Selasa, Mei 31, 2011

Kau Permata Ayah Bonda

Isnin, 30 Mei 2011. Pukul 11.00 pagi aku bergerak daripada pejabat ke SMK Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam. Aku diminta oleh Arif hadir ke Majlis Penutup Program Perkampungan Ilmu dan Kem Motivasi Kecemerlangan PMR 2011. Salah satu slot di dalam program yang memerlukan kehadiran ibu bapa ialah Kau Permata Ayah Bonda.

Sewaktu aku sampai, Arif menyambut aku dengan menghulur tangan bersalaman. Kemudian aku ke meja pendaftaran dan terus ke dewan untuk menyertai program tersebut.

Kau Permata Ayah Bonda merupakan slot motivasi di mana motivator yang mengendalikan program ini, Dr. Mohd Azmi dari Astac Training and Consultancy berinteraksi dengan para pelajar dan ibu bapa. Dr. Mohd Azmi memberikan gambaran sebuah keluarga yang bahagia melalui video yang ditayangkan.



Pelajar ditanyakan hala tuju kehidupan mereka dan peranan serta tanggungjawab yang perlu digalas dalam menuju kecemerlangan. Mereka disedarkan dengan segala pahit getir ibu bapa dalam membesarkan dan memberikan pendidikan sempurna. Para pelajar boleh menggembirakan hati kedua ibu bapa mereka mencapai kejayaan dalam peperiksaan PMR yang bakal menjelang.



Dengan memainkan lagu instrumental Kitaro, perlahan-lahan motivator membawa pelajar mendalami satu senario di mana pelajar diminta pulang setelah dimaklumkan bahawa kedua ibu bapa mereka kemalangan. Dan setelah pulang, pelajar melihat ramai orang di rumahnya dan melihat kedua ibu bapanya terbujur kaku. Pada waktu itu pelajar sedar bahawa mereka sudah tidak lagi mendapat kasih sayang seperti sebelumnya. Pada masa itu terbayang segala pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan pelajar suatu masa dahulu.



Lagu nyanyian Sudirman Hj. Arshad, 'Ayah dan Ibu' pula dimainkan ketika para pelajar diminta mendapatkan ibu dan ayah masing-masing, meminta maaf dan menyerahkan satu 'perjanjian' bertulis berupa ikrar pelajar pada diri sendiri untuk mengubah sikap mereka. Ketika itu anak-anak mula mencari ibu bapa masing-masing.

Arif mencari aku, bersalaman dan mencium tangan aku sebagai tanda hormat dan menyerahkan sekeping kertas. Aku membuka surat tersebut dan membacanya. Ia berupa imbasan kenangan Arif terhadap kasih sayang aku dan Ida sewaktu mendidik Arif sejak kecil lagi. Kemudian Arif berikrar untuk mengubah dirinya menjadi anak yang berjaya.



Arif menangis begitu juga pelajar-pelajar lain bila mendapatkan ibu bapa mereka. Perlahan-lahan aku mengurut-urut kepala dan badan Arif bagi menenangkan emosi Arif ketika itu. Kemudian pelajar-pelajar balik ke kerusi masing-masing. Motivator memaklumkan bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam mendoakan kejayaan anak-anak khususnya ibu di mana doa seorang ibu itu lebih mustajab. Dari itu ibu boleh memainkan peranan dalam mendoakan kejayaan anak-anak khususnya sewaktu menempuh peperiksaan kelak.

Di akhir program Kau Permata Ayah Bonda, pelajar didendangkan lagu Barakallahulakuma dari Maher Zain dan para pelajar turut menyanyikan lagu tersebut beramai-ramai.

Pukul 12.35 tengah hari, majlis penutup dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh pelajar bernama Mohd Ikmal. Kemudian ucapan penutup oleh Naib Pengerusi 1, Program Perkampungan Ilmu dan Kem Motivasi Kecemerlangan PMR 2011 iaitu Encik Alias Mahpol.

Di dalam ucapannya, Encik Alias menyatakan bahawa inilah julung-julung kalinya diadakan satu program yang menyepadukan kecemerlangan akademik dan motivasi. Beliau memberikan penghargaan kepada Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri yang menaja program tersebut melalui konsultan yang dilantik memberikan ceramah motivasi. Menurutnya lagi, hanya kira-kira 74% sahaja ibu bapa yang hadir pada hari itu manakala 26% lagi tidak hadir dengan beranggapn mereka tiada masa atau sememangnya tidak mahu hadir pada program yang dianjurkan itu. Encik Alias meminta setiap ibu bapa membantu pihak sekolah memantau prestasi anak-anak mereka khususnya semasa cuti sekolah nanti.

Menurutnya lagi, semasa program berlangsung, 3 orang pelajar dihantar pulang kerana melanggar peraturan sekolah (kesalahan merokok). Bagi beliau kecemerlangan akademik datangnya dari kecemerlangan sahsiah. Bagi pelajar yang berjaya, mereka ada tempat di universiti. Menurutnya lagi, pihak JPA menyediakan biasiswa kepada pelajar yang mendapat 8A+ manakala yang lain hanya mendapatkan pinjaman melalui PTPTN.

Program berakhir jam 12.40 tengah hari. Aku menghantar Arif dan Ifa yang baru balik dari kelas tambahan ke rumah.

Semoga Program Perkampungan Ilmu dan Kem Motivasi Kecemerlangan PMR 2011 yang telah diadakan dari 27 hingga 30 Mei 2011 akan memberikan kesan jangka panjang yang positif dalam membentuk kecemerlangan diri dan akademik yang lebih baik pada masa depan khususnya untuk masa depan Arif.

Ikrar Tulus Ikhlas dari Arif:

Ahad, Mei 29, 2011

Menonton KaraK: Laluan Puaka

28 Mei 2011, jam 10.15 malam, kami sekeluarga menonton filem KaraK: Laluan Puaka di MBO Melaka Mall. Ini adalah permintaan Ida dan Miza. Dan kami menurutinya sahaja. Tempoh masa tayangan filem ini ialah 1 jam 36 minit.

Filem Karak ini mengisahkan sebuah cerita lagenda dan kisah seram di sepanjang lebuhraya Karak dan merupakan filem seram cubaan pertama terbitan KRU Studio yang diarah oleh Yusry Abdul Halim.

Empat orang pelajar kolej yang sedang dalam perjalanan pulang ke Kuantan setelah menghabiskan masa malam mereka di Kuala Lumpur. Semasa perjalanan pulang, mereka terperangkap di dalam kesesakan jalaraya di sepanjang lebuhraya Karak.

Karak adalah sebuah cerita seram yang sering berlaku di lebuh raya Karak. Kisah seram ini telah wujud sejak dari dahulu lagi. Kisah ini berlaku di mana empat orang pelajar yang bernama Jack, Nik, Ida, dan Zura yang terpaksa melalui jalan lama laluan Karak kerana lebuh raya Karak mengalami kesesakan jalan raya.

Pada mulanya mereka berhenti di pekan Karak kerana Ida berasa lapar dan ingin membeli sesuatu. Dalam masa yang sama, Jack pergi mencari tandas untuk membuang air. Ketika itu, dia terserempak dengan seorang budak lelaki yang berpakaian seragam sekolah yang sedang mencari ibunya. Tetapi, lelaki itu telah hilang begitu sahaja. Selain itu juga, Jack turut diganggu oleh seorang wanita yang ingin meminta pertolongan untuk menghantarnya balik ke rumah. Wanita itu juga sedang mencari anak lelakinya.

Walau bagaimanapun, Jack tetap tidak percaya kepada hantu. Mereka meneruskan perjalanan mereka melalui jalan lama itu. Tiba-tiba muncul sebuah kereta Volkwagon kuning di belakang mereka. Jack menyuruh kereta tersebut memotong mereka. Tiba-tiba kereta itu muncul lagi di belakang mereka. Ketika kereta Volkwagon kuning itu berada di sebelah mereka, didapati kereta tersebut tiada pemandu sebaliknya ada seorang wanita di belakang kereta itu. Akibat terlalu cemas, mereka telah terbabas jatuh ke dalam hutan ketika cuba untuk mengelak seorang budak lelaki berpakaian sekolah di hadapan mereka.

Ketika terbabas, Zura telah terkeluar daripada kereta tersebut sedangkan yang lain masih di dalam kereta. Jadi, Zura telah terpisah dengan mereka. Ketika itu, Zura telah diganggu oleh seorang nenek tua. Disebabkan terlalu takut, Zura telah melarikan diri dan akhirnya terjatuh. Nasibnya baik kerana dia telah ditemui oleh rakan-rakannya yang lain.

