Ahad, Julai 03, 2011

Majlis Merisik Bakal Tunang Saufi

Ahad, 3 Julai 2011 bersamaan 1 Syaaban 1432 Hijrah. Hari ini telah ditetapkan satu majlis merisik bakal tunang Saufi akan diadakan di rumah bakal tunangnya di Rembau, Negeri Sembilan.


Pukul 2.15 petang kami bergerak ke Rembau menggunakan 4 buah kenderaan, Toyota Innova dipandu oleh Amir, Perodua Alza dipandu oleh Zamry, Proton Iswara dibawa oleh Yati dan Perodua Myvi oleh Roseniza. Hari ini aku pula menjadi penumpang.


Berbekalkan lakaran peta lokasi pada sekeping kertas kami menggunakannya sebagai panduan.


Aku menumpang kereta Alza yang dipandu oleh Zamry. Bersama-sama di dalam kereta ialah Amy, Zainab, Aishah Najwa dan Ida. Perjalanan mengambil masa lebih kurang sejam.


Rombongan kami sampai pada jam 3.45 petang. Sebaik sampai, tuan rumah menjemput kami masuk ke rumah. Barang-barang yang kami bawa juga dibawa bersama. Antaranya ialah cincin merisik, sebakul buah-buahan, kek dan juga sebekas kuih.


Tuan rumah menyambut kami dengan mesra.


Turut bersama kami ialah Pakcik Talib yang kami lantik sebagai jurucakap dalam perundingan ini.


Zamri bersama Aisyah Najwa.


Pihak tuan rumah yang juga bakal besan mendengar pembukaan majlis oleh Pakcik Talib.


Sekelian yang hadir mendengar butir-butir perbincangan dan perundingan di antara kedua belah pihak.


Sebentuk cincin emas di dalam sebuah bekas antik di mana di dalamnya disimpan cincin bersama kotak cincin sekali agar nampak cantik.


Perbincangan turut melibatkan ibu dan ayah bakal tunang Saufi.


Kedua pihak mencari tarikh yang sesuai untuk majlis pertunangan. Akhirnya tarikh yang dipilih ialah pada 1 November 2011,jam 2.00 petang. Pada majlis pertunangan kelak, pihak lelaki akan membawa wang hantaran sebanyak RM4000 daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM9000. Baki wang hantaran akan diselesaikan 3 bulan sebelum majlis perkahwinan diadakan. Dari segi bilangan dulang hantaran, seperti biasa bilangan daripada pihak lelaki ialah 7 dulang dan dibalas pihak perempuan sejumlah 9 dulang.


Ahli-ahli waris menjadi saksi kepada perbincangan.


Pihak tuan rumah bersetuju majlis pertunangan dan pernikahan tidak menggunakan pegawai adat kerana bagi mereka waris sahaja sudah mencukupi sebagai saksi kepada perjalanan majlis.


Pihak kami gembira kerana perbincangan berjalan dengan baik.


Setelah selesai perbincangan, pemilihan siapa yang bakal menyarungkan cincin merisik diserahkan oleh Mak Bedah kepada Aziah, adik perempuan aku yang paling tua.


Sebentuk cincin disarungkan ke jari manis bakal tunang Saufi menandakan beliau sudah 'dipancang'.


Bakal tunang Saufi bersalam dan mencium bakal kakak iparnya.


Setelah selesai perbincangan, rombongan kami dijamu dengan mee kari, kuih-muih dan buah-buahan.


Sambil makan, sambil berbual.


Ida membantu mengagihkan makanan kepada ahli rombongan.


Raihanah, anak perempuan Rozanah juga turut menikmati mee kari. Selepas ini mereka berdua mengikuti Yati dan Aziah balik ke Kuala Lumpur.


Aisyah Najwa.


Raihanah.


Ahmad Bukhari makan tembikai.


Azim menikmati mee kari.


Pukul 5.00 petang setelah semuanya selesai, ahli rombongan memohon untuk pulang ke Melaka.


Yati dan Zainab.


Kenderaan yang dinaiki rombongan merisik.


Masing-masing bersalaman sebelum beredar.


Hadiah daripada pihak perempuan pula.


Perjalanan balik dari Rembau, kami melalui Kota, Kendong, Alor Gajah dan terus ke Peringgit. Alhamdulillah, semua yang dirancangkan berjalan dengan baik.

