Rabu, September 29, 2010

Festival Membaca 2010 - Xploread

Xploread 2010 merupakan salah satu aktiviti perpustakaan yang diadakan sempena Festival Bulan Membaca 2010. Ianya telah diadakan pada 29 September 2010 bertempat di Ruang Legar Perpustakaan UTeM. Antara tujuan aktiviti ini diadakan ialah bagi meningkatkan minat membaca di kalangan warga UTeM di samping mempromosikan penggunaan perpustakaan.

Aktiviti Xploread yang dijalankan ala Explorace yang pernah ditayangkan di TV3 suatu masa dulu. Sejumlah 9 pasukan menyertai pertandingan ini dan terbuka hanya untuk pelajar sahaja. Sesi pendaftaran peserta dibuka pada jam 2.15 petang dan ditutup pada jam 2.45 petang. Setiap pasukan mengandungi 3 orang peserta. Kemudian satu sesi taklimat diadakan di Bilik Tayangan. Setiap peserta di dalam kumpulan dibekalkan dengan sebotol air mineral dan juga kek.

Sebelum aktiviti Exploread bermula, satu sesi bergambar diadakan di perkarangan bangunan Perpustakaan UTeM. Cik Siti Noor Kiah Syed Abdul Malek, Timbalan Ketua Pustakawan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Festival Membaca 2010 hadir untuk sesi bergambar dan melepaskan para peserta pertandingan.

Sebaik pertandingan dimulakan, para peserta mengambil sampul dan menyelesaikan teka silangkata secara berkumpulan. Pasukan yang berjaya melengkapkan teka silangkata akan meneruskan perjalanan dengan berbasikal menuju ke tasik untuk berkayak. Setiap kumpulan diberikan amanah dengan membawa beberapa biji telur dan menjaganya agar tidak pecah.

Sebaik menyelesaikan tugasan, setiap kumpulan akan meneruskan perjalanan ke Pusat Sukan, Kafeteria Pelajar, FTMK dan Pusat Pelajar untuk melakukan tugasan berikutnya di checkpoint tersebut.

Laluan terakhir peserta ialah berbasikal menuju ke perpustakaan semula. Pasukan UTeM Juniors, juara Exploread tahun lepas merupakan pasukan pertama sampai di perpustakaan pada jam 4.00 petang. Pasukan ini berlepas dari perpustakaan pada jam 3.16 petang. Aktiviti terakhir setiap pasukan ialah menyelesaikan puzzle.

Para peserta kemudian dijamu dengan kuih-muih dan mee basah sebelum keputusan pertandingan diumumkan secara rasmi oleh pengacara majlis pada jam 5.00 petang. Semua hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pustakawan.

Secara keseluruhan, format pertandingan tidak jauh berbeza dari pertandingan yang dianjurkan pada tahun lepas. Bezanya hanya aktiviti, laluan dan pakaian peserta pertandingan sahaja.

Tahniah kepada Mohd Mawardi Badruddin, penyelaras program ini dan pasukan kerja beliau di atas kesungguhan dan penambahbaikan aktiviti Xploread 2010.

Khabarnya tahun hadapan dah ada sukarela yang ingin menguruskan aktiviti Xploread begini...kita lihat apakah kelainannya...

Keputusan Pertandingan Xploread 2010
1. UTeM Juniors
2. Toyota
3. Kuri-kuri
4. Diadora
5. 3G
6. Klaska
7. BMFU
8. Sparkle
9. 123
































Majlis Sambutan Eidulfitri 1431H UTeM

Rabu, 29 September 2010. Jam 7.30 pagi, sebaik punch-card, aku segera ke gerai perpustakaan. Staf-staf dari jabatan-jabatan dan fakulti di UTeM sibuk menyusunatur perkakasan di dalam gerai masing-masing. Ada pertandingan gerai tercantiklah katakan...Seperti tahun lalu, tapak untuk Majlis Sambutan Eidulfitri 1431H ini ialah di kawasan letak kereta di hadapan Dewan Besar UTeM.

Setiap gerai ada keunikan tersendiri bergantung kepada kreativiti staf di gerai tersebut. Ada yang meletakkan basikal, motosikal, jala dan sebagainya mengikut konsep yang telah dipilih. Gerai perpustakaan pula mengangkat konsep ala kampung.

Setiap jabatan dan fakulti ditentukan menunya. Perpustakaan UTeM umpamanya memilih aneka mee iaitu mee goreng, mihun goreng dan kue tiaw. Makanan-makanan yang disediakan di lain-lain gerai antaranya aiskrim, nasi minyak, kebab, roti jala, nasi lemak berlauk, sup, lontong, roti canai, lemang, nasi kerabu, cendol, western food, sate, buah-buahan dan lain-lain lagi.

Pukul 11.00 pagi, Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob iaitu Canselor UTeM yang juga TYT Yang diPertua Negeri Melaka tiba di perkarangan Dewan Besar UTeM. Ketibaan beliau disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai kanan UTeM. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff bin Hassan, Naib Canselor UTeM pada jam 11.10 pagi. Turut hadir ialah Datuk Ir. Dr. Haji Ahmad Zaidee bin Laidin, Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM dan YB Datuk Ir. Hj. Idris bin Hj. Haron.

Pukul 11.30 pagi sebaik selesai ucapan, Tun Canselor diiringi Naib Canselor, Ahli Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai kanan UTeM memotong riben dan melepaskan belon sebagai tanda perasmian Majlis Sambutan Eidulfitri 1431H. Kemudian semua tetamu dibawa melawat ke gerai-gerai dan beramah-mesra dengan staf-staf jabatan dan fakulti.

Pukul 12.00 tengah hari, para tetamu tiba di gerai perpustakaan. Tun Canselor sempat bergambar dengan staf perpustakaan dan menurunkan tandatangan pada kad raya yang disediakan oleh staf.

Menu aneka mee dengan cili jeruk memang menyelerakan sehinggakan ramai tetamu yang sanggup beratur di bawah terik matahari untuk menikmati keenakannya.

Di akhir majlis, keputusan diumumkan. Bagi kategori gerai tercantik, pemenangnya ialah FPTT, Canselor dan PBPI. Pejabat Bendahari, Pejabat Pendaftar dan Penerbit Universiti pula memenangi kategori staf paling bekerjasama. Bagi kategori gerai makanan dan minuman paling sedap, ianya jatuh kepada FKEKK, FTMK dan Pusat Islam manakala HEPA memenangi gerai pilihan ramai.

Setelah menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak urusetia, Tun Canselor berangkat pulang pada jam 1.05 petang.

Pada aku, walaupun penat tetapi berbaloi....happy jer...