Selepas itu, mereka ternampak sebuah rumah di dalam hutan tersebut. Jadi, mereka mengambil keputusan untuk bermalam di sana. Rumah tersebut adalah milik Tok Malam dan Tok Malam telah menjemput mereka untuk bermalam di rumahnya. Tok Malam juga memberitahu mereka bahawa mereka sedang diekori oleh sesuatu. Tok Malam telah menjemput Ida dan Zura untuk tidur di biliknya, sementara Tok Malam akan tidur di ruang tamu bersama Zack dan Nik.

Trailer KaraK: Laluan Puaka


Ketika di dalam bilik itu, Zura telah menjumpai seutas rantai milik isteri Tok Malam. Ketika Ida keluar untuk mandi, Zura telah memakai rantai tersebut. Tiba-tiba, Zura telah diganggu oleh seorang nenek tua. Begitu juga dengan Ida. Sementara itu, Zack dan Nik juga telah diganggu oleh hantu yang menyamar menjadi Zura. Nasib mereka baik kerana Tok Malam sempat menyelamatkan mereka semua dan menghalau hantu tersebut.

Rupa-rupanya hantu tersebut adalah belaan isteri Tok Malam yang telah meninggal dunia. Selepas daripada kejadian itu, mereka mengambil keputusan untuk tidur bersama di dalam bilik Tok Malam. Zura menyuruh Ida untuk berjaga dahulu dan akan bergilir-gilir berjaga.

Ketika Zack, Nik, dan Zura sedang tidur, tiba-tiba abang Ida telah datang dan meminta Ida untuk mengikutinya. Ida pun keluar dari rumah itu seorang diri untuk mengikuti abangnya. Selepas itu, Zack pula terjaga. Dia seperti kerasukan dan terus keluar dari rumah. Ketika Zura terjaga, dia lihat Zack dan Ida telah tiada. Jadi, dia cuba untuk mencari Zack dan Ida. Akhirnya Zura mengambil keputusan untuk membawa Nik bersama dan keluar dari rumah tersebut.

Mereka telah berjumpa dengan Zack. Tetapi Zack telah kerasukan. Jadi, mereka terpaksa melarikan diri meninggalkan Zack. Ketika mereka melarikan diri, Nik telah terjatuh ke dalam lubang kubur dan telah ditarik oleh sesuatu. Sementara itu, Zura telah diganggu oleh nenek tua itu lagi. Untuk menyelamatkan diri, Zura cuba untuk membaca Ayat Kursi tetapi usahanya gagal kerana dia tidak yakin.

Akhirnya, Tok Malam sempat tiba di sana dan telah memberi semangat kepada Zura supaya yakin terhadap Ayat Kursi tersebut. Kali ini Zura telah membaca Ayat Kursi tersebut dengan penuh keyakinan dan akhirnya dia berjaya menghalau semua hantu-hantu tersebut. Dia terus membawa Nik untuk melarikan diri dan telah berjaya sampai ke jalan raya.

Mereka cuba meminta bantuan daripada kereta polis yang kebetulan melalui jalan itu. Rupa-rupanya, pihak polis telah menjumpai kereta mereka yang kemalangan semalam. Alangkah terkejutnya Zura apabila melihat mayat Zack, Ida, dan Nik juga berada di sana. Rupa-rupanya, Zack, Ida, dan Nik telah mati semasa kemalangan semalam. Zura berasa amat sedih kerana kehilangan kawan-kawannya.

Barisan pelakon yang membintangi filem seram ini ialah Shahir AF8, Sheera Aiyob, Along Eyzendy, Kilafairy dan Sidek Hussin. Filem ini mula ditayangkan di pawagam pada 26 Mei 2011.

Di Sebalik Tabir KaraK: Laluan Puaka

Melawat Arif di Asrama


Pukul 5.30 petang, sewaktu dalam perjalanan pulang dari mencari pusat tuisyen Bahasa Cina untuk Ifa, kami singgah di Giant Supermarket untuk membeli sedikit makanan untuk Arif di asrama.

























Ini gambar Alim. Dia memang suka bergambar dan merakamkan gambar.

























Yang ini gambar kakaknya, Miza yang menjadi model untuk sesi 'photoshoot'nya di taman sekolah.


Ifa dengan Ida bosan menunggu kerana kebetulan Arif terlibat dengan ceramah di dewan sekolah. Kami terpaksa menunggu sejam untuk berjumpa Arif.


