Sabtu, Jun 30, 2012

Kursus Umrah

Sabtu, 30 Jun 2012. Hari ini aku menemani Ida, Ifa dan Mak Munah menghadiri kursus umrah anjuran Gemilang Travels & Tours di sebuah bilik milik syarikat tersebut di Ara Ampang Commercial Centre, Jalan Ampang, Selangor.



Kursus bermula jam 8.30 pagi. Kami yang menginap di rumah Farok di Putra Heights malam kelmarin sampai lebih kurang jam 9.00 pagi. Taklimat kursus baru sahaja bermula dan disampaikan oleh Ustaz Wahab, yang merupakan salah seorang mutawif syarikat tersebut.



Bagus juga kursus umrah ini. Walaupun aku belum berpeluang mengerjakan umrah, banyak juga ilmu dan panduan yang aku perolehi.

Ustaz Wahab menerangkan satu persatu langkah ketika mengerjakan umrah hinggalah selesai. Banyak tips-tips yang diberikan selaku orang yang berpengalaman menguruskan jemaah di Tanah Suci. Penyampaiannya bersahaja. Peserta mudah faham kerana ustaz menjawab apa sahaja kemusykilan yang diajukan peserta.

Pukul 12.45 tengah hari, kursus selesai. Ida mendapatkan beg-beg umrah yang disediakan oleh syarikat pelancongan tersebut untuk dibawa pulang.

Mengikuti kursus umrah ini sebenarnya mendekatkan hati ini untuk mengunjungi Baitullah suatu hari nanti. Semoga aku akan mengikuti jejak ketiga ahli keluarga aku ini yang akan bertolak ke Madinah pada 16 Julai 2012 nanti.

Amin!

Rabu, Jun 27, 2012

Memangku Tugas S48

Jam 4.30 petang tadi, aku menerima perkhabaran gembira daripada Muaat Muji, PAP Kanan. Beliau memaklumkan membawa surat arahan pemangkuan jawatan Timbalan Ketua Pustakawan (TKP) pada gred S48.

Sebaik menerima surat perlantikan tersebut, bersama rakan-rakan aku membaca kandungan surat tersebut. Tempoh pemangkuan ialah mulai 13 Jun 2012 hingga 12 Disember 2012. Lebih kurang 6 bulan. Dinyatakan juga kelayakan dan elaun semasa pemangkuan tugas TKP.

Rakan-rakan setugas, Arman, Hasliza, Fauziah, Harulrizam, Zaidi, Norshahila dan Muhammad Hafeez merupakan antara individu yang terawal memberikan ucapan tahniah. Nurul Akmar juga menyampaikan ucapan tahniah melalui telefon. Ada juga rakan-rakan sekerja menyampaikan ucapan tahniah melalui Facebook.

Paling mengejutkan ialah mantan TKP, Cik Siti Noor Kiah turut mengucapkan tahniah melalui telefon dari kediamannya di Perak.

Pada hari yang sama, Jumakyah Yaacob, Pembantu Perpustakaan di Bahagian Perolehan juga dinaikkan pangkat kepada Pembantu Perpustakaan Kanan (S22). Tahniah diucapkan kepada beliau.

Syukur Alhamdulillah, rezeki Allah SWT. Barangkali rezeki anak-anak. Juga doa seorang isteri yang sentiasa berdiri teguh di belakang suami. Barangkali juga doa dan harapan staf yang inginkan perubahan.

Buat Arman dan Rasida yang bersama-sama di dalam temuduga tempohari diharap dapat membantu aku memimpin perpustakaan ke landasan yang betul. Juga kepada semua staf perpustakaan yang sentiasa menyokong aku, aku harap sebagai rakan, mereka dapat menegur aku jika aku tersilap.

Jawatan ini bukanlah untuk dibanggakan tetapi merupakan suatu amanah daripada pengurusan universiti untuk memimpin perpustakaan mencapai misi dan visi universiti. Ia juga merupakan ujian Allah terhadap hambaNya kerana setiap masa kita diuji tidak kira sama ada semasa senang maupun susah.

Dan aku percaya setiap ujian yang Allah SWT turunkan itu mampu dihadapi oleh hambaNya. Semoga roda hidup berputar dengan lancar hendaknya.

Melawat Zamry di Hospital Pantai

Petang semalam sewaktu menjemput Ifa balik dari sekolah, aku menerima perkhabaran daripada Zamry. Beliau memaklumkan dimasukkan ke Hospital Pantai, Melaka kerana slipped disc.

Banyak sudah aku mendengar tentang slip disc. Tapi apa itu slipped disc? Cari punya cari di dalam internet, dapatlah aku maksudnya.

