Ahad, 22 Mei 2011. Hari ini hari minggu dan pagi ini aku bangun lewat. Setelah mengemaskan diri, aku melihat ada 3 missed call daripada Amir, adik aku. Lebih kurang pukul 10.30 pagi, sewaktu aku bersarapan pagi, Mak Ngah menelefon memaklumkan Abah telah dibawa ke Hospital Besar Melaka (HBM) untuk mendapatkan rawatan kerana penyakit angin pasang-pasang atau hernia.
Pukul 1.00 tengah hari aku ke HBM untuk melawat Abah. Abah ditempatkan di Aras 4, Wad 4, Katil 25. Ketika aku sampai, Abah ditemani oleh Amir, Aziah, Azilah, Zamri dan Saufi.
Abah hanya terbaring menahan kesakitan tanpa diberikan sebarang ubat. Menurut doktor, Abah tidak boleh makan atau minum kerana bila-bila masa boleh ditolak ke bilik pembedahan.
Petang itu aku mengambil inisiatif menjaga Abah sewaktu tamat masa melawat. Umur Abah sudah 74 tahun. Jalannya sudah tidak sekuat sewaktu mudanya dulu. Nampak uzur benar. Aku bimbang jika Abah jatuh dalam bilik air. Jika Abah nak ke ke tandas aku akan papah beliau perlahan-lahan. Lewat petang aku akan mengambil tuala kecil dan merendamkannya dengan air suam sebelum mengelap pada seluruh badan Abah.
Pukul 7.00 malam, aku meminta Zamri menjaga Abah sebentar sementara aku balik membersihkan diri dan memilih beberapa helaian pakaian.
Sewaktu aku sampai, anak-anak bersalaman dengan mengucapkan selamat hari lahir. Setiap tahun aku menyambut ulangtahun kelahiran pada tarikh 22 Mei. Anak-anak ingin meraikan hari istimewa ini dengan makan di luar tetapi aku memaklumkan menjaga atuk mereka pada waktu itu adalah keutamaan aku dan mereka amat memahaminya. Sewaktu aku memandu, aku menerima hadiah lagu selamat hari lahir yang dinyanyikan oleh Arif, Ifa, Miza dan Alim. Arif menghantarnya melalui MMS. Aku membalasnya dengan ucapan semoga mereka juga akan beroleh kejayaan dalam kehidupan masing-masing.
Pada waktu malam aku menemani Abah. Sambil itu aku akan berbual-bual dengan lain-lain pesakit di dalam bilik yang sama. Sebelum Abah tidur aku akan membuatkan segelas air untuknya. Menjaga pesakit di hospital agak mencabar. Tidurpun tidur-tidur ayam dengan lengan menjadi bantal. Bila terjaga, mata memandang pada jarum jam dengan harapan agar cepat pagi.
Hari Isnin, 23 Mei 2011. Sebelah pagi aku membersihkan tubuh Abah dengan tuala basah dan juga mencukur misai dan janggut agar nampak kemas. Pukul 12.00 tengah hari, aku diminta bersiap-siap membawa Abah ke Operation Theater (OT) bagi tujuan pembedahan. Abah ditukarkan baju khas dan diminta menanggalkan cincin dan lain-lain barang yang ada di tubuhnya.
Pukul 12.15 tengah hari, dua orang jururawat bertugas memindahkan Abah ke troli khas untuk dibawa ke OT. Aku mengikuti mereka sambil merakamkan gambar Abah. Pukul 12.30 tengah hari sebelum Abah masuk OT, aku sempat bersalaman dengannya sambil diperhatikan oleh kedua jururawat tersebut.
Aku diterangkan oleh pembantu hospital tentang jenis pembedahan dan risikonya dan mereka meminta aku memahaminya serta menurunkan tandatangan di helaian borang perakuan yang disediakan. Aku memahaminya dan berbuat seperti mana dikehendakinya.
Sambil menunggu, aku tidak putus-putus berdoa agar pembedahan ini berjaya dan Abah sihat seperti sediakala. Walau bagaimanapun sesekali terlintas di fikiran aku, jika apa yang berlaku pada Abah aku harus redha dengan ketentuanNya.
Hampir 4 jam aku menunggu dan akhirnya jam 4.30 petang, Abah selamat menjalani pembedahan dan ditolak ke Wad 4, Katil 25 semula. Aku lihat Abah masih kesakitan, barangkali kesan suntikan bius yang diberikan doktor sudah hampir berakhir. Abah kerap membuang air kecil dan kadangkala Abah cepat hilang sabar dengan keadaan dirinya.
Aku diam dan faham dengan situasi Abah. Aku membantu selagi mana boleh. Aku menjaga Abah sehingga 24 Mei 2011 dan pada malam itu, Saufi mengambil giliran. Ini kerana cuti rehat yang aku pohon sudah berakhir dan aku harus ke tempat kerja keesokan harinya.
Keesokan harinya, 25 Mei 2011, Saufi memaklumkan Abah sudah semakin sihat dan dibenarkan keluar dari HBM. Aku berasa gembira dengan perkhabaran tersebut dan meminta Saufi menguruskan Abah.
Sesungguhnya tiada apa yang lebih istimewa pada ulangtahun kelahiran aku selain dapat berbakti kepada Abah. Semoga Abah cepat sembuh...
Abah dengan baju khas bersedia untuk untuk menjalani pembedahan.
Abah ditolak dengan troli khas ke Operation Theatre.
Abah setelah pulang dari HBM.
Love u forever ! ♥
-
Ni Ain, cerita pasal awak. Awak dah tulis pasal kite kan ? Thanxx yepp !
Kelakar la cerita awak. Nah ! Kite balas balik. 3 perenggan je. Kite takkan
tulis...
12 tahun yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan