Selasa, April 26, 2011

Mesyuarat Agung PIBG SMKA Sultan Muhammad

Hujung minggu lalu aku berpeluang menghadiri Mesyuarat Agung PIBG SMKA Sultan Muhammad. Mesyuarat agung kali ke-34 ini diadakan pada hari Sabtu, 23 April 2011 di Dewan Ibnu Batutah. Aku sampai ke majlis tersebut pada jam 8.45 pagi setelah menghantar anak-anak ke Kelas Pengajian Tahfiz di Masjid Al-Azim.

Setelah mendaftar, aku dan Ida terus duduk di kerusi yang disediakan. Majlis bermula pada jam 9.00 pagi. Setelah ucapan aluan daripada pengacara majlis, diadakan persembahan nasyid dan hafazan daripada para pelajar.

Majlis diteruskan dengan ucapan Pengetua, Tuan Hj. Ariffin Omar. Di dalam ucapannya, beliau berhasrat meletakkan sasaran tahun 2015 sebagai tahun di mana SMKA Sultan Muhammad menjadi sekolah berprestasi tinggi. Beliau juga turut merumuskan pencapaian PMR dan SPM 2010 sebagai memberangsangkan. Beliau turut memaklumkan bahawa kerjasama sekolah dengan pihak Infineon bakal membuka lembaran baru dari segi hubungan dengan syarikat korporat dari segi kerjasama sosial.

YDP PIBG, Encik Jamaludin Johar pula di dalam ucapannya berharap kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah penting bagi memastikan keselesaan dan pendidikan yang diterima anak-anak lebih sempurna. Menurut beliau, cara menangani masalah disiplin di kalangan pelajar kini sudah berubah. Mengenai perancangan sekolah menjadi sekolah berprestasi tinggi, beliau mengalu-alukan hasrat sekolah untuk mencapai penarafan tersebut dan kerjasama dengan pihak korporat boleh menjadi salah satu peluang mempercepatkan matlamat tersebut.

Ucapan perasmian oleh Dr. Khatijah Jumangat, Head of Department Safety, Health and Environment, Infineon mengambil masa hampir 30 minit menyebabkan tetamu sedikit gelisah. Barangkali dah terbiasa memberikan ceramah agaknya...Ucapan Dr. Khatijah berkisar kepada perkembangan sosial masa kini khususnya gejala sosial yang semakin menular di kalangan umat Islam khususnya remaja.

Pergaulan bebas di kalangan muda mudi akhirnya menyumbang kepada gejala sosial seperti penagihan dadah, pembuangan bayi, murtad dan sebagainya. Beliau turut berjanji akan berbincang dengan pengurusan syarikat bagi tujuan sumbangan komputer dan kepakaran ICT.

Pukul 10.30 pagi, majlis berhenti rehat. Sebaik selesai jamuan, majlis diteruskan. Mesyuarat Agung PIBG bermula. Laporan aktiviti-aktiviti tahun 2010 dibentangkan berserta penyata kewangan. Banyak usul dan cadangan daripada ibu bapa disuarakan bagi tujuan penambahbaikan aktiviti yang bakal dijalankan pada tahun ini. Antaranya ialah bayaran tambahan persekolahan tahun 2012 oleh Tuan Pengetua.

Memikirkan semua perkara memerlukan kos, tidak salah jika ibu bapa menyokong cadangan tersebut memandangkan ianya untuk kebaikan anak-anak mereka sendiri.

Di akhir majlis, cabutan bertuah diadakan bertujuan menghargai komitmen ibu bapa yang sanggup menunggu sehingga majlis selesai. Rasanya kalau tidak ada hamper, ramai dah balik. Satu demi satu nombor bertuah dibacakan. Dah akhirnya nombor 157 iaitu nombor pada buku program disebut. Ida ke depan mengambil hadiah.

Mesyuarat Agung PIBG SMKA Sultan Muhammad Kali ke-34 berakhir pada jam 2.15 petang. Aku menjemput Arif pulang ke rumah setelah mendapat kebenaran pihak warden. Arif diminta membawa hamper tersebut ke dalam kereta.

Semoga SMKA Sultan Muhammad terus maju...









Rabu, April 20, 2011

Lawatan Audit Dalaman

Setelah melalui dua peringkat lawatan audit SIRIM iaitu peringkat pertama pada 10 Januari 2011 dan peringkat kedua pada 17 dan 18 Mac 2011, Perpustakaan UTeM hari ini perlu melalui satu lagi peringkat lawatan audit dalaman bagi memenuhi keperluan pensijilan ISO 9001:2008.