Slipped disc secara ringkas bermaksud tulang belakang yang “teralih” atau “menggelongsor dari kedudukan asal. Ini disebabkab oleh gel antara tulang yang berfungsi menyerap tekanan telah bocor seterusnya mengakibatkan alihan. Apabila ini terjadi, tulang akan menekan pula saraf-saraf yang mengawal anggota badan seperti kaki, tangan dan leher. Kesakitan melampau menyebabkan anggota badan menjadi kebas pergerakan akan terbatas.

Penyakit ini berisiko kepada mereka yang gemar melakukan sukan lasak seperti ragbi dan gusti yang banyak menggunakan otot badan. Ia juga boleh berlaku kepada orang yang aktif sukan kemudian berhenti daripada bersukan pada waktu yang lama.

Penyakit tulang belakang ini boleh berlaku kepada mereka yang pernah terjatuh sama ada masa zaman kanak-kanak, remaja mahupun dewasa serta mengambil mudah kesan penyakit ini. Bagi orang yang sering melakukan kerja berat seperti mengangkat benda-benda berat, kekerapan melakukan tugas begini menyebabkan tulang belakang tidak dapat menampung beban tugas tersebut. Begitu juga mereka yang mempunyai masalah berat badan, tulang belakang tidak mampu berat badan mereka dan inilah salah satu punca berlakunya slipped disc.

Jam 1.30 petang tadi, aku dan rakan setugas, Arman sempat melawat Zamry di Hospital Pantai. Setelah mendapat nombor bilik daripada jururawat di kaunter, kami berdua segera ke Bilik 310.

Kesian juga. Seorang diri. Pelbagai perkara kami bincangkan tentang kesan daripada slipped disc dan langkah-langkah yang disyorkan oleh doktor. Lebih kurang 15 minit berbual, kami meminta diri kerana waktu rehat sudahpun berakhir dan kami harus pulang ke tempat kerja semula.

Masih mencari maklumat tentang slipped disc ini. Apa simptom penyakit ini? Simptom penyakit ini ialah sakit yang teramat sangat dan tiba-tiba sahaja berlaku. Biasanya di bahagian bawah belakang tetapi boleh juga terjadi di bahagian tengkuk ataupun bahu.

Kalau di bahagian bawah belakang, ia boleh sakit sampai ke kaki dan tapak kaki, terasa seperti menyucuk-nyucuk dan terbakar. Kalau terjadi seperti ini segera berjumpa doktor. Jika dibiarkan dikhuatiri melarat sehingga boleh menjadi lumpuh .

Beberapa kaedah rawatan disyorkan. Antaranya ialah:

1) Fisioterapi – menjalani sesi dengan pakar yang menunjukkan kaedah senaman yang betul untuk menguatkan otot. Ini termasuklah sesi rawatan menggunakan tuala panas pada bahagian sakit.
2) Stereoid – Untuk kesakitan biasa, suntikan stereoid dapat menguatkan otot belakang dan mengurangkan kesakitan.
3) Pembedahan – Ini adalah langkah terakhir di mana bahagian tulang dan disc yang terkeluar akan dikikis. Untuk kes yang lebih serius, kepingan besi akan dimasukkan untuk menyokong tulang belakang.

Aku dimaklumkan bahawa doktor mengesyorkan Zamry untuk menjalani proses fisioterapi. Aku berdoa semoga beliau cepat sembuh.

Khamis, Jun 21, 2012

Seminar Transformasi Perkhidmatan Online & ICT

Rabu, 20 Jun 2012. Hari ini aku, rakan setugas Mahadir Che Ali, dan dua orang pegawai UTeM sempat menghadiri Seminar Transformasi Perkhidmatan Online & Infrastruktur Sektor Awam sempena Minggu Sains, Teknologi dan ICT Johor (MISTI Johor) dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.



Seminar ini dihadiri oleh peserta yang terdiri daripada kakitangan kerajaan dan swasta serta pentadbir komuniti. Antara tujuannya ialah untuk menerangkan kepada masyarakat akan kemajuan ICT yang dibangunkan oleh kerajaan dan pelaksanaannya di peringkat masyarakat setempat.



Beberapa jabatan terlibat dalam memberi penerangan tentang projek ICT yang sedang dilaksanakan kepada rakyat seperti MAMPU, MOSTI, JPN dan lain-lain lagi. Beberapa inisiatif kerajaan turut disampaikan seperti penggunaan Eduweb TV dan Myemel. Selain seminar, ada juga pameran dan aktiviti-aktiviti sampingan untuk pelajar sekolah dan pengunjung MISTI Johor 2012 ini.



Semalam, Perasmian Minggu Sains, Teknologi dan ICT Johor (MISTI Johor) dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan ini telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor. Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Haji Fadillah Haji Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dan YBhg. Dato’ Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOSTI. Seramai 1,000 orang menghadiri majlis perasmiannya di Dewan Tanjung Puteri, Persada Johor.



