Ahad, Januari 23, 2011

Program PINTAR Siri 1/2011

Program Integrasi Insan Terbilang (PINTAR) merupakan program yang direkacipta untuk memenuhi Pelan Strategik UTeM. Perpustakaan UTeM merupakan jabatan atau PTj yang pertama terlibat dengan program ini pada tahun 2011 dan merupakan PTj ke-7 melaksanakan PINTAR sejak ianya mula dilaksanakan pada tahun 2010.

Program PINTAR Siri 1/2011 ini diadakan di PNB Ilham Resort, Port Dickson dari 21 hingga 23 Januari 2011. Seramai 56 orang staf perpustakaan dari pelbagai gred jawatan hadir mengikuti program ini.

Di antara matlamat program ini ialah untuk mengukuhkan penghayatan visi, misi dan Pelan Strategik UTeM, memantapkan kepimpinan dan kerja berpasukan serta bagi mengukuhkan nilai dan budaya kerja cemerlang di kalangan warga UTeM.

Bagi memastikan program ini mencapai matlamatnya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan, Naib Canselor UTeM merangkap Penaung program PINTAR bersama panel kompetensi, fasilitator dan urusetia program hadir sepanjang masa program berlangsung. Program ini dijalankan oleh Encik Farid Faiz, seorang trainer yang juga lead facilitator.

Hari 1 - 21 Januari 2011

Pendaftaran peserta pada jam 5.00 petang. Acara tetap ialah Solat Maghrib dan Isyak berjemaah. Juga diselitkan tazkirah. Tajuk tazkirah ialah 'Bekerja Satu Ibadah'.

Jam 9.00 malam, ucaptama Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Yusoff Hassan. Di antara harapan beliau ialah setiap staf yang datang bekerja perlulah ikhlas. Pencapaian diukur berdasarkan capaian lebih dengan sedikit (achieving more with less). Staf juga perlu melihat potensi diri agar dapat dimanfaatkan secara optimum, optimistik serta mampu menukar sesuatu halangan menjadi peluang. Staf juga akan bertindak sebagai agen perubahan, dinamik, berhemah tinggi dan harga diri serta mempunyai pengurusan tinggi sebagai fasilitator. Beliau mengharapkan perubahan dan staf juga perlu proaktif untuk kekal relevan. Oleh itu peningkatan kualiti dan budaya kerja berdasarkan kepada 7 elemen iaitu sistem, struktur, strategi, nilai, stail, staf dan kemahiran.

Aktiviti 1 - 'Tahukah Anda' - merupakan program 'ice-breaking' iaitu berdasarkan senarai yang diberikan, peserta diminta mencari mana-mana individu yang mempunyai kriteria seperti disenaraikan dan mendapatkan tandatangan. Maksud kepada aktiviti ini ialah bagi mendapatkan maklumat, peserta kena bertanya...

Hari 2 - 22 Januari 2011

Pagi Sabtu dimulakan dengan sembahyang Subuh berjemaah dan kuliah subuh.

Aktiviti 2 - Pukul 10.00 pagi diadakan aktiviti berakit. Peserta dibahagikan kumpulan dan masing-masing akan bekerja sebagai satu pasukan untuk membina dan menaiki rakit. Beberapa peralatan disediakan seperti tong, tali, kayu dan bendera. Aktiviti ini memerlukan perancangan, bekerjasama dalam kumpulan dan bekerja sebagai satu pasukan di samping menjaga amanah diberikan.

Aktiviti 3 - Pukul 11.30 pagi diadakan aktiviti 'Egg Drop Delivery System'. Setiap pasukan diberikan arahan untuk mendapatkan beberapa batang straw, pelekat dan telur untuk menyediakan satu kaedah di mana jika sebiji telur dijatuhkan pada ketinggian 8 kaki, telur tidak pecah. Kriteria-kriteria diambilkira ialah telur tidak pecah, masa menyiapkan sistem cepat dan kos murah. Ia sebenarnya menguji kerja berpasukan agar kreatif dalam menyelesaikan masalah.

Pada sesi petang, diadakan pembentangan projek dan demonstrasi sistem yang dibina. Sesi ini menarik kerana jika telur pecah atau retak, kumpulan dikira gagal dan mata tambahan sebanyak 10,000 diberikan.

Pada sesi ini juga diadakan post-mortem sesi berakit pagi tadi dan kemudian setiap kumpulan perlu membuat wawasan atau visioning bagaimanakah perpustakaan pada tahun 2015. Imaginasi dilakarkan pada kertas mahjung untuk dibentangkan pada keesokan harinya.

Aktiviti 4- Pukul 9.00 malam diadakan aktiviti 'Menangi Sebanyak Yang Anda Boleh'. Sebanyak 8 kumpulan dibahagikan kepada dua kumpulan besar iaitu A dan B. Kumpulan-kumpulan ini akan memilih X atau Y di setiap pusingan dan ianya berjalan sejumlah 10 pusingan. Markah berdasarkan kepada carta bayaran. Permainan ini memerlukan pasukan mendapatkan mata yang banyak untuk terus di atas di samping membantu kumpulan-kumpulan lain di dalam kelompok A atau B tertakluk di mana kumpulan tersebut berada.

Permainan ini ada kalanya memaksa kumpulan membuat keputusan sama ada ingin memilih keuntungan atau mengkhianati kumpulan lain. Permainan ini juga mampu mengundang krisis kepercayaan di antara kumpulan.


Hari 3 - 23 Januari 2011

Pagi Ahad dimulakan dengan sembahyang Subuh berjemaah dan kuliah subuh. Kuliah Subuh pagi ini bertajuk 'Islam, Iman dan Ihsan'.

Pukul 9.00 pagi diadakan pembentangan aktiviti 'visioning'. Setiap pasukan menyatakan apa yang berlaku kepada perpustakaan pada tahun 2015 berdasarkan idea daripada rakan-rakan dalam kumpulan. Aktiviti ini menuntut peserta memikirkan idea di luar kotak fikiran bagi menjayakan wawasan kumpulan.

Pukul 12.00 tengah hari, peserta diminta menyusun kerusi secara u-shape. Sesi ini merupakan rumusan kepada aktiviti dan juga pelan tindakan yang bakal dilaksanakan apabila pulang ke tempat kerja. Setiap peserta dikelompokkan mengikut unit masing-masing dan mengadakan perbincangan berkenaan pelan tindakan untuk pembentangan.

Sesi terakhir ialah sesi menyatakan pendapat tentang program PINTAR dan penilaian perjalanan keseluruhan program. Program PINTAR Siri 1/2011 berakhir pada jam 1.50 petang setelah acara penyerahan sijil penyertaan oleh Naib Canselor kepada Ketua Pustakawan yang mewakili keseluruhan staf perpustakaan dan bacaan doa oleh Ustaz Azman Amir.