Isnin, Oktober 29, 2012

Lawatan Kerja Staf Perpustakaan UiTM Sarawak

Perpustakaan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) sekali lagi menerima pelawat dan kali ini dari Bumi Kenyalang.

Pada 29 Oktober 2012, seramai 25 orang staf Perpustakaan UiTM Sarawak yang diketuai oleh Encik Arifin Hj. Jamaluddin, Timbalan Ketua Pustakawan mengadakan lawatan sambil belajar ke Perpustakaan UTeM. Rombongan ini terdiri daripada 3 orang pustakawan dan 21 orang staf sokongan.


Di antara tujuan lawatan ini ialah untuk berkongsi maklumat mengenai perkhidmatan perpustakaan yang disediakan di samping mengeratkan hubungan silaturrahim di antara kedua perpustakaan ini.

Selain Perpustakaan UTeM, rombongan ini juga dijangka akan berkunjung ke Perpustakaan UiTM Lendu, UTM Skudai dan beberapa buah perpustakaan lain di sekitar Kuala Lumpur.

Rombongan pelawat ini tiba di Perpustakaan UTeM pada jam 10.45 pagi. Mereka disambut oleh Cik Rasida Abu Bakar, Pustakawan Kanan dan Puan Mez Zelina, Pustakawan dari Bahagian Rujukan dan dibawa ke Bilik Mesyuarat Utama.

Ucapan alu-aluan dan taklimat perpustakaan disampaikan oleh Encik Azman Hj. Ayup, Timbalan Ketua Pustakawan (Memangku) mewakili Ketua Pustakawan. Turut hadir Encik Arman Mohammad, Pustakawan Kanan, Bahagian Perolehan.

Sebaik selesai taklimat perpustakaan, diadakan sesi soal jawab di antara kedua pihak dan ternyata sesi ini begitu mesra dan terbuka. Satu sesi pertukaran cenderamata diadakan bagi menghargai kerjasama di antara kedua pihak atas inisiatif lawatan yang dirangkakan.

Pukul 11.30 pagi, rombongan ini dibawa melawat ke bahagian-bahagian perpustakaan seperti Bahagian Perolehan, Bahagian Pengindeksan, Bahagian Rujukan, Bahagian Sirkulasi dan juga ruang-ruang perkhidmatan di perpustakaan.

Di akhir lawatan, satu sesi bergambar diadakan di ruang galeri untuk tujuan kenang-kenangan.

Lawatan berakhir pada jam 2.00 petang.

Khamis, Oktober 25, 2012

Menikmati Nasi Ayam Gemas Mustafah

Tengah hari tadi, aku dan Mahadir ke Restoran Nasi Ayam Gemas Mustafah di Kg. Air Merbau, Jasin untuk menikmati nasi ayam. Minggu lepas, ada rakan sekerja menyampaikan kepada kami akan keenakan nasi ayam tersebut. Sebelum ini, nasi ayam yang paling sedap mengikut citarasa aku ialah Nasi Ayam Singapore yang terletak di Jalan Krubong di Kawasan Perindustrian Krubong, Melaka.


Perjalanan dari Ayer Keroh ke Taman Asia Selatan, Air Merbau, lokasi restoran mengambil masa lebih kurang 20 minit. Dari pekan Bemban ke Bandar Jasin, restoran ini terletak di sebelah kanan jalan berhampiran jejantas PLUS.


Sewaktu kami sampai, tidak ramai pelanggan di restoran tersebut. Restoran ini agak bersih dan pelanggan boleh nampak kawasan dapur restoran tersebut daripada bahagian hadapan tempat duduk.
Seperti diduga, menu utama di restoran ini ialah nasi ayam. Setiap hidangan ada ayam, sos cili, sup, kicap dan timun.


Menariknya ayam kicapnya digoreng sebegitu rupa sehingga kulit luarnya rangup tanpa menjejaskan isinya di bahagian dalam. Kemudian ayam ditabur bawang goreng di atasnya sehingga menampakkan hidangan begitu menyelerakan. Pelanggan boleh memilih ayam separuh atau ayam suku mengikut selera sendiri. Tekstur nasinya biasa-biasa sahaja.


Kami memesan dua pinggan nasi ayam dan air mata kucing sejuk. Harga makanan di sini sedikit mahal tetapi berbaloi. Dua pinggan nasi ayam, ayam suku dengan dua gelas air mata kucing harganya RM18.30.





Selain di Jasin, ada cawangan-cawangan Nasi Ayam Gemas Mustafa di Segamat, Tampin, Cheng, Bukit Beruang, Wangsa Maju dan terbaru di Putrajaya.

Kepada sesiapa yang ingin menikmati Nasi Ayam Gemas Mustafah, restorannya terletak di Taman Asia Selatan (Air Merbau), Jasin, 77000 Melaka atau telefon sahaja 019-2872463 atau 017-6749094 untuk tempahan.

Selamat mencuba....