Selasa, Februari 07, 2012

Al-Ikhlas

Sabtu, 4 Februari 2012. Malam ini aku berkesempatan menonton telemovie Cerekarama TV3 berjudul Al–Ikhlas. Sinopsis ceritanya seperti berikut:



Al-Ikhlas mengisahkan tentang Solah, seorang yang sangat lurus dan baik hati. Keadaan Solah menyebabkan orang kampung sering mengambil kesempatan terhadapnya. Namun, bagi Solah dia hanya menjalan tugas dengan ikhlas. Solah pernah berkahwin namun sejak isterinya meninggal dunia, dia tinggal berseorangan ditemani dengan kucing-kucing kesayangannya.

Dia juga sering berkunjung ke surau lama di kampungnya untuk beribadat. Surau tersebut terletak di atas tanah yang telah diwakafkan oleh ayah Zaki, namun, apabila ayahnya meninggal dunia, Zaki ingin menjual tanah tersebut. Ramai yang tidak jadi membeli tanah tersebut kerana adanya surau di situ. Zaki seringkali mendesak Pak Ali, ketua kampung supaya merobohkan surau tersebut supaya dia boleh menjual tanah namun Pak Ali enggan kerana surau tersebut telah diamanahkan oleh bapa Zaki kepadanya. Zaki juga pernah cuba untuk membakar surau tersebut tetapi menghentikan hasratnya apabila mendapati Solah sedang beribadat di dalamnya.



Kesudahan telemovie ini ialah Solah meninggal dunia di rumahnya manakala Zaki juga meninggal dunia akibat kemalangan selepas menerima cek hasil jualan tanah surau. Solat mewasiatkan tanahnya untuk didirikan surau dan juga sekolah agama.



Pelakon: Lisdawati, Nasir Bilal Khan, Abu Bakar Omar, Fauziah Nawi, Shoffi Jikan, Wan Suhaimi. Pengarah: Raja Ahmad Alaudin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan