Khamis, Disember 13, 2012

Pelaksanaan Audit Dalaman MS ISO 9001:2008 UTeM 2012

Pelaksanaan Audit Dalaman MS ISO 9001:2008 UTeM 2012 khususnya dalam skop pengajaran dan pembelajaran kini sedang giat dijalankan di semua Pusat Tanggungjawab (PTj) di universiti berkenaan.


Semalam giliran Perpustakaan UTeM pula diaudit. Kali ini dua orang auditor yang terlibat iaitu Puan Mazne Ja'affar bertindak sebagai Ketua Auditor dan Dr. Hajah Norasiken Bakar. Kedua-duanya menjalankan proses auditan selama dua hari iaitu pada 12 hingga 13 Disember 2012.


Mesyuarat pembukaan diadakan pada jam 8.30 pagi di Bilik Mesyuarat Utama, Tingkat 2, Perpustakaan. Di antara tujuan lawatan audit ialah bagi menilai pelaksanaan sistem kualiti khususnya dari aspek pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan 11 prosedur kerja perpustakaan.


Turut hadir di dalam mesyuarat pembukaan ialah Ketua Pustakawan dan semua pemilik proses kerja. Encik Arman Mohammad selaku wakil pengurusan dibantu oleh semua pemilik proses bertanggungjawab memastikan segala proses kerja yang telah didokumenkan dipatuhi.


Dalam tempoh pengauditan, pemilik-pemilik proses dipanggil untuk memberi keterangan terhadap dokumen yang telah disemak oleh auditor tersebut. Semua pemilik proses memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap pelaksanaan audit ini.

Mesyuarat penutup telah diadakan pada jam 9.00 pagi, 13 November 2012. Kesimpulan daripada proses pengauditan yang dijalankan, kesemua staf faham akan proses kerja di bahagian dan unit masing-masing serta mampu menerangkan kembali proses dalam prosedur yang didokumenkan itu dengan jelas.


Ketua auditor juga memaklumkan bahawa ada sedikit penambahbaikan atau pengemaskinian perlu dibuat pada dokumen. Antaranya simbol pada carta alir (PK01) dan tandatangan pemilik prosedur (PK03). Saranan juga dibuat agar semua prosedur dikemaskini, dihantar dan dipaparkan di laman web PJKA.

Syukur, Alhamdulillah. Tiada NCR diberikan dan semua teguran auditor itu perlu diambil tindakan segera bagi mengelakkan kes 'terlepas pandang' berulang kembali.

Pembentangan berakhir jam 10.00 pagi.

Selasa, Disember 04, 2012

Arif Hadiri Kem 'Easy Math'

Petang tadi kami sekeluarga menjemput Arif pulang dari menghadiri Kem 'Easy Math' di UKM Bangi. Kami sampai jam 3.00 petang.


Sabtu lalu, kami menghantar Arif ke Kolej Keris Mas untuk pendaftaran kem tersebut. Bayaran untuk menghadiri program ini biasanya dibayar secara online dan peserta hanya perlu mengesahkan penyertaan dengan bukti pembayaran yang telah dibuat sebelum program bermula.

Kem 'Easy Math' anjuran Easy Technic merupakan satu program yang dirangka khusus untuk pelajar yang bakal menghadapi PMR dan SPM pada tahun 2013. Untuk program ini, ianya diadakan dari 1 hingga 4 Disember 2012. Yuran bagi 'Easy Math' PMR ialah RM280.00 manakala bagi SPM ialah RM290.00. Semasa kem, semua peserta dikehendaki berpakaian kemas. Waktu program berlangsung ialah dari jam 7.00 pagi hingga 11.00 malam.

Objektif program antara lain memberikan kemahiran kaedah penyelesaian masalah matematik dengan cara yang paling mudah mengikut tajuk-tajuk dalam sukatan melalui kaedah 'Easy Math'. Ia juga mengubah minda peserta dari mengatakan matematik itu susah kepada mudah.


Dari pemantauan, Arif kelihatan sedikit lemah dalam subjek Sains dan Matematik. Jadi dengan adanya kem ini, sedikit-sebanyak beliau mendapat tips-tips berguna untuk diaplikasikan dalam pembelajaran di sekolah nanti.

Kem 'Easy Math' anjuran Easy Technic ini selain menganjurkan program berkaitan Matematik Tambahan, ia juga mengadakan kem untuk subjek sains seperti biologi dan kimia.


Bagi tahun 2013, kedua kem matematik tambahan dan biologi dan kimia akan diadakan di beberapa lokasi seperti UKM Bangi, Johor Bahru dan Kuantan. Tarikh kem anjuran Easy Technic seterusnya ialah pada bulan Mac 2013 untuk subjek biologi dan kimia manakala Kem 'Easy Math' pula akan diadakan sekali lagi pada bulan Mei 2013.

Diharapkan Arif mendapat tips-tips berguna di dalam Kem 'Easy Math' yang dihadirinya selama 4 hari dan dapat meningkatkan markah serta pencapaiannya dalamn subjek-subjek sains dan matematik.

Isnin, Disember 03, 2012

Lewat Ke Tempat Kerja

Hari ini aku lewat ke tempat kerja. Manakan tidak, kenderaan yang dipandu terkandas di dalam kesesakan jalan raya menuju ke UTeM. Inilah kali pertama fenomena seumpama ini berlaku di universiti.

Sebaik melepasi Philea Resort & Spa, sebuah hotel berhampiran UTeM, aku terkejut melihat kenderaan bersusun panjang dan bergerak perlahan menunggu giliran melepasi kawalan keselamatan universiti.




Kenderaan yang aku pandu perlahan-lahan memasuki laluan utama bersama-sama kenderaan lain menuju ke UTeM. Catatan rekod perakam waktu aku pada hari ini ialah 8.09 minit. Aku sangka aku seorang yang datang lewat ke tempat kerja, rupanya ramai lagi yang lewat. Makluman mengenai majlis disebarkan oleh pihak UTeM kepada semua staf melalui e-mel kira-kira jam 9.00 pagi.

Rupa-rupanya Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipilih sebagai penganjur Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bil. 12/2012 dan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan (BKK) 2012 Peringkat Negeri Melaka. Majlis diadakan di Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal dan disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Melaka.

Difahamkan sejumlah 95 peratus staf di bawah seliaan sesebuah jabatan di Negeri Melaka diarah menghadiri majlis sebegini bagi menjayakan aktiviti kerajaan Negeri Melaka.

Diharapkan perkara seumpana ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan agar kelewatan ke tempat kerja dapat dihindarkan.