untuk Monograf ini berjaya mencapai matlamatnya dan sesungguhnya penganjuran bengkel sebegini dapat merapatkan hubungan di antara perpustakaan dan secara tidak langsung meningkatkan bidang kepustakawanan di mata masyarakat.













































Selasa, November 02, 2010

Mak Bedah Masuk Wad Kerana Diabetes

Sudah seminggu Mak Bedah dimasukkan ke wad akibat penyakit diabetesnya. Beliau didapati lemah tubuh badannya pada 26 Oktober 2010 akibat gula dalam darah yang sedikit tinggi. Secara kebetulan, Amir, adik aku dan isterinya pulang dari Kuala Lumpur petang itu membawa Mak Bedah ke hospital. Arif juga turut membantu neneknya.

Mak Bedah dimasukkan ke Wad C4, wad lama. Dan sewaktu aku melawat beliau di sana, dapat aku melihat kedaifan wad-wad di Hospital Melaka di mana bumbungnya retak dan dimasuki air ketika hujan. Namun begitu menurut staf di wad berkenaan, mereka dalam proses mengosongkan wad tersebut untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan.

Aku meminta Mak Bedah dipindahkan ke wad lain sebaik aku mendapat guarantee letter (GL) dari majikan dan keesokan harinya beliau dipindahkan ke katil yang berbeza pada wad yang sama. Selang sehari kemudian, beliau dipindahkan ke Wad A2 dan ditempatkan bersebelahan pesakit-pesakit yang mengidap demam denggi.

Aku sebenarnya tidak kisah wad mana pun ditempatkan asalkan rawatan yang diberikan memuaskan.

Mak Bedah mengalami simptom mabuk dan sedikit pneumonia, barangkali jangkitan kuman pada paru-paru. Buat masa ini beliau diberikan antibiotik bagi melegakan kesakitannya.

Ahad, 31 Oktober 2010, ramai anak-anak dan cucu pulang untuk melawat Mak Bedah tetapi alangkah hampanya bila notis di hospital tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun melawat pesakit.

Aku meminta kebenaran pengawal keselamatan untuk membawa pesakit ke tingkat bawah Wad A berhadapan dengan taman permainan bagi memboleh pelawat bertemu pesakit dan beliau membenarkan. Jadi, petang itu dapatlah cucu-cucu yang pulang berjumpa dengan nenek mereka.

Wad A2 ni merupakan wad untuk pesakit wanita dan orang lelaki tidak dibenarkan menjaga pesakit. Oleh itu, adik dan adik ipar aku yang menjaga Mak Bedah sehingga ke hari ini.

Hari demi hari berlalu dan kini aku dapat melihat perubahannya. Mabuk sudah semakin hilang. Beliau sudah boleh ke bilik air dan makan sendiri. Cuma doktor belum boleh membenarkan beliau pulang kerana perlu menghabiskan antibiotik selama 5 hari.

Menyingkap kisah-kisah lalu, Mak Bedah seorang yang sukar untuk mengikut nasihat doktor. Walaupun tahu beliau mengidap diabetes namun beliau enggan memakan ubat yang diberikan.

Aku menasihatkan Mak Bedah supaya mengurangkan makanan bergula dan aku berharap pengajaran berguna dimasukkan ke wad dapat mengubah tabiat pemakanan beliau.

Dan ketika Mak Bedah yang kini berusia 68 tahun masih di hospital, Pak Yup yang berusia 73 tahun sentiasa melawat dan membelikan sarapan buat isteri tercintanya. Kata orang itulah teman bergaduh dan itu juga teman berbual. Begitulah setianya kedua orang tua aku ini.

Kata orang wang boleh dicari tetapi kesihatan tidak. Dan bagi aku pula, wang boleh dicari tetapi ibu bapa tidak mungkin. Hanya satu sahaja dan tiada tolok bandingnya.

Aku mendoakan kesejahteraan buat kedua-duanya.

Amin...

Nota: Mak Bedah dibenarkan pulang ke rumah pada hari Isnin, 8 November 2010.








Menghadiri Majlis Akikah

Ahad, 31 Oktober 2010. Hujung minggu ni tak banyak aktiviti yang dapat aku rancangkan selain berulang ke Hospital Besar Melaka setiap kali waktu melawat tiba. Sudah hampir seminggu Mak Bedah dimasukkan ke wad kerana penyakit diabetisnya.

Namun begitu dalam kesibukan, sempat aku meluangkan masa menghadiri majlis akikah di rumah rakan sekerja, Asmadi Daud. Dan seperti biasa, Ifa akan menjadi peneman setia aku ke mana-mana majlis dan tidak hairanlah kalau Ifa lebih mengenali rakan-rakan sekerja aku yang lain berbanding abangnya, Arif.

Jam 4.00 petang, kami bertolak ke rumah Asmadi di No. 39, Lorong 2, Jalan Desa Duyong 7, Taman Desa Duyong seperti mana yang tertera dalam pesanan ringkas yang diterima sehari sebelum majlis.

Hampir 20 minit berlegar-legar di sekitar kawasan perumahan ini tetapi masih tidak bertemu rumah yang dicari. Susunan lorong di kawasan perumahan ini agak mengelirukan. Akhirnya, aku menelefon Asmadi dan beliau menjelaskan kedudukan rumahnya.

Jam 4.25 petang, kami tiba di rumah beliau. Sebuah khemah putih dipasang di hadapan rumah bagi memudahkan tetamu menjamu selera.

Sewaktu kami sampai, Ustaz Azman Amir juga ada di sana. Kami berbual-bual hal-hal kekeluargaan dan latar belakang keluarga masing-masing.

Menurut Asmadi, majlis akikah ini adalah untuk anak keempat beliau yang merupakan anak bongsu ketika ini. Anak sulungnya ketika ini berusia 7 tahun.

Pukul 5.10 petang, kami meminta diri kerana urusan lain. Semoga majlis-majlis begini dapat merapatkan hubungan kekeluargaan antara staf hendaknya...