Selasa, Februari 21, 2012

Allahyarham Mohd Efendi Dalam Kenangan (1984-2012)

Setiap yang hidup pasti akan mati. Itulah hakikatnya kehidupan.

Allahyarham Mohd Efendi mula bertugas di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada pertengahan tahun 2006 sebagai Pembantu Perpustakaan di Perpustakaan UTeM.

Arwah pernah ditempatkan di Unit Rujukan, Unit Pentadbiran Am dan yang terbaru ditukarkan ke Unit Sirkulasi dan Media.

Arwah telah diijabkabulkan dengan Norhaslieza Mohd Yaakob pada 19 Julai 2008 di Felda Palong 7, Negeri Sembilan. Hasil perkahwinannya, arwah dikurniakan seorang anak lelaki, Faris yang berusia 2 tahun. Isterinya kini sedang mengandung anak kedua arwah dan dijangka bersalin pada bulan Mac 2012.

Allahyarham seorang yang senang bergaul dan mesra dengan rakan-rakan sepejabat. Adakalanya arwah akan bergurau dengan rakan-rakan bagi membuatkan suasana lebih ceria. Semasa hayatnya, arwah juga suka menolong rakan-rakan apabila diperlukan.

Kenangan manis bersama arwah ialah semasa perpustakaan mengadakan Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri Dan Organisasi pada 23 hingga 25 Jun 2006 di Cameron Highlands.

Namun begitu, kesihatan arwah tidak begitu baik. Arwah pernah menjalani pembedahan jantung pada pada tahun 2009. Beberapa tahun kemudian, masalah kekurangan darah merah pada tubuhnya pula menjadi masalah tambahan sehinggakan kerap keluar masuk hospital.

Dikhabarkan beberapa hari selepas keluar hospital, arwah bersama isteri ditemani bapa saudara dan ibu saudaranya ke sebuah pusat rawatan di Bangi bagi mendapatkan rawatan alternatif. Malangnya, itulah usaha terakhir arwah sehinggakan arwah meninggal dunia jam 1.30 pagi, 20 Februari 2012.

Pada usia 28 tahun, arwah mengikut jejak ayah kandungnya menyahut panggilan Illahi pada usia muda. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Sesungguhnya mati itu benar, alam kubur itu benar, kebangkitan di Padang Mahsyar itu benar, hari perhitungan itu benar, syurga dan neraka itu benar.

Bersama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Kepada keluarga beliau, takziah diucapkan dan semoga tabah dengan ujian Allah SWT.

Al-Fatihah...


Bersama arwah (dalam bulatan) semasa Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri Dan Organisasi di Cameron Highlands


Latihan luar Program Pembangunan dan Pengukuhan Integriti Diri Dan Organisasi.


Latihan indoor.


Arwah turut sama membaca Yasin semasa perpindahan ke bangunan perpustakaan baru.


Arwah yang sentiasa ceria.


Perkahwinan arwah pada 21 Julai 2008.


Saat-saat manis arwah bersama keluarga.


Arwah turut sama menjayakan Majlis Eidulfitri Peringkat Universiti tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan