Ahad, Mei 08, 2011

Perjalanan Untuk Percutian Keluarga

Sabtu, 30 April 2011. Seperti dijanjikan hari ini kami sekeluarga akan ke Sungkai, Perak untuk percutian keluarga di Felda Residence Hot Springs, Sungai Klah. Pagi-pagi lagi, Ida dan Mak Munah menyediakan bekalan makanan dan peralatan memasak untuk tempoh tiga hari di sana. Janjinya dari Melaka dua buah kenderaan, kereta aku dan Akup akan bertolak jam 8.00 pagi.

Pagi ni macam-macam pulak berlaku. Sinki tersumbat. Nak tak nak, aku terpaksa membaiki sinki dahulu. Kemudian ada jemputan kenduri ringkas sambutan hari lahir anak ke-2 Radhi di sebelah rumah. Begitu-begini, akhirnya, jam 10.00 pagi barulah dua kenderaan ini bergerak setelah semua bekalan dimuatkan ke dalam kereta.



Memandangkan tiada apa yang nak dikejarkan dan check-in pada pukul 3.00 petang, aku memandu secara santai. Sambil memandu, sambil mendengar lagu dari radio. Anak-anak di belakang membaca buku dan bermain PSP. Ada juga yang tidur. Ida menghubungi Farok yang tinggal di Putra Height, USJ untuk sama-sama berkonvoi dan katanya semua berkumpul di Restoran Jejantas Sungai Buluh.



Pukul 12.00 tengah hari, kami sudahpun berada di Restoran Jejantas Sungai Buluh untuk menunggu keluarga Farok. Ida, Alim dan Miza singgah di Dunkin Donut. Tak sempat kereta bergerak, donut yang dibeli selesai dikerjakan oleh kami sekeluarga.



Setelah setengah jam berehat, aku singgah di stesen minyak berhampiran untuk mengisi minyak. Kemudian perjalanan diteruskan. Sepanjang perjalanan, beberapa kali kereta terpaksa diperlahankan kerana berlaku kesesakan kecil akibat kemalangan jalan raya.



Pukul 2.05 petang, kereta yang kami naiki membelok ke susur keluar Plaza Tol Sungkai. Sebaik melepasi plaza tol, kenderaan kami belok ke kiri arah ke Sungai Klah. Lebih kurang 2 km di hadapan pula, kenderaan dipandu membelok ke kiri memasuki jalan ke Felda Residence Sungai Klah.



Jalan tar sepanjang 10 km tu, di kiri dan kanannya ladang kelapa sawit. Tidak banyak berubah berbanding kunjungan kami sekeluarga ke destinasi ini setahun yang lalu.



Setelah check-in, kami diberikan kunci villa dan pas masuk kenderaan agar memudahkan pengawal keselamatan mengenalpasti tetamu yang menginap di villa berkenaan. Kami sampai di Villa No. 7 pada jam 3.05 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan