Selasa, Mei 29, 2012

Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 UTeM

Tahun 2012 menyaksikan seramai enam orang staf Perpustakaan UTeM menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Mereka adalah di antara 152 orang staf UTeM yang menerima anugerah tersebut pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012 yang diadakan di Dewan Besar UTeM pada 29 Mei 2012.



Mereka ialah Kamariah Kamis, Sabariah Ismail, Siti Syahirah Ab Rahim, M. Jefridzain Ja'afar, Ahmad Abu Bakar dan Rohana Hashim. Kesemua penerima anugerah ini bertugas sebagai Pembantu Perpustakaan dan menerima anugerah daripada Naib Canselor UTeM, Datuk Prof. Dr. Ahmad Yusoff Hassan manakala M. Jefridzain Ja'afar dan Rohana Hashim tidak hadir kerana tidak sihat.

Dari kiri Ahmad Abu Bakar, Siti Syahirah Ab Rahim, Sabariah Ismail dan Kamariah Kamis.

Ahmad Abu Bakar dan Kamariah Kamis merupakan penerima APC kali kedua di mana keduanya pernah menerima anugerah yang sama pada tahun 2003 dan 2006.

Pada tahun ini seramai 152 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang setelah prestasi mereka dinilai oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia pada 9 April 2012. Mereka adalah kelompok 6 hingga 8 peratus staf yang cemerlang mengikut pencapaian prestasi di jabatan masing-masing.



Berdasarkan markah prestasi yang dipaparkan pada skrin, markah purata universiti ialah 83.95. Purata markah tertinggi dicatatkan oleh Penerbit Universiti iaitu 86.29manakala purata markah terendah jatuh kepada Perpustakaan iaitu 80.99 markah.

Kesemua penerima APC ini menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang dan wang saguhati sebanyak RM1000.00.

Tahniah di atas kejayaan menerima APC buat enam orang staf perpustakaan ini...


Berikut adalah senarai Penerima APC dari Pejabat Perpustakaan UTeM sepanjang sepuluh tahun anugerah ini diwujudkan.

2003
Majlis Sambutan Hari Q KUTKM 2003 & Pelancaran Sistem ISO 9000
Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
7 Oktober 2003
1. Abu Hassan Shamsudin

2004
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2004
Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
16 September 2004
1. Ahmad Abu Bakar
2. F. Haslinda Harun

2005
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2005
Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka
20 Disember 2005
1. Kharmizi Khamis
2. Zulkarnaen Mahat
3. Muhammed Rashid Mat Derus

2006
Majlis Hari Kualiti KUTKM 2006
Dewan Bistari, Ayer Keroh, Melaka
12 September 2006
1. Siti Roheizah Mohni
2. Zulkarnaen Mahat
3. Kamariah Kamis

2007
Majlis Hari Kualiti UTeM 2007
Dewan Seri Negeri, Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh, Melaka
25 Ogos 2007
1. Azman Hj. Ayup
2. Siti Saluwa Jamal
3. Rasida Abu Bakar

2008
Majlis Hari Kualiti UTeM 2008
Ballroom, MITC, Ayer Keroh, Melaka
13 Jun 2008
1. Mohd Nasir Hashim
2. Norhairol Khalid
3. Elfa Laily Ramly

2009
Majlis Hari Kualiti UTeM 2009
Ballroom, MITC, Ayer Keroh, Melaka
23 Jun 2009
1. Mahadir Che Ali
2. Mohd Efendi Rajali
3. Kharmizi Khamis
4. Muhammad Afiz Ahmad
5. Amir Hafizuddin Abu Bakar

2010
Majlis Hari Kualiti 2010
Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka
25 Mei 2010
1. Arman Mohammad
2. Zuraidah Amar
3. Fatilah Ramly
4. Nor Aini Md. Jali
5. Jumakyah Yacoob

2011
Majlis Hari Kualiti 2011
Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka
18 Mei 2011
1. Fauziah Hassan
2. Aziana M. Bahrim
3. Noorlizawati Kamis
4. Amir Hafizuddin A. Bakar

2012
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2012
Dewan Besar UTeM, Durian Tunggal, Melaka
29 Mei 2012
1. Kamariah Kamis
2. Sabariah Ismail
3. Siti Syahirah Ab Rahim
4. M. Jefridzain Ja'afar
5. Ahmad Abu Bakar
6. Rohana Hashim

Arif Dapat Laptop

Isnin, 28 Mei 2012. Hari ini aku, Arif dan Ida singgah di salah sebuah kedai komputer di AEON Bandaraya Melaka untuk membeli sebuah komputer riba untuk Arif.

Semalam, secara kebetulan kami ke Jaya Jusco, AEON Bandaraya Melaka untuk membeli barang-barang keperluan harian. Sewaktu menunggu Miza dan Alim selesai bermain di taman permainan berbayar, aku dan Arif singgah di kedai-kedai komputer di kompleks membeli-belah tersebut untuk melihat jenama dan model komputer riba terbaru.

Apabila kami masuk ke sebuah kedai komputer yang menjual bukan sahaja peralatan IT malah aksesori fotografi, kami disapa oleh jurujual, seorang remaja yang memang mahir tentang pasaran barangan IT.



Setelah berbincang, akhirnya kami setuju untuk membeli sebuah komputer riba jenama Asus. Memandangkan kedai sudah hampir ditutup, jurujual meminta kami meletakkan deposit sebagai tanda jadi. Menurut jurujual, jika setuju, kami diminta datang keesokan harinya kerana beliau perlu membuat instalasi beberapa perisian dan gajet ke dalam komputer riba sebelum kami membawa pulang ke rumah.

Petang tadi, secara kebetulan Ida bertugas di ruang legar AEON Bandaraya Melaka kerana ada perasmian perpustakaan AEON Bandaraya Melaka oleh YAB Ketua Menteri Melaka. Selepas pejabat, aku segera ke kedai komputer bersama Arif.

Komputer riba jenama Asus model A43SD-VX419V W7HP didatangkan dalam 4 warna iaitu hitam, putih, biru dan merah. Arif memilih komputer riba berwarna biru.

Selain komputer riba, Arif juga mendapat mouse, peningkatan RAM, mouse pad, beg notebook Asus, headset, vacuum, notebook lock dan keyboard protector. Kami juga mendaftarkan komputer riba Arif dengan bayaran tambahan agar jika terkena jangkitan virus atau pertambahan perisian, ia boleh dilakukan dengan percuma.

Selepas membayar harga komputer riba tersebut, kami singgah di KFC untuk membasah tekak. Petang itu, Arif balik dengan gembira kerana berjaya mendapat sebuah komputer riba.

Sebenarnya komputer riba merupakan hadiah istimewa buat Arif yang berjaya dengan cemerlang di dalam PMR tahun lalu. Semasa berjaya dalam UPSR tiga tahun lepas, Arif mendapat hadiah PSP dan mengerjakan umrah.

Sewaktu mengumumkan kami akan menghadiahkan beliau sebuah komputer riba, Arif kelihatan terkejut tetapi penuh mengharap agar impiannya menjadi kenyataan.

Kami mengharapkan dengan hadiah ini, ianya akan meningkatkan motivasi Arif untuk berjaya di dalam pelajaran dan peperiksaan SPM yangbakal diduduki tahun hadapan.

Masuk Kelas Tuisyen

Setelah memantau perkembangan pendidikan anak-anak, aku dan Ida sepakat untuk mendaftarkan anak-anak memasuki kelas tuisyen. Kali terakhir kami 'menyibukkan' diri ialah pada tahun lepas sewaktu Ifa membuat persiapan menghadapi UPSR. Boleh dikatakan setiap malam, selepas solat Maghrib, aku akan segera menghantar Ifa ke kelas tuisyen di Jad Ansar, Bukit Baru.

