Isnin, Februari 20, 2012

Mohd Efendi Meninggal Dunia

Sebelum ke tempat kerja pagi ni, aku sempat melihat mesej di telefon bimbit. Tiga mesej semuanya daripada rakan-rakan sekerja. Berita memaklumkan bahawa Mohd Efendi bin Rajali telah kembali ke rahmatullah jam 1.30 pagi ini.

Sebaik sampai di tempat kerja, kelihatan staf perpustakaan masih terkejut dengan berita sedih yang diterima dan masing-masing berbincang kaedah untuk menziarahi jenazah. Khabarnya, jenazah sudah dibawa pulang dari Bangi ke Palong 7, Negeri Sembilan pagi tadi.

Pukul 8.30 pagi, rombongan melawat mula bergerak dari Perpustakaan UTeM. Sebuah van dan sebuah kereta Proton Inspira yang dinaiki oleh Ketua Pustakawan bersama beberapa orang staf melalui pekan Selandar-Gemencheh- Pasir Besar dan terus ke Palong 7. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Oleh kerana sukar mendapat tambahan kenderaan jabatan, staf perpustakaan mengambil inisiatif menggunakan kenderaan masing-masing untuk melawat jenazah rakan sekerja mereka.

Pukul 10.05 pagi, kami sampai di Palong 7. Sewaktu kami sampai, jenazah sedang dimandikan. Memandangkan kawasan Felda mengalami tekanan air yang rendah, sebuah lori pengangkut air digunakan untuk menyalurkan air ke tangki terbuka untuk memandikan jenazah.



Aku dan rakan-rakan lain dijemput oleh ahli keluarga arwah untuk melihat proses memandikan jenazah di sebalik tirai yang dipasang di beranda rumah. Alhamdulillah, aku lihat arwah tenang seperti sedang tidur sewaktu dimandikan.

Sebaik dimandikan, jenazah dikafankan. Kemudian seorang ahli keluarga arwah menjemput hadirin yang ingin menatap jenazah buat kali terakhir di ruang dalam beranda. Ramai sanak-saudara dan rakan-rakan berbuat demikian dan ada yang menitiskan air mata.



Tiba-tiba, isteri arwah, Norhaslieza Mohd Yaakob yang mendukung anaknya yang berusia 2 tahun hampir rebah tetapi sempat disambut oleh ahli keluarga yang lain. Beliau dipapah masuk ke bahagian tengah rumah untuk membolehkan solat jenazah dijalankan. Norhaslieza Mohd Yaakob dikatakan sedang mengandung anak kedua arwah dan bakal melahirkannya pada bulan hadapan.



Pukul 10.30 pagi, solat jenazah diimamkan oleh seorang imam di kawasan tersebut dengan empat saf tetamu. Sebaik selesai, jenazah diangkat masuk ke dalam van jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan yang letaknya lebih kurang 2 km dari rumah ibu arwah. Seorang wakil tuan rumah mengucapkan ribuan terima kasih kepada para tetamu dan memohon dihalalkan segala apa yang pernah dilakukan oleh arwah semasa hidupnya.



Perlahan-lahan van jenazah bergerak ke tanah perkuburan sambil diekori tetamu dengan kenderaan masing-masing. Pukul 11.10 pagi, jenazah dimasukkan ke liang lahad dan kemudian ditimbus dengan tanah. Sejurus kemudian, talkin dibacakan oleh imam dan kemudian diteruskan dengan tahlil. Pukul 11.40 pagi, urusan pengkebumian selesai.



Ibu arwah, Puan Zainab mengucapkan terima kasih kepada kami dan lain-lain rakan sekerja dari UTeM yang sudi melawat jenazah arwah.

Mengikut catatan pada daftar kematian, arwah meninggal dunia pada jam 1.30 pagi, 20 Februari 2012 di Desa Mahkota, Bangi, Selangor. Arwah dilahirkan pada 4 Januari 1984 dan baru sahaja mencapai umur 28 tahun. Dan mengikut catatan lagi, punca kematian arwah disebabkan oleh anemia.

Pada 21 Disember 2011 yang lalu, kami pernah ke Palong 7 melawat keluarga Puan Zainab yang kematian suami keduanya juga bapa tiri kepada arwah yang meninggal dunia akibat terjatuh daripada sebatang pokok.



Bersama-sama kita sedekah Al-Fatihah kepada arwah semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kepada keluarga beliau, takziah diucapkan dan semoga tabah dengan ujian Allah SWT.



Al-Fatihah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan