Ahad, Mei 08, 2011

Hari Terakhir di Felda Residence Hot Springs

Isnin, 2 Mei 2011. Hari ini merupakan hari terakhir percutian kami di Felda Residence Hot Springs. Pukul 8.45 pagi, kami dua keluarga bersarapan pagi di Cemara Lounge yang terletak hanya beberapa meter dari villa. Kami hanya berjalan kaki sahaja ke sana.

Setelah menikmati sarapan pagi, kami berpecah. Ada yang ingin mandi-manda di kolam air gunung dan air panas dan ada juga yang ingin membuat aktiviti yang lebih mencabar seperti menaiki motor di ATV X-Treme Park.

ATV X-Treme Park terletak bersebelahan jalan masuk ke kawasan kolam air gunung dan hanya beberapa meter dari tempat letak kereta pengunjung. Ia adalah satu kawasan yang lapang yang dibina jalan untuk laluan motosikal 4 roda. Kadar bayaran bagi satu pusingan ialah RM10.00. Ia sesuai untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Arif, Aiman, Eimran, Syafiq dan Rayyan menaiki kenderaan tersebut dua kali setiap seorang melainkan Rayyan. Memandangkan usia dan saiz badan Rayyan yang kecil, beliau dibantu oleh petugas yang menaiki motosikal bersamanya.

Pukul 11.00 pagi, kami ke kolam air gunung semula. Ini adalah mandian terakhir sebelum kami check-out dari villa. Secara kebetulan berjumpa adik aku, Azilah dan suaminya Nizam bersama tiga orang anaknya yang merancang bercuti sehari bersama dua lagi rakan mereka. Masing-masing datang bersama keluarga mereka.

Pukul 12.00 tengah hari, hujan agak lebat. Kami semua balik semula ke villa dan bersiap-siap untuk check-out tengah hari itu. Semua peralatan memasak dan baki bekalan makanan dimasukkan ke dalam kereta.

Pukul 2.00 petang , kami ke lobi hotel untuk memulangkan kunci dan terus bergerak balik ke Melaka. Sebaik keluar dari tol, berlaku kesesakan kenderaan di lebuhraya sejauh 20 km. Mahu tidak mahu, kena bersabar sahaja.

Kami singgah di rumah Farok di Putra Height petang itu dan selepas Isyak, kami bergerak balik ke Melaka. Sesungguhnya percutian ini amat menyeronokkan dan ada yang memasang impian untuk datang semula ke resort ini.
























Tiada ulasan:

Catat Ulasan