Bulan Februari lepas, Alim dan Miza tidak dapat meneruskan Kelas Pengajian Tahfiz di Masjid Al-Azim kerana lambat mendaftar walaupun borang pendaftaran kami serahkan sebelum tarikh akhir.

Sesi mengaji Al-Quran Alim dan Miza dengan atuknya, Haji Ayup ditangguhkan juga kerana persiapan untuk majlis perkahwinan pada bulan April. Hanya Arif sahaja yang memulakan kelas Bahasa Arab pada pagi hari Sabtu mulai Mei 2012.

Seperti biasa Alim dan Miza menghadiri kelas Bahasa Cina (Speed Reading) di rumah Cikgu Koh di Taman Dahlia, Bukit Beruang pada setiap petang Jumaat.

Mulai 19 Mei 2012, bagi memantapkan pelajaran, Alim kami daftarkan tuisyen di Jazim Motivation Group di Kompleks Perniagaan Al-Azim, Bukit Palah. Kelas tuisyennya pada hari Sabtu, jam 11.30 pagi dan Ahad, 8.30 pagi.

Bagi Miza pula, kami daftarkan di Jad Ansar, Bukit Baru. Kelasnya pada sebelah petang hari Sabtu dan Ahad.

Pada sebelah petang hari Sabtu juga, Miza dan Alim akan menghadiri kelas seni di Global Art, Bukit Baru. Kelas ini dipinta sendiri oleh Alim kerana cemburukan lukisan Miza yang lebih cantik. Miza sebelum ini pernah belajar di Global Art bersama Ifa tetapi menangguhkan sebentar dari menghadiri kelas ini kerana Ifa memberikan fokus kepada UPSR.

Untuk Ifa, kami daftarkan kelas Bahasa Arab bersama Ustaz Fazly pada pagi hari Ahad.

Dengan mendaftarkan anak-anak pada kelas tuisyen ini, sekurang-kurangnya masa anak-anak terisi dengan pelajaran. Kalau seharian di rumah, pastinya anak-anak akan mengisi masa dengan menonton TV, melayari internet dan bermain-main.

Duit boleh dicari tetapi masa tidak. Kejayaan tidak datang bergolek tetapi perlu dengan usaha dan doa. Bagi kami, banyak masa kami akan berada di atas jalan. Harapan kami semoga apa yang dirancangkan ini berhasil.

Amin!

Isnin, Mei 14, 2012

7th Men's Junior Asia Cup Final, Malaysia vs Pakistan

Skuad Projek 2013 Malaysia menjuarai Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia buat pertama kali apabila mengalahkan Pakistan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Hoki Bukit Serindit di sini malam ini.


Jaringan pasukan Malaysia pada separuh masa pertama.

Malaysia menjaringkan kedua-dua gol itu pada babak pertama perlawanan menerusi Faizal Saari pada minit kedua dan Mohd Syamim Mohd Yusof pada minit ke-17.


Jaringan tunggal Muhammad Irfan merapatkan kedudukan 2-1.

Gol tunggal Pakistan dijaringkan oleh Muhammad Irfan pada minit ke-42.


















Selamat Hari Ibu

Selamat Hari Ibu buat ibuku Puan Hajah Khadijah Awaluddin, ibu mertuaku, Puan Hajah Che Nah Isnin dan ibu kepada anak-anakku, Puan Rafidah Atip serta semua ibu-ibu di luar sana. Pengorbanan anda tetap hargai.

Selamat Hari Ibu.......

Kad-kad Hari Ibu buatan tangan yang disediakan oleh Arif, Ifa, Miza dan Alim untuk ibu mereka, Puan Rafidah.



