Khamis, Disember 22, 2011

Melawat Keluarga Mohd Efendi Di Palong 7

Rabu, 21 Disember 2011. Berita kematian ayah Mohd Efendi diketahui seawal jam 8.30 pagi namun tindakan Pengerusi LISTAC, Mohd Nasir Hashim dan timbalannya, Zaidi Saad memohon kebenaran untuk melawat jenazah sebelum dikebumikan sebelum Zuhur tidak dapat diluluskan oleh pihak pentadbiran Perpustakaan UTeM. Kebenaran hanya diberikan selepas jam 3.00 petang.

LISTAC cuba mengumpulkan beberapa orang yang sudi melawat keluarga rakan mereka tetapi yang sanggup hanya 7 orang sahaja. Mereka ialah Mohd Nasir Hashim, Zaidi Saad, Khairul Faiz Zainal, Ahmad Tarmizi Abdul Hadi, Nor Ridzuan S. Kasehan, Muaat Muji dan aku sendiri. Ini adalah kerana lokasi yang ingin dilawati terletak di Felda Palong 7, Gemas, Negeri Sembilan.

Pukul 2.45 petang, rombongan melawat bertolak dari UTeM melalui Selandar-Gemencheh-Bukit Rokan-Pasir Besar dan Palong. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam 45 minit. Kami tiba di Palong 7 pukul 4.35 petang.

Sebaik sampai, kami bersalaman dengan ahli keluarganya dan mereka menjemput untuk masuk ke dalam rumah.

Menurut Mohd Efendi, bapanya meninggal dunia petang semalam akibat perdarahan di kepala. Arwah dikatakan memanjat pokok langsat ketika hujan namun tergelincir dan jatuh ke tanah akibat dahan licin. Dua orang rakan arwah yang bersamanya ketika itu memberikan keterangan yang bercanggah kepada pihak polis menyebabkan polis terpaksa membuat bedah siasat bagi mengetahui punca kematian sebenarnya.

Setelah bedah siasat selesai dan punca kematian disahkan sebagai kemalangan, jenazah dimandikan dan dikafankan di hospital sebelum dibawa pulang untuk penghormatan terakhir keluarga dan sembahyang jenazah. Jenazah selamat disemadikan sebelum Solat Zuhur.

Menyentuh tentang keluarganya, Mohd Efendi memaklumkan bahawa beliau mempunyai tiga orang adik-beradik. Ibunya, Puan Zainab Desal berkahwin dengan bapanya sewaktu beliau berumur setahun. Baginya, walaupun bapa tiri, beliau menganggap arwah sebagai bapanya juga. Beliau mempunyai seorang adik tiri yang tinggal bersama keluarganya di sini.

Pengerusi LISTAC, Mohd Nasir Hashim menyampaikan sumbangan ikhlas daripada ahli-ahli LISTAC kepada Puan Zainab. Beliau mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang diberikan.

Ahli rombongan dijamu dengan kopi panas dan biskut serta kuih lidah buaya. Sambil makan sambil berbual.

Pukul 5.10 petang, ahli-ahli rombongan meminta diri untuk pulang. Rombongan berhenti sebentar di sebuah surau di Felda Palong 1 bagi menunaikan Solat Asar. Rombongan sampai semula di UTeM pada jam 7.00 malam.

Kepada LISTAC inilah misi paling jauh dapat disempurnakan dan kepada Mohd Efendi, takziah buat keluarga beliau.
















Tiada ulasan:

Catat Ulasan