Jumaat, November 23, 2012

Tazkirah: Hikmah Doa

Pagi ini telah diadakan tazkirah bulanan kali ke-11 bagi tahun 2012 pada jam 8.30 pagi di Bilik Tayangan Perpustakaan. Tazkirah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ali Janas, Pembantu Hal Ehwal Islam, Bahagian Masjid dan Penerbitan, Masjid Sayyidina Abu Bakar. Tajuk tazkirah kali ini ialah 'Hikmah Doa' dan dihadiri oleh staf Perpustakaan UTeM.


Menurut Ustaz Muhammad Ali, doa ialah permohonan seorang hamba kepada Allah SWT. dan merupakan suatu ibadah. Doa yang dipanjatkan perlulah ikhlas, tertib dan tawaduk.

Untuk berdoa, seseorang itu perlu mengikut peraturan agar doanya diterima Allah SWT. Di antaranya ialah mengangkat kedua -dua tangan dan bermohon atau berharap kepada Allah SWT. dengan rasa rendah diri serta sangat berhajat kepada Allah SWT. bagi menyelesaikan sesuatu masalah agar doanya dimakbulkan.

Firman Allah SWT. tentang berdoa ada disebut dalam Surah Al-Mu'minun, Ayat : 109

Wahai Tuhan kami, kami telah beriman; oleh itu ampunkanlah dosa kami serta berilah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat”.

Di antara adab-adab berdoa menurut Ustaz Muhammad Ali ialah:

1. Membuka doa dengan Alhamdullillah iaitu puji-pujian kepada Allah SWT. dan salawat ke atas Nabi. Ia menjadi penguat agar doa termakbul.

2. Sentiasa mengakui dosa dan sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah SWT. Maksiat merupakan punca utama manusia jauh daripada rahmat Allah dan disarankan sentiasa memohon keampunanNya agar dosa diampunkan dan bertaubat (menyesal perbuatan maksiat).

3. Bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sentiasa khusyuk dan menangis semasa berdoa agar hati menjadi tenang dan doa mudah diterima Allah SWT.

4. Disarankan berwuduk dan mengadap Qiblat serta mengangkat tangan semasa berdoa.

5. Sentiasa bersih daripada hadas besar atau kecil.

6. Sewaktu berdoa, kita hendaklah merendah diri dan merendah suara dan berdoa dalam keadaan tenang.

7. Berdoa tidak melampaui batas seperti bersyair.

8. Tidak memohon pertolongan Allah untuk perkara-perkara yang haram.

9. Jangan sesekali berputus asa dalam berdoa walaupun belum termakbul.

10. Berdoa waktu senang dan susah contohnya setiap kali selepat solat.

Untuk memboleh doa termakbul, Ustaz Muhammad Ali menjelaskan bahawa elakkan daripada memakan makanan yang haram atau syubhah kerana ia akan menjadi darah daging.

Waktu yang paling afdal untuk berdoa ialah:

1. Waktu Subuh - di mana kita boleh memohon keampunan untuk ahli keluarga, anak-anak juga seluruh umat Islam.

2. Hari Jumaaat - sewaktu menunggu Khatib.

3. Bulan Ramadhan - doa dan ibadah dipertingkatkan untuk ketaqwaan pada sepuluh malam terakhir.

4. Hari Arafah.

5. Antara azan dan iqamah - khususnya di masjid.

Hikmah doa:

1. Ia menjadi pelindung kepada orang Mukmin untuk mengelak daripada hasutan syaitan dan mengelak daripada azab neraka.

2. Ia meningkatkan ketaqwaan iman.

3. Berdoa dan meminta kepada Allah SWT. bukan kepada manusia seperti bomoh.

4. Dengan berdoa akan mententeramkan jiwa.

5. Doa juga merupakan ubat penyembuh kepada semua jenis penyakit (dengan rawatan yang betul).

6. Ia juga merupakan tali penghubung anak dan ibu bapa (terutama yang telah meninggal dunia).

7. Berdoa akan membuka pintu rahmat.

8. Doa menjadi penghubung atau mengikat tali persaudaraan sesama mukmin - contohnya di Palestin.

9. Berdoa akan meningkatkan keimanan dan keyakinan.

Di akhir tazkirah, Ustaz Muhammad Ali menyatakan bahawa dengan berdoa, mudah-mudahan kita lebih dekat kepada Allah SWT. dan sentiasa tenang hati dan diri. Semoga kita dapat memperbaiki diri untuk kebaikan dan doa diterima serta dirahmati Allah SWT. Beliau juga menyatakan bahawa doa merupakan senjata orang Mukmin yang paling mujarab.

Sesi tazkirah berakhir pada jam 9.30 pagi.

Ahad, November 18, 2012

Menikmati Tutti Frutti

Dah lama aku mendengar tentang Tutti Frutti tapi tidak pernah merasai kenikmatannya. Hari ini kami dalam perjalanan pulang ke Melaka, singgah di rumah Sharif di Kuarters Pegawai di Kompleks Kastam di Kelana Jaya untuk menjemput Alim pulang bersama.

 
Alim dan Miza mengikut Sharif sekeluarga pulang ke Kelana Jaya, Rabu lepas. Mereka berdua bersama anak-anak Sharif dibawa berjalan-jalan sempena cuti sekolah. Salah satu tempat yang mereka singgah ialah di Tutti Frutti Kelana Jaya yang letaknya kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.


Miza meminta untuk menikmati Tutti Frutti. Tak sampai hati pulak sebab Miza akan tinggal lagi di rumah Sharif bersama anak-anaknya.


Jam 4.00 petang kami ke Tutti Frutti Kelana Jaya. Selain Miza, Alim dan anak-anak Sharif iaitu Hana, Durrah dan Omey, Arif pun ikut sekali tetapi Ifa tidak kerana ingin mengikuti siaran langsung perlawanan hoki Piala Sultan Johor. Masing-masing memilih perisa kegemarannya.


Macam-macam perisa yang ada. Kemudian boleh tambah topping. Kalau nak pilih boleh surf kat website Tutti Frutti. Selepas memilih yogurt dan perisa yang disukai, elok ditambah topping seperti buah-buahan dan coklat berwarna-warni.

 
Kemudian mangkuk berisi yogurt ini ditimbang. Lebih banyak kandungannya, lebih mahal. Semangkuk yogurt boleh mencecah RM30.00 bergantung kepada kandungannya. Yogurt ini memang enak rasanya.


Lebih kurang sejam kami di sana, akhirnya kami singgah semula di Kuarters Pegawai, Kompleks Kastam untuk menghantar Miza, Hana, Durrah dan Omey. Kami dihidang minuman petang sebelum bertolak balik ke Melaka.








Rabu, November 14, 2012

Salam Maal Hijrah 1434H

Salam buat semua pengunjung blog ini. Di kesempatan ini penulis ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah buat semua Muslimin dan Muslimat sekelian.



Tahun ini tema sambutan ialah 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' dan sambutan diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 15 November 2012. Tema ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk melihat masyarakat bersatu, bekerjasama dan saling memahami antara satu sama lain.

Semoga dengan kehadiran Maal Hijrah ini, kita akan terus bermuhasabah diri untuk menilai segala amalan yang telah kita lakukan dan semoga kita diberi petunjuk untuk memperbaiki segala kekurangan dan kesilapan yang telah kita lakukan. Penulis juga ingin memohon maaf andai kata ada komen-komen ataupun artikel yang menyentuh mana-mana pihak.

Seseungguhnya yang baik itu datang dari Allah SWT dan kekurangan itu datang dari penulis sendiri.

Salam Maal Hijrah 1434H.

Rabu, November 07, 2012

Kursus Pemantapan Pengurusan Perpustakaan

Pada 6 dan 7 November 2012, Unit Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UTeM dengan kerjasama Perpustakaan UTeM telah menganjurkan Kursus Pemantapan Pengurusan Perpustakaan Untuk Staf Perpustakaan UTeM.

Hari pertama, lokasi kursus ialah di Auditorium Pusat Pengajian Siswazah manakala hari kedua dijalankan di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan.



Fasilitatornya ialah Puan Siti Salbiah Raduan, seorang penulis juga bekas pustakawan. Beliau mempunyai banyak pengalaman khususnya dalam bidang kepustakawanan. Menggunakan pengalaman yang sedia ada sewaktu bertugas di UIAM Library dan International Centre For Education In Islamic Finance (Incief), beliau berjaya menarik perhatian para peserta dengan mengaitkan topik-topik kursus dengan contoh-contoh yang sedia di perpustakaan. Beliau sebenarnya mengendalikan kursus di bawah Wisdom Energy.




Kursus Pemantapan Pengurusan Perpustakaan ini mengandungi beberapa modul antaranya Pengurusan Asas, Kepimpinan, Motivasi Berkekalan, Kepintaran Emosi (EQ), Mengamanah (Delegation), Mengurus Perkhidmatan dan Mengurus Kualiti dan Kecemerlangan.



Di dalam kursus ini, para peserta di bahagikan kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan mengandungi lebih kurang enam orang dan seorang ketua dilantik di kalangan ahli kumpulan. Bagi individu atau kumpulan yang berjaya menjawab kembali soalan-soalan daripada fasilitator, mereka akan menerima sekeping coklat. Manakan tidak seronok, lebih banyak menjawab, lebih banyak coklat diterimanya.




Seperkara yang menarik perhatian aku, kandungan modul ini benar-benar bermanfaat untuk diterapkan dalam pekerjaan. Banyak perkara yang kita buat kadang-kadang tidak menyumbang kepada kecemerlangan. Inilah masanya untuk digunakan segala ilmu yang diperolehi dalam kursus ini.



Kursus yang dijalankan dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini dihadiri seramai 38 orang yang terdiri daripada para Pustakawan, Penolong Pegawai Perpustakaan dan juga Pembantu Perpustakaan.

Semoga kursus ini bermanfaat untuk semua staf perpustakaan dan diharapkan ada perubahan yang lebih positif pada sikap dan pemikiran staf hendaknya.

Selasa, November 06, 2012

Steven Covey Dan 7 Tabiat Orang Berkesan

Seorang pemikir terkenal, Stephen R. Covey, mengutarakan satu teori mengenai kebolehan manusia. Dalam bukunya The Seven Habits Of Highly Effective People, beliau membentangkan tujuh tabiat yang menjadi amalan orang-orang yang berjaya dalam hidup. Tujuh tabiat yang dimaksudkan itu ialah:



1. Bersikap Proaktif (Be Proactive)
==> Bertindak lebih awal bukan setelah berlaku sesuatu.

2. Bermula Dengan Matlamat (Begin With The End In Mind)
==> Mulakan sesuatu usaha dengan menentukan matlamat dan pastikan matlamat itu tercapai.

3. Lakukan Sesuatu Mengikut Tertib (Put First Things First)
==> Laksanakan sesuatu mengikut peraturan dan keutamaan.

4. Fikirkan Sama-Sama Menang (Think Win-Win)
==> Tentukan sama-sama mendapat faedah atau keuntungan

5. Fahami Orang Sebelum Orang Memahami Kita (First Seek To Understand Then To Be Understood)
==> Cari jalan memahami orang lain terlebih dahulu sebelum orang memahami kita; jangan mementingkan diri sendiri.