Program ini berlangsung selama 7 hari bermula dari 19 hingga 25 Jun 2012 dan dijangka menarik seramai 50,000 orang pengunjung dari segenap lapisan masyarakat untuk mengikuti pelbagai aktiviti berteraskan sains, teknologi, ICT dan inovasi yang telah disediakan sepanjang MISTI Johor dan Karnival Sains dan Inovasi Zon Selatan berlangsung.




















Emerald User Group Meeting

Kumpulan Pengguna Emerald telah mengadakan satu perjumpaan di kalangan ahli-ahli yang juga pelanggan pangkalan data Emerald pada 18 Jun 2012 di Meeting Room, Level 12, Sunway Lagoon Resort Hotel & Spa, Petaling Jaya, Selangor.


Tajuk Digital & Web Development disampaikan oleh Mr. Daniel Predergast, Head of Digital Emerald.

Perjumpaan yang bermula pada jam 8.30 pagi dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Mr. Wan Yat Seng, Regional Manager Emerald. Pada jam 9.00 pagi, Mr. Amex Tan, Business Manager Emerald memulakan sesi perbincangan pertama dengan menjurus kepada tajuk Products & Services, New Launches. Ia kemudian diteruskan dengan topik ASLIB and Guides to Getting Published oleh Mr. Ben Sng, Senior Consultant Emerald.



Sesi ke-2 pada jam 10.35 pagi berkisar kepada Digital & Web Development oleh Daniel Prendergast, Head of Digital, Emerald. Kemudian bengkel berkaitan pangkalan data di kalangan pengguna Emerald diadakan.

Sebelah petang, diadakan bengkel pengguna pangkalan data Emerald di mana pengguna berkongsi pengalaman dari segi amalan-amalan terbaik di UiTM, IIUM dan UUM.

Pada jam 3.00 petang, diadakan penganugerahan kepada institusi yang paling tinggi dari segi penggunaan pangkalan data Emerald.



Perpustakaan UTeM merupakan pengguna ke-9 paling tinggi di serata dunia dan paling banyak di kalangan MTUN. Anugerah ini diterima oleh Cik Rasida Abu Bakar bagi pihak Perpustakaan UTeM. Pada majlis yang sama juga Cik Rasida menerima hadiah cabutan bertuah berupa USB 16G.

Tahniah kepada UTeM.




Foto Sekitar Perpustakaan UM

Sambil berkunjung ke Perpustakaan Universiti Malaya, keempat-empat pustakawan ini iaitu Cik Rasida Abu Bakar, Puan Fauziah Hassan, Cik Norshahila Che Din dan Puan Mez Zelina Yusof sempat merakamkan beberapa foto sekitar perpustakaan. Berikut adalah foto-foto tersebut:


Perpustakaan Universiti Malaya.


Karel Pelajar Istimewa.


Penanda aras.


Puan Fauziah bergambar di rak.


Tekun pula si Shahila.


Rak buku.


Penyata visi dan misi.


Makmal komputer pelajar istimewa.


Ruang membaca dan Zon Biru (bawah).



Lawatan Ke Perpustakaan UM: Citation Analysis

Seramai 4 orang staf Perpustakaan UTeM telah berkunjung ke Perpustakaan Universiti Malaya pada 15 Jun 2012. Mereka ialah Cik Rasida Abu Bakar, Puan Fauziah Hassan, Cik Norshahila Che Din dan Puan Mez Zelina Yusof.



Tujuan kunjungan mereka ialah untuk meninjau dan memahami proses pelaksanaan ‘citation analysis’ yang telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Universiti Malaya. Kunjungan daripada Perpustakaan UTeM ini disambut oleh Cik Nik Nur Asilah Nik Shamsuddin dan Puan Nor Hazidah Awang daripada Perpustakaan UM.



Lawatan kerja penanda aras ini merupakan perbincangan di antara pustakawan Perpustakaan UTeM dengan Perpustakaan Universiti Malaya (UM) bagi meninjau dan memahami proses perlaksanaan ‘citation analysis’ yang telah dilaksanakan oleh Perpustakaan Universiti Malaya.



Dapatan daripada perbincangan tersebut, pihak Perpustakaaan UM telah menyediakan ‘citation analysis’ untuk melihat jumlah penerbitan yang telah dihasilkan oleh staf akademik di Universiti Malaya. Ia juga sebagai satu semakan terhadap artikel staf UM yang telah di‘cited’ oleh penyelidik lain. Dalam latihan ini, pangkalan data yang digunakan ialah pangkalan data Web of Science.



Graf berikut menunjukkan ‘Citation Report’ daripada Web of Science (Thomson Reuters) dari tahun 1999 sehingga 15 Jun 2012. (hasil dapatan ini hanya tertumpu kepada Article & Review sahaja).









Kunjungan yang bermula dari jam 8.30 pagi itu tamat jam 12.15 tengah hari.