Lawatan audit dalaman pada 19 April 2011 ini diketuai oleh Encik Samsul bin Samdin, Encik Mohammad Suhaimi bin Abdullah, Encik Ainuddin bin Abu Kasim dan Puan Mazura bt. Mustafa. Ia adalah susulan daripada laporan audit SIRIM peringkat kedua yang menyatakan bahawa lawatan audit dalaman sebelum ini tidak menyeluruh. Pertemuan diadakan di Bilik Mesyuarat 1, Aras 2, Perpustakaan UTeM untuk mesyuarat pembukaan.

Pukul 9.00 pagi, KP memberikan taklimat kepada keempat-empat auditor dan juga pemilik proses. Kemudian secara berperingkat-peringkat pemilik-pemilik proses dipanggil untuk dinilai dokumen dan proses di dalamnya. Kali ini ianya nampak menyeluruh dan hampir semua dokumen disentuh dan ditegur dari banyak segi khususnya carta alir.

Pukul 5.50 petang, mesyuarat penutup diadakan dan dihadiri oleh beberapa orang pustakawan yang juga pemilik proses terlibat tanpa KP. Berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh ketua auditor, tiada NCR diberikan oleh melainkan beberapa teguran untuk penambahbaikan dari segi proses kerja dan dokumen.

Kini Perpustakaan UTeM selangkah ke hadapan untuk mendapatkan pensijilan ISO 9001:2008 dengan berusaha mengambil tindakan penambahbaikan hasil daripada dapatan dan komen-komen para auditor.

Semoga Perpustakaan UTeM terus berjaya...












Bercuti di Corus Paradise, Port Dickson

Hari Jumaat, 15 April 2011 merupakan hari cuti umum bagi Negeri Melaka sempena Hari Perisytiharan Melaka Bandaraya Bersejarah. Pagi tu kami menjalankan 'operasi' mengemas rumah dan membasuh pakaian agar bila pulang dari bercuti nanti tidaklah kepenatan.

Pukul 3.00 petang kami sudahpun berada di Corus Paradise, Port Dickson. Ida membawa bersama confirmation slip yang dicetak dari pencetak di rumah. Tempahan dua bulan lebih awal di dalam sistem tempahan membolehkan kami menginap di apartment 2 bilik di bawah pengurusan Berjaya Vacations.

Sebaik sampai, kami menjamu selera. Masakan sambal sotong yang dimasak oleh Ida dijamah oleh kami sekeluarga. Kemudian kami berehat manakala anak-anak bermain catur. Selepas menunaikan solat Asar, aku membawa anak-anak ke kolam renang. Anak-anak sudah tidak sabar untuk mandi-manda di kolam.

Selepas Maghrib, aku dan Ida ke Bandar Port Dickson untuk membeli barang-barang keperluan untuk memasak. Pukul 10.00 malam, Farok dan Roziah aka Adik bersama anak-anak dan ibu mertuanya, Nek Ikin sampai. Kami sempat berbual-bual dan menjelang tengah malam, aku sudahpun lena diulit mimpi.

Sepanjang masa terluang, kami ke kolam renang. Hari Sabtu boleh dikatakan sepanjang hari kami di sana. Anak-anak tidak puas mandi kolam. Kolam renang akan tutup menjelang jam 7.00 malam. Malam minggu kami sambut ulangtahun kelahiran Raif Farhan ke-3 dan Farha yang berumur setahun. Sebiji kek dengan gambar Ultraman di atasnya memang menjadi kegilaan Raif Farhan.

Lilin dipasang dan lagu hari lahir dinyanyikan. Kemudian masing-masing bertepuk tangan. Kek dipotong dan dibahagi-bahagikan.

Keesokan harinya, 17 April 2011 aku ke Bandar Port Dickson awal pagi untuk membeli sarapan. Aku menikmati roti canai sebelum membawa pulang bekalan yang sama untuk penghuni apartmen. Selepas menjamu selera, kami sekali lagi mandi di kolam renang. Pukul 11.00 pagi, kami bersiap-siap untuk check-out dari apartmen.

Pukul 1.00 tengah hari kami bergerak. Farok balik ke Putra Height, USJ kerana anaknya Farhana perlu menghadiri tuisyen jam 4.00 petang. Aku sekeluarga pula perlu menghantar Arif ke asrama sebelum jam 6.00 petang.

Cuti kali ini memang menyeronokkan. Memang tujuan kami untuk berehat. So, tidak perlu merancang untuk melawat tempat-tempat menarik di sana. Yang penting, happy!!!