6. Gemblengkan Tenaga (Synergize)
==> Jalin kerjasama dan kukuhkan ikatan.

7. "Tajamkan Gergaji" (Sharpen The Saw)
==> Perbaharui tekad dan buat perubahan diri

Tujuh Tabiat Berkesan ini kemudian dipecahkan pula kepada 3 bahagian bagi menentukan kejayaan atau mencari kemenangan, iaitu:-

KEMENANGAN PERIBADI

• Bersikap Proaktif
• Bermula Dengan Matlamat
• Lakukan Sesuatu Mengikut Tertib

KEMENANGAN BERSAMA
• Fikirkan Sama-Sama Menang
• Fahami Orang Sebelum Orang Memahami Kita
• Gemblengkan Tenaga

PEMBAHARUAN DIRI
• Baharui Tekad Dan Buat Perubahan Diri

Untuk membaca kandungan buku ini dan membaca buku terbaru penulis mengenai tabiat ke 8 boleh layari https://www.stephencovey.com/7habits/7habits.phphttps://www.stephencovey.com/7habits/7habits.php

Ahad, November 04, 2012

Pesta Buku Melaka 2012

Hari ini berlangsungnya Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 di Melaka International Bowling Centre (MIBC), Ayer Keroh, Melaka.


Pesta Buku Melaka 2012 anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) ini bertujuan menggalakkan budaya membaca di kalangan masyarakat serta menyokong industri buku tempatan khususnya di Negeri Melaka. Di samping itu ia juga dapat membina gaya hidup yang positif dan menerapkan amalan murni melalui pembacaan.


Pesta Buku ini berlangsung selama tiga hari iaitu dari 2 hingga 4 November 2012. Pelbagai aktiviti diadakan seperti jualan dan pameran buku, Pameran Perpustakaan, Kembara Ilmu, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Karaoke Bintang Cilik, Pertandingan Bercerita, Pertandingan Tulisan Khat dan Pertandingan Bowling Terbuka.

Selain daripada itu turut diadakan Pertandingan Nazam, Pertandingan Ikatan Kasih (Puzzle), Pertandingan Pakaian Beragam, Demonstrasi Kraftangan, Bicara Novelis, “Spell It Right In JAWI”, Kuiz Pelancongan, Kuiz Perpustakaan, Kuiz Pengetahuan Am dan Pengunjung Bertuah. Kartunis Imuda dan novelis Ain Maisarah turut dijemput untuk memeriahkan sesi bersama para pengunjung.


Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 diadakan pada jam 2.15 petang dan dihadiri oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka, YB Datuk Hj. Ab. Wahab Ab. Latip, Pengerusi Perpustam, YB Datuk Latiff Datuk Hj. Tamby Chik, Datuk Prof. Madya Dr. Abu Bakar Md. Diah dan Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris, selaku Pengarah Perpustam di samping ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, para pemenang pertandingan serta pengunjung  pesta buku.


Majlis dimulakan dengan persembahan deklamasi sajak dan persembahan bercerita oleh pelajar yang terpilih. Ia kemudian disusuli dengan ucapan alu-aluan YB Datuk Hj. Ab. Wahab Ab. Latip, Pengerusi Perpustam dan ucapan perasmian penutup Pesta Buku Melaka 2012 oleh YAB Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam, Ketua Menteri Melaka.


Di dalam ucapannya, Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam menekankan tentang kepentingan ilmu dan sikap. Menurut beliau, hanya dengan adanya ilmu, ia mampu membentuk sikap yang betul dan akan menjadi penentu kepada segalanya khususnya modal insan.


Beliau berharap Perpustam dapat memikirkan strategi memapankan industri buku negara seperti mengadakan pertandingan menulis buku bagi melahirkan lebih ramai penulis di mana ia mampu merancakkan industri buku tanah air. Bagi Negeri Melaka, ianya turut mendapat manfaat di mana ia menjadikan negeri ini sebagai negeri pelancongan pendidikan pada masa depan.


Sebaik selesai ucapan perasmian penutup, diadakan gimik pelancaran bagi menarik perhatian tetamu dan pengunjung. Pada majlis ini juga Ketua Menteri melancarkan buku berjudul 'Petua Buat Sendiri Inovatif (DIY)' oleh Abd. Malik Ibrahim.


Datuk Seri Hj. Mohd Ali Mohd Rustam juga turut menyampaikan cenderamata kepada para pemenang pertandingan sebelum melawat gerai-gerai pameran buku di Lobi MIBC.


Majlis Perasmian Penutup Pesta Buku Melaka 2012 berakhir pada jam 3.30 petang.