Selasa, Mei 31, 2011

Kau Permata Ayah Bonda

Isnin, 30 Mei 2011. Pukul 11.00 pagi aku bergerak daripada pejabat ke SMK Agama Sultan Muhammad, Batu Berendam. Aku diminta oleh Arif hadir ke Majlis Penutup Program Perkampungan Ilmu dan Kem Motivasi Kecemerlangan PMR 2011. Salah satu slot di dalam program yang memerlukan kehadiran ibu bapa ialah Kau Permata Ayah Bonda.

Sewaktu aku sampai, Arif menyambut aku dengan menghulur tangan bersalaman. Kemudian aku ke meja pendaftaran dan terus ke dewan untuk menyertai program tersebut.

Kau Permata Ayah Bonda merupakan slot motivasi di mana motivator yang mengendalikan program ini, Dr. Mohd Azmi dari Astac Training and Consultancy berinteraksi dengan para pelajar dan ibu bapa. Dr. Mohd Azmi memberikan gambaran sebuah keluarga yang bahagia melalui video yang ditayangkan.



Pelajar ditanyakan hala tuju kehidupan mereka dan peranan serta tanggungjawab yang perlu digalas dalam menuju kecemerlangan. Mereka disedarkan dengan segala pahit getir ibu bapa dalam membesarkan dan memberikan pendidikan sempurna. Para pelajar boleh menggembirakan hati kedua ibu bapa mereka mencapai kejayaan dalam peperiksaan PMR yang bakal menjelang.



Dengan memainkan lagu instrumental Kitaro, perlahan-lahan motivator membawa pelajar mendalami satu senario di mana pelajar diminta pulang setelah dimaklumkan bahawa kedua ibu bapa mereka kemalangan. Dan setelah pulang, pelajar melihat ramai orang di rumahnya dan melihat kedua ibu bapanya terbujur kaku. Pada waktu itu pelajar sedar bahawa mereka sudah tidak lagi mendapat kasih sayang seperti sebelumnya. Pada masa itu terbayang segala pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan pelajar suatu masa dahulu.



Lagu nyanyian Sudirman Hj. Arshad, 'Ayah dan Ibu' pula dimainkan ketika para pelajar diminta mendapatkan ibu dan ayah masing-masing, meminta maaf dan menyerahkan satu 'perjanjian' bertulis berupa ikrar pelajar pada diri sendiri untuk mengubah sikap mereka. Ketika itu anak-anak mula mencari ibu bapa masing-masing.

Arif mencari aku, bersalaman dan mencium tangan aku sebagai tanda hormat dan menyerahkan sekeping kertas. Aku membuka surat tersebut dan membacanya. Ia berupa imbasan kenangan Arif terhadap kasih sayang aku dan Ida sewaktu mendidik Arif sejak kecil lagi. Kemudian Arif berikrar untuk mengubah dirinya menjadi anak yang berjaya.



Arif menangis begitu juga pelajar-pelajar lain bila mendapatkan ibu bapa mereka. Perlahan-lahan aku mengurut-urut kepala dan badan Arif bagi menenangkan emosi Arif ketika itu. Kemudian pelajar-pelajar balik ke kerusi masing-masing. Motivator memaklumkan bahawa peranan ibu bapa sangat penting dalam mendoakan kejayaan anak-anak khususnya ibu di mana doa seorang ibu itu lebih mustajab. Dari itu ibu boleh memainkan peranan dalam mendoakan kejayaan anak-anak khususnya sewaktu menempuh peperiksaan kelak.

Di akhir program Kau Permata Ayah Bonda, pelajar didendangkan lagu Barakallahulakuma dari Maher Zain dan para pelajar turut menyanyikan lagu tersebut beramai-ramai.

Pukul 12.35 tengah hari, majlis penutup dimulakan dengan bacaan Al-Quran oleh pelajar bernama Mohd Ikmal. Kemudian ucapan penutup oleh Naib Pengerusi 1, Program Perkampungan Ilmu dan Kem Motivasi Kecemerlangan PMR 2011 iaitu Encik Alias Mahpol.

Di dalam ucapannya, Encik Alias menyatakan bahawa inilah julung-julung kalinya diadakan satu program yang menyepadukan kecemerlangan akademik dan motivasi. Beliau memberikan penghargaan kepada Bahagian Pembangunan Rumahku Syurgaku, Jabatan Ketua Menteri yang menaja program tersebut melalui konsultan yang dilantik memberikan ceramah motivasi. Menurutnya lagi, hanya kira-kira 74% sahaja ibu bapa yang hadir pada hari itu manakala 26% lagi tidak hadir dengan beranggapn mereka tiada masa atau sememangnya tidak mahu hadir pada program yang dianjurkan itu. Encik Alias meminta setiap ibu bapa membantu pihak sekolah memantau prestasi anak-anak mereka khususnya semasa cuti sekolah nanti.

Menurutnya lagi, semasa program berlangsung, 3 orang pelajar dihantar pulang kerana melanggar peraturan sekolah (kesalahan merokok). Bagi beliau kecemerlangan akademik datangnya dari kecemerlangan sahsiah. Bagi pelajar yang berjaya, mereka ada tempat di universiti. Menurutnya lagi, pihak JPA menyediakan biasiswa kepada pelajar yang mendapat 8A+ manakala yang lain hanya mendapatkan pinjaman melalui PTPTN.

Program berakhir jam 12.40 tengah hari. Aku menghantar Arif dan Ifa yang baru balik dari kelas tambahan ke rumah.

Semoga Program Perkampungan Ilmu dan Kem Motivasi Kecemerlangan PMR 2011 yang telah diadakan dari 27 hingga 30 Mei 2011 akan memberikan kesan jangka panjang yang positif dalam membentuk kecemerlangan diri dan akademik yang lebih baik pada masa depan khususnya untuk masa depan Arif.

Ikrar Tulus Ikhlas dari Arif:

2 ulasan:

  1. otomen kecik putra heightJumaat, Jun 03, 2011

    sedih lak baca surat arip tuh...semoga dia dpt good result nanti..

    BalasPadam
  2. Mudah-mudahan berkat doa semua...

    BalasPadam