Majlis Perkahwinan Mohd Tirmidzi-Nurul Adhwa

Ahad, 3 Julai 2011. Hari ini aku ke SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam untuk menjemput Arif yang telah mendapat kebenaran warden untuk outing dari asrama. Kemudian kami ke Dewan Taming Sari, MBMB untuk menghadiri majlis perkahwinan Mohd Tirmidzi dengan pasangannya Nurul Adhwa Rauf. Kami berdua sampai pukul 11.40 pagi ketika belum ramai tetamu hadir ke majlis berkenaan. Secara kebetulan, Arif juga rakan seasrama dengan seorang lagi anak lelaki Puan Sarimah, Syafiq.



Sebaik sampai di pintu dewan, aku bersalaman dengan Haji Abdullah Kahar, suami Puan Sarimah Zakaria. Keduanya merupakan ibu dan bapa pengantin lelaki yang melangsungkan perkahwinan mereka hari ini. Selain Tirmidzi, adiknya Ahmad Sufi turut meraikan hari bahagianya bersama pasangannya Norizan Suraidi.



Majlis perkahwinan ini kelihatan teratur kerana dijalankan di dalam dewan berhawa dingin. Susunan kerusi dan meja untuk tetamu di tengah dewan manakala di sebelah kiri dan kanan pula sebaris hidangan ala buffet berupa nasi minyak dan nasi putih dengan kuah ayam kurma, ayam masak merah, dalca dan acar buah. Selain itu ada juga pembasuh mulut berupa limau potong, kuih-muih dan rempeyek.





Bagi tuan rumah, persiapan tempat dan jamuan majlis menggunakan sentuhan Pok De Catering dari Kampung Sialang Dalam, Tangkak, Johor Darul Takzim memang berbaloi. Persiapan kemas ala-ala hotel dengan semua kerusi tetamu berbalut dan ada pintu gerbang pengantin.



Pukul 12.15 tengah hari, kami beredar dari lokasi majlis. Sewaktu bersalaman dengan Haji Abdullah, aku sempat mengucapkan tahniah kepada Puan Sarimah dan suaminya kerana menerima dua orang menantu sekaligus. Cuma aku terkilan sedikit kerana tidak dapat bertemu kedua pasangan pengantin ini kerana ada urusan lain yang harus diselesaikan.



Cuma aku mendoakan semoga kedua pasangan ini kekal ikatan perkahwinan mereka selama-lamanya.

Jumaat, Julai 01, 2011

Sesi Pembentangan Projek Pelajar Praktikal

Jumaat, 1 Julai 2011. Tahun ini Perpustakaan UTeM menerima seramai 9 orang pelajar untuk menjalani latihan praktikal di perpustakaan. Daripada 9 orang pelajar, 7 orang daripada Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam manakala 2 orang lagi daripada FTMK, UTeM. Bagi pelajar UiTM, mereka menjalani latihan praktikal dari 15 Mei hingga 15 Julai 2011.



Sepanjang tempoh latihan, pelajar juga akan mempelajari teknik-teknik kerja di unit-unit di perpustakaan. Ini bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman yang berguna semasa memasuki alam pekerjaan kelak.



Hari ini diadakan satu pembentangan projek untuk para pelajar bagi mengukur sejauh mana idea dan pandangan mereka boleh digunakan untuk penambahbaikan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan perpustakaan. Sesi ini diadakan di Bilik Tayangan 1, Perpustakaan UTeM pada jam 10.45 pagi dan dihadiri oleh semua pustakawan.



Dua kumpulan pelajar membuat persembahan mengikut tajuk-tajuk yang diberikan. Encik Harul Rizam Mohamed, Pustakawan Unit Automasi memulakan sesi dengan menyatakan tujuan sesi diadakan dan kemudian meminta setiap kumpulan membuat persembahan projek masing-masing.



Kumpulan 1: Cadangan Pembaharuan Perkhidmatan Perpustakaan UTeM



Kumpulan ini terdiri daripada Mohd Fahiezan Md Zan, Nur Ili Mahmod, Nor Hamizah Hashim dan Fathen Fareena Daut.



1. Ruang Cafe
Menurut Nor Hamizah, dengan adanya cafe di perpustakaan, ia akan memudahkan pengguna untuk makan dan release tension.




2. 3D Virtual Library
Ia pernah dibangunkan oleh NUS Library, Singapore di mana pengguna boleh mengetahui lokasi buku secara 3D visual.



3. Rak Buku Elektronik
Nur Ili pula mencadangkan diadakan rak buku elektronik di mana dengan menggunakan skrin sesentuh pada rak, pengguna boleh mengesan kedudukan buku yang dikehendaki secara elektronik dan ia boleh menjimatkan masa.