Sementara menunggu, aku melayan sahaja Miza sebab dia pun dah bosan tunggu program abangnya selesai.


Akhirnya pukul 6.50 petang, barulah dapat berjumpa Arif yang keluar dari dewan selepas program sekolah.


Banyak yang ingin dibualkan tetapi masa terlalu singkat. Arif perlu segera bersiap untuk ke surau.


Ida menyerahkan bungkusan makanan kepada Arif. Semoga kehadiran kami akan dapat memberikan semangat kepada Arif agar terus berusaha untuk PMR tahun ini.

Memenuhi Undangan Perkahwinan


Sabtu, 28 Mei 2011. Cuti sekolah bermula. Hari ini aku ada 4 jemputan majlis perkahwinan. Rumah pertama di Kg. Alai. Yang ini rumah kedua, bekas pelajar praktikal, Firdausiah Hj. Ahamad.


Kami sekeluarga sampai pukul 1.20 petang. Rumahnya di Taman Melayu, Kg. Padang Temu. Selesai mejamu selera, kedengaran bunyi kompang menandakan rombongan pengantin lelaki sudahpun sampai. Pengantin perempuan dibawa keluar.


Firdausiah Hj. Ahamad memilih Hairul Hafizi Hj. Mohammed Ghazali yang berasal dari Pelabuhan Kelang sebagai teman hidupnya.


Kedua mempelai ini bertugas di tempat yang sama iaitu di Perpustakaan UPSI, Perak. Sudah jodoh katakan...


Kedua mempelai dipandu oleh dua kanak-kanak perempuan yang comel-comel belaka.


Yang ini merupakan rumah keempat. Rumah ketiga ialah rumah Encik Ghani Wahab atau Cikgu Ghani, rakan ayahku di Jalan Kiyai Hashim, Kg. Bukit Katil.


Emak pengantin, Norijan Daud merupakan sepupu aku. Suaminya Karim Akup. Ini merupakan majlis perkahwinan pertama diadakan di rumahnya untuk anaknya, Nurshahidah Karim. Mereka tinggal di Kg. Teluk, Bukit Katil.


Aku sampai agak lewat. Jam dah pukul 3.00 petang. Tapi masih ada lagi tetamu yang datang.


Dah makan banyak nasi minyak, matapun dah naik mengantuk...

J Card Members' Day


21 Mei 2011 merupakan J Card Members' Day bagi pelanggan Aeon atau dulunya Jaya Jusco. Kali ini di Jusco Ayer Keroh, Melaka.


Secara kebetulan, Ifa ingin membeli hadiah untuk gurunya dan kami memilih untuk ke sana. Rupanya staf Jusco sibuk memunggah dan membuat persiapan untuk J Card Members' Day, keesokan harinya.


Pasti rambang mata bila melihat harga runtuh, 50%.


Staf Jusco tak menang tangan melayan pelanggan yang berebut-rebut mencari pakaian yang sesuai.


Ruangan pakaian menjadi tumpuan pelanggan pada malam itu.


Sebahagian daripada baju yang dipamerkan.


Tidak kira tua ataupun muda, masing-masing tidak mahu ketinggalan mencari barangan keperluan mereka.


Pilih jangan tidak pilih...


Yang ini harga runtuh 70%. Boleh runtuh iman dibuatnya...


Senarai harga sebelum dan selepas diskaun dipamerkan kepada pelanggan.

Perpindahan Peralatan Ke Kampus Industri

25 Mei 2011. Aku menerima e-mel daripada TKP memaklumkan aku ditugaskan untuk memantau perpindahan peralatan dari Perpustakaan Kampus Induk di Durian Tunggal ke Kampus Industri, Ayer Keroh. Aku terima tugasan tersebut dan bersedia untuk melaksanakannya.

Pukul 11.00 pagi, kerja-kerja perpindahan oleh movers sebuah syarikat yang dilantik oleh pihak Bendahari bermula. Peralatan dan kotak-kotak mengandungi buku-buku diangkut masuk oleh lima hingga tujuh orang movers ke dalam lori kontena. Kerja-kerja mereka dipantau oleh staf dari Pejabat Bendahari dan Pejabat Perpustakaan.

Pukul 1.15 petang, lori kontena berkenaan sampai di Kampus Industri dan kerja memunggah dan mengangkut peralatan bermula pada 1.25 petang.

Kerja memindahkan peralatan dari dua kampus ini berlaku sebanyak dua kali. Kerja-kerja perpindahan ini berakhir pada jam 6.30 petang setelah semakan dan pengesahan dibuat oleh ketiga pihak iaitu syarikat pengangkutan, Pejabat Bendahari dan Pejabat Perpustakaan.

Barangan/perabot yang dipindahkan adalah seperti berikut:

1. Jurnal – 55 kotak
2. Bahan rujukan A-Z – 22 kotak
3. Buku A-S – 23 kotak
4. Buku T-Z – 64 kotak
5. Loker kecil – 14 unit
6. Loker berduit – 4 unit
7. Rak simpanan barang – 5 unit
8. Karel – 12 unit
9. Karel OPAC – 2 unit
10. Kerusi plastik – 12 unit
11. Troli – 5 unit.


Kesemua peralatan dan kotak-kotak diletakkan di kawasan yang telah ditetapkan di dalam pelan. Hanya buku-buku tidak disusun di atas rak disebabkan kerja-kerja pemunggahan berakhir lewat petang.

Pembantu Perpustakaan terlibat ialah;

Kampus Induk : Muhammad Hafeez Zainuddin & Noor Rahman Jamiah Jalil

Kampus Industri : Norhairol Khalid & Suhaizri Kamaruddin

Dengan perpindahan ini, operasi Perpustakaan Kampus Industri akan lebih sempurna demi keselesaan para pelajar UTeM menimba ilmu.














Menyambut Hari Lahir

Tahun ini aku menyambut hari lahir tidak seperti biasa. Pada hari di mana umurku meningkat setahun lagi, aku menerima 'hadiah' paling bermakna dalam hidupku yang tidak pernah aku terima sebelum ini. Hadiah berupa tanggungjawab untuk menguruskan Abah di Hospital Besar Melaka (HBM) belum pernah aku terima sepanjang hidupku.

Malam itu, aku menerima sekeping kad buatan sendiri daripada anak-anakku, Arif, Ifa, Miza dan Alim. Dalam keadaan tergesa-gesa untuk ke HBM, aku mengucapkan terima kasih kepada mereka. Hanya di HBM aku dapat membaca bingkisan yang dititipkan oleh mereka seperti berikut:

























Terima kasih kerana telah membesarkan kami bagai menatang minyak yang penuh. Kami takkan lupakan pengorbanan ayah yang sangat banyak. Selamat Menyambut Hari Kelahiran Ayah yang ke-47.

Terima kasih jua aku ucapkan kepada semua anak-anakku semoga berjaya di dalam kehidupan mereka kelak.

Kadang-kadang sesekali melalui hari-hari secara berbeza pun bagus juga...

Menjaga Abah Di Hospital

Ahad, 22 Mei 2011. Hari ini hari minggu dan pagi ini aku bangun lewat. Setelah mengemaskan diri, aku melihat ada 3 missed call daripada Amir, adik aku. Lebih kurang pukul 10.30 pagi, sewaktu aku bersarapan pagi, Mak Ngah menelefon memaklumkan Abah telah dibawa ke Hospital Besar Melaka (HBM) untuk mendapatkan rawatan kerana penyakit angin pasang-pasang atau hernia.

Pukul 1.00 tengah hari aku ke HBM untuk melawat Abah. Abah ditempatkan di Aras 4, Wad 4, Katil 25. Ketika aku sampai, Abah ditemani oleh Amir, Aziah, Azilah, Zamri dan Saufi.

Abah hanya terbaring menahan kesakitan tanpa diberikan sebarang ubat. Menurut doktor, Abah tidak boleh makan atau minum kerana bila-bila masa boleh ditolak ke bilik pembedahan.

Petang itu aku mengambil inisiatif menjaga Abah sewaktu tamat masa melawat. Umur Abah sudah 74 tahun. Jalannya sudah tidak sekuat sewaktu mudanya dulu. Nampak uzur benar. Aku bimbang jika Abah jatuh dalam bilik air. Jika Abah nak ke ke tandas aku akan papah beliau perlahan-lahan. Lewat petang aku akan mengambil tuala kecil dan merendamkannya dengan air suam sebelum mengelap pada seluruh badan Abah.

Pukul 7.00 malam, aku meminta Zamri menjaga Abah sebentar sementara aku balik membersihkan diri dan memilih beberapa helaian pakaian.

Sewaktu aku sampai, anak-anak bersalaman dengan mengucapkan selamat hari lahir. Setiap tahun aku menyambut ulangtahun kelahiran pada tarikh 22 Mei. Anak-anak ingin meraikan hari istimewa ini dengan makan di luar tetapi aku memaklumkan menjaga atuk mereka pada waktu itu adalah keutamaan aku dan mereka amat memahaminya. Sewaktu aku memandu, aku menerima hadiah lagu selamat hari lahir yang dinyanyikan oleh Arif, Ifa, Miza dan Alim. Arif menghantarnya melalui MMS. Aku membalasnya dengan ucapan semoga mereka juga akan beroleh kejayaan dalam kehidupan masing-masing.

Pada waktu malam aku menemani Abah. Sambil itu aku akan berbual-bual dengan lain-lain pesakit di dalam bilik yang sama. Sebelum Abah tidur aku akan membuatkan segelas air untuknya. Menjaga pesakit di hospital agak mencabar. Tidurpun tidur-tidur ayam dengan lengan menjadi bantal. Bila terjaga, mata memandang pada jarum jam dengan harapan agar cepat pagi.

Hari Isnin, 23 Mei 2011. Sebelah pagi aku membersihkan tubuh Abah dengan tuala basah dan juga mencukur misai dan janggut agar nampak kemas. Pukul 12.00 tengah hari, aku diminta bersiap-siap membawa Abah ke Operation Theater (OT) bagi tujuan pembedahan. Abah ditukarkan baju khas dan diminta menanggalkan cincin dan lain-lain barang yang ada di tubuhnya.

Pukul 12.15 tengah hari, dua orang jururawat bertugas memindahkan Abah ke troli khas untuk dibawa ke OT. Aku mengikuti mereka sambil merakamkan gambar Abah. Pukul 12.30 tengah hari sebelum Abah masuk OT, aku sempat bersalaman dengannya sambil diperhatikan oleh kedua jururawat tersebut.

Aku diterangkan oleh pembantu hospital tentang jenis pembedahan dan risikonya dan mereka meminta aku memahaminya serta menurunkan tandatangan di helaian borang perakuan yang disediakan. Aku memahaminya dan berbuat seperti mana dikehendakinya.

Sambil menunggu, aku tidak putus-putus berdoa agar pembedahan ini berjaya dan Abah sihat seperti sediakala. Walau bagaimanapun sesekali terlintas di fikiran aku, jika apa yang berlaku pada Abah aku harus redha dengan ketentuanNya.

Hampir 4 jam aku menunggu dan akhirnya jam 4.30 petang, Abah selamat menjalani pembedahan dan ditolak ke Wad 4, Katil 25 semula. Aku lihat Abah masih kesakitan, barangkali kesan suntikan bius yang diberikan doktor sudah hampir berakhir. Abah kerap membuang air kecil dan kadangkala Abah cepat hilang sabar dengan keadaan dirinya.

Aku diam dan faham dengan situasi Abah. Aku membantu selagi mana boleh. Aku menjaga Abah sehingga 24 Mei 2011 dan pada malam itu, Saufi mengambil giliran. Ini kerana cuti rehat yang aku pohon sudah berakhir dan aku harus ke tempat kerja keesokan harinya.

Keesokan harinya, 25 Mei 2011, Saufi memaklumkan Abah sudah semakin sihat dan dibenarkan keluar dari HBM. Aku berasa gembira dengan perkhabaran tersebut dan meminta Saufi menguruskan Abah.

Sesungguhnya tiada apa yang lebih istimewa pada ulangtahun kelahiran aku selain dapat berbakti kepada Abah. Semoga Abah cepat sembuh...


Abah dengan baju khas bersedia untuk untuk menjalani pembedahan.


Abah ditolak dengan troli khas ke Operation Theatre.


Abah setelah pulang dari HBM.

Ahad, Mei 22, 2011

Keputusan Pengukuran Pendengar Radio Nielsen, Liputan 1 2011

Suria FM & Red FM Catat Peningkatan Jumlah Pendengar Tertinggi




‘Terima Kasih kerana Kami Tetap No 1 Dihati Anda. Sepanjang Hari Siang dan Malam Tanpa Henti'

Kaji selidik Nielson pertama 2011 menunjukkan radio berjaya meningkatkan jumlah pendengarnya di Semenanjung Malaysia dengan mencatatkan rekod baru iaitu rata-rata pendengar menghabiskan waktu hampir 25 jam setiap minggu dengan mendengar radio.

