Ahad, Julai 03, 2011

Majlis Perkahwinan Mohd Tirmidzi-Nurul Adhwa

Ahad, 3 Julai 2011. Hari ini aku ke SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam untuk menjemput Arif yang telah mendapat kebenaran warden untuk outing dari asrama. Kemudian kami ke Dewan Taming Sari, MBMB untuk menghadiri majlis perkahwinan Mohd Tirmidzi dengan pasangannya Nurul Adhwa Rauf. Kami berdua sampai pukul 11.40 pagi ketika belum ramai tetamu hadir ke majlis berkenaan. Secara kebetulan, Arif juga rakan seasrama dengan seorang lagi anak lelaki Puan Sarimah, Syafiq.



Sebaik sampai di pintu dewan, aku bersalaman dengan Haji Abdullah Kahar, suami Puan Sarimah Zakaria. Keduanya merupakan ibu dan bapa pengantin lelaki yang melangsungkan perkahwinan mereka hari ini. Selain Tirmidzi, adiknya Ahmad Sufi turut meraikan hari bahagianya bersama pasangannya Norizan Suraidi.



Majlis perkahwinan ini kelihatan teratur kerana dijalankan di dalam dewan berhawa dingin. Susunan kerusi dan meja untuk tetamu di tengah dewan manakala di sebelah kiri dan kanan pula sebaris hidangan ala buffet berupa nasi minyak dan nasi putih dengan kuah ayam kurma, ayam masak merah, dalca dan acar buah. Selain itu ada juga pembasuh mulut berupa limau potong, kuih-muih dan rempeyek.





Bagi tuan rumah, persiapan tempat dan jamuan majlis menggunakan sentuhan Pok De Catering dari Kampung Sialang Dalam, Tangkak, Johor Darul Takzim memang berbaloi. Persiapan kemas ala-ala hotel dengan semua kerusi tetamu berbalut dan ada pintu gerbang pengantin.



Pukul 12.15 tengah hari, kami beredar dari lokasi majlis. Sewaktu bersalaman dengan Haji Abdullah, aku sempat mengucapkan tahniah kepada Puan Sarimah dan suaminya kerana menerima dua orang menantu sekaligus. Cuma aku terkilan sedikit kerana tidak dapat bertemu kedua pasangan pengantin ini kerana ada urusan lain yang harus diselesaikan.



Cuma aku mendoakan semoga kedua pasangan ini kekal ikatan perkahwinan mereka selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan