Selasa, Februari 07, 2012

Al-Ikhlas

Sabtu, 4 Februari 2012. Malam ini aku berkesempatan menonton telemovie Cerekarama TV3 berjudul Al–Ikhlas. Sinopsis ceritanya seperti berikut:



Al-Ikhlas mengisahkan tentang Solah, seorang yang sangat lurus dan baik hati. Keadaan Solah menyebabkan orang kampung sering mengambil kesempatan terhadapnya. Namun, bagi Solah dia hanya menjalan tugas dengan ikhlas. Solah pernah berkahwin namun sejak isterinya meninggal dunia, dia tinggal berseorangan ditemani dengan kucing-kucing kesayangannya.

Dia juga sering berkunjung ke surau lama di kampungnya untuk beribadat. Surau tersebut terletak di atas tanah yang telah diwakafkan oleh ayah Zaki, namun, apabila ayahnya meninggal dunia, Zaki ingin menjual tanah tersebut. Ramai yang tidak jadi membeli tanah tersebut kerana adanya surau di situ. Zaki seringkali mendesak Pak Ali, ketua kampung supaya merobohkan surau tersebut supaya dia boleh menjual tanah namun Pak Ali enggan kerana surau tersebut telah diamanahkan oleh bapa Zaki kepadanya. Zaki juga pernah cuba untuk membakar surau tersebut tetapi menghentikan hasratnya apabila mendapati Solah sedang beribadat di dalamnya.



Kesudahan telemovie ini ialah Solah meninggal dunia di rumahnya manakala Zaki juga meninggal dunia akibat kemalangan selepas menerima cek hasil jualan tanah surau. Solat mewasiatkan tanahnya untuk didirikan surau dan juga sekolah agama.



Pelakon: Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Abu Bakar Omar, Fauziah Nawi, Shoffi Jikan, Wan Suhaimi. Pengarah: Raja Ahmad Alaudin.

Sifat Mulia Nabi Muhammad SAW



Terdapat 4 sifat mulia Nabi Muhammad SAW.

1. Siddiq - benar. Sebagai pemimpin umat Rasulullah amat cintakan kebenaran, sentiasa bercakap benar atas perkara yang benar dan mahu hanya kebenaran ditegakkan.

2. Amanah - jujur atau benar-benar boleh dipercayai. Allah mengamanahkan Rasulullah untuk memimpin umat ke SyurgaNya.

3. Tabligh - menyampaikan. Rasulullah SAW sebagai utusan Allah menyampaikan segala perintah Allah kepada umat dengan penuh kebenaran dan amanah.

4. Fathonah - bijaksana. Kebijaksanaan Rasulullah amat terserlah dalam tutur katanya yang penuh hikmah yang berasaskan ilmu dari Allah SWT.

Semoga dapat kita mengamalkan sifat-sifat terpuji ini....

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad SAW

Khutbah ini disampaikan pada 9hb Zulhijjah, tahun 10 Hijriah di Lembah Uranah, Gunung Arafah :



“Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan telti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan Kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kami lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya, kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikuti dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak di atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikankanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahui bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah, bahawa, kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung jawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah ALQURAN dan SUNNAHKU.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMu kepada hamba-hambaMU.

Antara intipati yang ditekankan di dalam khutbah tersebut ialah:

1. Sentiasa amanah dalam menguruskan harta.
2. Jangan sesekali meindas terhadap sesama mausia.
3. Wajib menjauhi riba.
4. Berlaku adil terhadap isteri dan wanita.
5. Taat pada Rukun Islam yang ditetapkan.
6. Berpegang teguh pada Al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW agar tidak sesat.

Isnin, Februari 06, 2012

Salam Maulidur Rasul 12 Rabiul Awal 1433 Hijrah/2012

Salam Maulidur Rasul kepada semua muslimin dan muslimat seluruh dunia, selawat dan salam ke atas Rasul junjungan kita Nabi Muhammad SAW......



Marilah Sama-sama kita menghayati tema Maulidur Rasul tahun 1433 Hijrah/2012 iaitu "Persefahaman Asas Perpaduan Ummah".

Warga UTeM Digalak Sumbang Idea Pembangunan


Pelajar UTeM, (dari kiri) Norezmi Md. Jamal, Nurul Atiqah Mohd. Lazim, Nurul Salehah Abd. Wahab dan Nur Safiah Akmala Ramdab menunjukkan laman web baru universiti itu selepas majlis pelancarannya di Durian Tunggal, Melaka semalam.


MELAKA 31 Jan. - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menggalakkan sumbangan idea dan cadangan berimpak positif dari kalangan warganya dalam memastikan pertumbuhan pembangunan universiti itu sentiasa seiring dengan peredaran semasa biarpun terpaksa berdepan dengan kekangan kewangan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan berkata, kekangan kewangan yang dihadapi oleh UTeM bukan alasan untuk tidak melakukan perubahan kerana ia seharusnya dipandang sebagai cabaran.



"Memang bajet agak terhad tetapi kita dianjurkan untuk perkemaskan program-program sedia ada yang sedang berjalan. Justeru itu, semakan serius untuk perkecilkan aspek yang tidak berkaitan perlu dilakukan untuk memberi laluan kepada agenda utama.

"Bajet untuk pembangunan tidak begitu banyak, sebab itu ia terpaksa ditangguhkan. Namun UTeM sudah peruntukkan perbelanjaan untuk pengukuhan program sedia ada dan merangka sesuatu yang baru berkos rendah yang boleh mencetus impak besar serta menonjolkan UTeM ke peringkat lebih tinggi.

"Ini cabaran kita dari segi kewangan. Seharusnya kita lihat cabaran ini sebagai peluang untuk meneroka idea baru dan melihat semua perkara sebagai peluang untuk bertindak," katanya pada Majlis Perutusan Naib Canselor 2012 dan pelancaran wajah baru Portal UTeM di kampus induk UTeM di sini hari ini.

Menurut Ahmad Yusoff, majlis perutusan yang menjadi acara tahunan UTeM amat penting dalam menyampaikan matlamat serta membentuk minda dalam kalangan warganya.

Katanya, UTeM pada tahun ini bertekad merancang usaha yang lebih berdaya saing terutama dalam mengarusperdanakan pendidikan teknikal secara bersepadu.

Justeru katanya, beberapa langkah strategik diadakan melibatkan projek baru UTeM pada tahun ini termasuk pembangunan imej dan penjenamaan dengan bakal memperkenalkan logo baru UTeM yang akan digunapakai dalam semua peringkat, 10 program Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Pusat Kecemerlangan Industri (iCOE) dan pelan jangka panjang UTem dan UTeM Holding.

Dalam pada itu kata Ahmad Yusoff, UTeM yang kini mempunyai lebih 9,000 penuntut dari dalam dan luar negara bakal mempunyai kolej kediaman pelajar dalam kampus berkapasiti 1,000 orang menjelang Ogos ini.

Katanya, sehingga kini hanya 90 peratus penuntut di universiti itu disediakan kemudahan tempat tinggal di kawasan perumahan berhampiran.

"Akan datang kediaman yang bakal menempatkan lebih 3,000 penuntut akan dibina dan kini dalam proses akhir perancangan.

"Sepatutnya projek yang sudah diluluskan itu sudah boleh dibina, namun pembinaannya terpaksa ditangguhkan terlebih dahulu kerana beberapa masalah dari pihak kontraktor," katanya.

Teks Perutusan NC, di sini.

Khamis, Februari 02, 2012

Kisah Beruang Dengan Ikan Kecil

Pagi tadi sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja, aku sempat melayani slot Warna Pagi Ikimfm. Penceramah pagi ini ialah Ustaz Badli Shah Alauddin.

Apa yang menarik tentang motivasi pagi ialah kisah seekor beruang yang berbadan besar dan seekor ikan kecil.



Kisahnya di dalam sebuah hutan, ada seekor beruang yang bertubuh besar sedang menunggu seharian dengan sabar di tepi sungai yang deras walaupun pada waktu itu bukan musim ikan.

Sejak pagi lagi beruang itu berdiri dan terus mencuba menangkap ikan namun tidak ada satupun ikan yang berhasil ditangkapnya. Setelah berkali-kali mencuba, akhirnya, beruang itu berjaya juga menangkap seekor ikan kecil.

Ikan yang tertangkap itu menjerit-jerit ketakutan dan meratap serta merayu kepada beruang minta dilepaskan.

"Wahai beruang, tolong lepaskan aku." rayu ikan kecil itu.

"Mengapa?" tanya beruang.

"Tidakkah kau lihat, aku ini terlalu kecil, kalaupun dapat kau makan, hanya di celah gigimu sahaja," rintih sang ikan.

"Lalu kenapa?" tanya beruang lagi.

"Begini saja, tolong lepaskan aku ke sungai, nanti setelah beberapa bulan aku membesar, pada waktu itu kau bolehlah menangkap dan memakan aku sepuas-puasnya." kata ikan.

"Wahai ikan, kau tahu kenapa badan aku menjadi begitu besar?" tanya beruang.

"Mengapa?" ikan balas bertanya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Kerana aku tidak pernah melepaskan walau sekecil apapun hasil yang telah tergenggam di tangan, aku tidak akan melepaskannya" jawab beruang sambil tersenyum.

Dan moral dari cerita ini ialah kita hendaklah menghargai kesempatan yang datang kepada kita walau dalam bentuk mana sekalipun.

Di dalam pekerjaan, kita harus menghargai kesempatan dengan bekerja bersungguh-sungguh dan memiliki visi dan misi yang jelas dalam hidup kita, sehingga kita dapat memaksimumkan kesempatan yang datang kepada kita, untuk meraih kejayaan.

Harus diingat bahawa kejayaan besar datangnya dari sebuah kesempatan kecil. Orang berjaya adalah orang yang dengan bijak memaksimumkan kesempatan yang ada dan bukan hanya menunggu kesempatan besar untuk berjaya.

Rabu, Februari 01, 2012

Selamat Hari Lahir, Ifa

Isnin, 30 Januari 2012. Hari ini merupakan hari ulangtahun Ifa yang ke-13. Tiada sambutan meriah untuk meraikan hari lahir beliau melainkan sekadar ucapan selamat dan kek hari lahir dari Secret Recipe.



Petang itu, semasa dalam perjalanan pulang dari kerja dan selepas menjemput Alim dari SRA Jalan Datuk Palembang, aku sempat singgah di Secret Recipe, Jaya Jusco Ayer Keroh untuk membelikan kek hari lahir kegemaran Ifa, cheese cake.




Selepas Maghrib, kami sekeluarga meraikan hari lahir Ifa walaupun beliau masih lagi belum sihat kerana demam. Bukan sahaja Ifa, malah Arif dan Miza juga secara kebetulan demam.



Apapun buat Ifa, aku doakan semoga dipanjangkan umur, murah rezeki dan berjaya dalam apa jua lapangan diceburi.



Sedar tak sedar, dah remaja anak dara aku ni...