4. Akaun Pelajar Di Portal Perpustakaan
Dengan adanya akaun pelajar di portal perpustakaan, akses ke akaun memudahkan urusan pengguna seperti tempahan, pinjaman dan lain-lain lagi serta dapat melihat sejarah buku-buku yang dipinjam serta hutang di dalam akaun masing-masing.

5. Beg Mesra Pelajar
Dengan adanya beg mesra pelajar, pengguna boleh membawa masuk barang-barang kepunyaan mereka ke perpustakaan dalam kuantiti yang banyak.

6. Meja iPad2
Perpustakaan disaran mengadakan meja yang dilengkapi dengan iPad2 agar pengguna mudah mengakses ke internet.



7. Water Cooler
Bagi Fatheen, perpustakaan juga boleh menyediakan water cooler untuk pengguna dengan menggunakan cawan kertas seperti mana yang pernah diadakan di beberapa perpustakaan seperti Perpustakaan UM dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad, UPM.

8. Ruang Rehat
Ruang rehat perlu disediakan bertujuan untuk pengguna bersantai seperti mana diadakan di PPA Selangor di Shah Alam.



9. Touch Screen LCD Floor Plan
Fahiezan pula teruja dengan touch screen LCD floor plan atau i-library floor plan iaitu seperti kiosk di mana pengguna dapat mengetahui lokasi perkhidmatan di perpustakaan.

10. Binding
Perkhidmatan electric binding pula boleh memudahkan pengguna membuat binding serta menjimatkan masa.


Kumpulan 2: Pembaharuan Kepada Perpustakaan UTeM



Kumpulan ini pula dianggotai oleh Mohd Fariz Samsuddin, Aziana Adzab dan Nur Hiddhayu Muhamad.



1. Thumbprint
Mohd Fariz membentangkan persembahan dengan menyatakan penggunaan thumbprint lebih mudah dan berkesan kerana ada staf yang tertinggal kad pekerja.

2. Book sorting
Penggunaan book sorting seperti mana yang pernah digunakan di sebuah perpustakaan di New York lebih menjimatkan masa, sistematik, cepat, efisien dan efektif. Ia juga akan mengurangkan kesalahanyang dilakukan oleh manusia.



3. Handheld RFID Reader
Nur Hiddhayu berpendapat dengan penggunaan handheld RFID reader, ia akan mengurangkan human error. Manusia sering membuat kesilapan tetapi penggunaan alat elektronik ini akan menjadikan perkhidmatan lebih cekap dan tepat.

4. Digital Announcer
Penggunaan digital announcer akan pada pendapat beliau lebih berkesan kerana keseragaman dari segi suara, kurang kesilapan manusia, pengumuman boleh direkodkan terlebih dahulu serta menggunakan cip memori. Kaedah yang digunakan sekarang tidak berkesan kerana bergantung kepada kemampuan seseorang individu yang melaksanakan tugasan.



5. Scanner Machine
Bagi Aziana, penggunaan scanner machine dapat mempercepatkan kerja-kerja pengimbasan buku dan artikel di perpustakaan.

6. Loker Staf
Penggunaan loker staf yang berciri keselamatan seperti menggunakan identiti pengguna akan mengelakkan loker mereka dicerobohi.

7. Cafe
Penyediaan cafe tetamu merupakan sesuatu yang amat dijangkakan oleh pengguna kerana ia lebih selesa, mudah dan menjimatkan masa.



Sebaik selesai sesi pembentangan, diadakan sesi soal-jawab yang amat konstruktif. Idea-idea yang dibentangkan cuba diulas oleh kedua pihak dengan pandangan yang membina.

Ada cadangan untuk mengadakan senaman aerobik, mengadakan kelab sahabat, mengadakan taman bunga dan aktiviti berhadiah untuk menarik pengguna sebaliknya ada pula pandangan yang berbeza seperti warna bangunan berwarna putih agak tidak menarik perhatian dan penginapan pelajar jauh dari kampus. Mereka berpendapat staf di kaunter mesra tetapi tidak approach kepada pengguna khususnya pelajar.



Pelajar berpendapat perpustakaan perlu menggilirkan staf setiap 2 tahun sekali dan sepatutnya mengekalkan peraturan sedia ada serta perlaksanaannya secara lebih menggunakan psikologi.

Walau bagaimanapun, para pelajar ini teruja dengan warna dan rekabentuk perabot di perpustakaan ini. Dari segi skala yang diberikan terhadap keseluruhan perkhidmatan perpustakaan, markah yang diberikan ialah 6/10 sahaja.

Sesi pembentangan tamat pada pukul 12.30 tengah hari.