Jumaat, Mei 04, 2012

Lawatan Sambil Belajar FPM UiTM Kedah

Jumaat, 4 Mei 2012. Hari ini Perpustakaan UTeM menerima kunjungan seramai 34 orang pelajar dan pensyarah daripada Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Kedah. Rombongan lawatan ini terdiri daripada pelajar semester 6 atau tahun 3, FPM yang diketuai oleh Encik Asmad Rizal Umar, pensyarah FPM.

Antara tujuan lawatan ini ialah bagi mendapatkan gambaran tentang aktiviti yang dijalankan oleh sesebuah perpustakaan khususnya perpustakaan akademik. Ia amat berguna kepada para pelajar di mana selama ini mereka hanya belajar secara teori sahaja manakala secara praktikalnya, ia perlu diperolehi di perpustakaan.

Pukul 10.00 pagi, sebaik rombongan ini tiba di Perpustakaan UTeM, mereka disambut oleh beberapa orang pustakawan daripada Perpustakaan UTeM dan dibawa ke Bilik Tayangan, Aras 2 untuk taklimat perpustakaan. Lawatan ini diuruskan oleh Encik Mohd Mawardi Badruddin, Pustakawan Unit Latihan dan Kualiti.

Pukul 10.05 pagi, taklimat perpustakaan telah disampaikan oleh Puan Mez Zelina Yusof, Pustakawan di Bahagian Rujukan. Antaranya ialah berkenaan latar belakang perpustakaan, koleksi, perkhidmatan dan projek pendigitalan koleksi perpustakaan. Pukul 10.30 pagi, sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan ahli rombongan mendapatkan maklumat yang lebih jelas tentang aktiviti Perpustakaan UTeM. Turut memberikan taklimat ialah Puan Nurul Akmar Mehat daripada Unit Automasi.

Pukul 11.00 pagi, sesi penyampaian cenderahati lawatan diadakan. Encik Asmad Rizal Umar menyampaikan cenderhati bagi pihak FPM, UiTM Kedah manakala cenderahati balasan disampaikan oleh wakil Perpustakaan UTeM, Encik Azman Hj. Ayup.

Pukul 11.05 pagi, rombongan pelajar UiTM Kedah ini dibawa melawat ke ruang-ruang perkhidmatan di perpustakaan dan juga ruang kerja seperti di Bahagian Rujukan dan Bahagian Sirkulasi/Media. Mereka dipandu oleh Encik Mohd Razif Dzulkipli, Pustakawan Bahagian Rujukan manakala penerangan di Bahagian Sirkulasi/Media disampaikan oleh Encik Mahadir Che Ali. Rombongan ini turut merakamkan foto lawatan berhampiran Galeri Perpustakaan.

Pukul 11.30 pagi, ahli rombongan dibawa melawat ke Bahagian Pengindeksan dan penerangan mengenai proses kerja di sini di sampaikan oleh Encik Harul Rizam Mohamed, Pustakawan Bahagian Pengindeksan.

Hampir setengah jam berada di Bahagian Pengindeksan, rombongan dibawa pula melawat Bahagian Perolehan di mana penerangan tentang proses kerja di bahagian ini disampaikan oleh Cik Hasliza Mohamed, Pustakawan Unit Perolehan Buku.

Sebelum bertolak pulang, ahli-ahli rombongan lawatan FPM UiTM Kedah ini dihidangkan dengan jamuan yang disediakan oleh pihak tuan rumah.

Ini merupakan lawatan kedua FPM, UiTM Kedah ke Perpustakaan UTeM. Tahun lepas, Encik Asmad Rizal Umar membawa rombongan pelajar seramai 17 orang yang terdiri daripada pelajar semester 3, FPM ke Melaka pada 18 November 2011.

Sesungguhnya dengan adanya lawatan sambil belajar begini ianya akan mengeratkan hubungan di antara IPT dan juga meningkatkan profesion kepustakawanan di mata masyarakat khususnya pelajar dalam bidang pengurusan maklumat.