Suria FM dan Red FM mencatatkan keputusan luar biasa bagi kaji selidik radio Nielson pertama tahun ini. Keputusan membuktikan bahawa kedua-dua stesen berbahasa Melayu dan Inggeris ini berjaya kekal sebagai peningkatan jumlah pendengar tertinggi.

Suria FM menunjukkan pertumbuhan peningkatan tahun ke tahun tertinggi bagi stesen radio Melayu yang mana kenaikan jumlah pendengarnya ialah sebanyak 48% dan 103% bagi pendengar eksklusif.

Kedudukan radio Suria FM dalam pasaran radio berbahasa Melayu diperkuatkan lagi dengan peningkatan yang ditunjukkan setiap hari. Melihatkan kepada persembahan yang ditunjukkan, segment Breakfast@Suria yang dihoskan oleh Halim, Shiera dan Zizi meningkat sebanyak 81%, Suria Drive bersama Linda Onn pula meningkat sebanyak 62% dan segment 50 Minit Muzik Terbaik Tanpa Henti dari jam 8 malam – 11 malam bersama Tyzo meningkat tinggi sebanyak 77%.

Jumlah pendengar di kalangan penduduk sekitar bandar meningkat sebanyak 63% dan 40% peningkatan bagi pendengar dari kategori pekerja kolar putih. Kajian kali ini juga menunjukkan pendengar yang berpendapatan diantara RM2000 hingga RM5000 semakin bertambah sehingga 36%.

Red FM menunjukkan peningkatan jumlah pendengar yang puratanya sebanyak 60% dari tahun ke tahun.’Red FM’s Breakfast Show’ merekodkan peningkatan luar biasa iaitu sebanyak 104% manakala ‘Drive Show’ meningkat sebanyak 94% dan ‘Red FM’s Evening Show‘ pula meningkat sebanyak 55%.

Stesen ini memperolehi peningkatan terbesar sebanyak 105% tahun ke tahun bagi peningkatan pendengar berbangsa melayu manakala pendengar di kawasan bandar, kalangan eksekutif dan pendengar di kalangan pelajar masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 102%, 13% dan 65%. Red FM mencatatkan peningkatan pendengar yang pendapatan isu rumahnya di antara RM2001 hingga RM5000 dengan peratusan sebanyak 108%. Sekali lagi, Red FM menggondoli peratusan peningkatan tertinggi sebanyak 51% bagi kategori pendengar eksklusif sekaligus meningkatkan jumlah pendengar setia Red FM.

Menurut En.Azrullah Mohd Nor, Ketua Pegawai Operasi Red FM dan Suria FM, “Keputusan ini membuktikan bahawa radio masih lagi merupakan saluran media yang popular dan diperlukan bagi mendapatkan hiburan atau isi kandungannya.

Hasil kajian yang menunjukkan peningkatan ini juga menunjukkan perubahan di bahagian barisan penyampai yang dilakukan sepanjang enam bulan yang lalu boleh diterima di kalangan pendengar.

Ianya merupakan satu jangka masa yang mencabar dan saya yakin yang kita berada pada landasan yang betul dengan penambahan jumlah pendengar yang ada. Kami komited bekerjasama dengan rakan pelanggan kami dalam menawarkan kempen pengiklanan yang menyeluruh melalui platform yang membawa semua pihak lebih maju disamping memberikan pendengar rancangan yang berkualiti dengan siaran yang dikeudarakan beserta laman sesawang dan juga aktiviti luaran “

Azrullah menambah lagi dengan berkata, “Kami ingin memanjangkan ucapan terima kasih kepada pendengar dan rakan perniagaan lain melalui sokongan yang tidak berbelah bagi. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan seperjuangan yang telah banyak bekerja keras dan menghasilkan keputusan yang terbaik. Radio merupakan industri hiburan dan penyiaran yang sangat menarik untuk pendengar menyertai apa sahaja kempen dan juga aktiviti yang akan diadakan di masa-masa akan datang“.

Tahniah juga bagi SinarFM kerana kekal nombor satu di Malaysia secara keseluruhan dan juga pengikut rancangan pagi paling ramai. EraFM juga turut kekal di tangga kedua, diikuti HotFM.

Semoga stesen radio terus dapat mengekalkan prestasi yang baik dan menghiburkan pendengar setia mereka.