Rabu, Julai 27, 2011

Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan

Unit Latihan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar telah menganjurkan Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan pada 25 Julai 2011 di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan UTeM. Bengkel ini dihadiri kira-kira 50 orang staf perpustakaan dari pelbagai unit yang bertujuan untuk meningkatkan strategi mempromosi penggunaan perpustakaan di kalangan pengguna.

Bengkel disampaikan oleh Encik Mohd Fathrulrizam Said.

Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan dikendalikan oleh Encik Mohd Fathrulrizam Said, Pustakawan Kanan dari Perpustakaan Jabatan Perdana Menteri (JPM). Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dari Fakulti Pengajian Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, mengambil pengkhususan dalam bidang Pengurusan Pusat Sumber Maklumat dan pernah bertugas di salah sebuah kolej swasta di Kedah, Perpustakaan Negara Malaysia dan Kementerian Penerangan Malaysia sebelum ke JPM.

Bengkel bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucapan pengenalan dari Cik Norlian Mohd Najib, selaku urusetia kursus. Kemudian sebagai pengenalan, Encik Mohd Fathrulrizam Said menyampaikan ceramah bertajuk 'Kaitan Membaca dan Fungsi Perpustakaan'. Selepas minum pagi, ceramah kedua bertajuk 'Strategi Menarik Minat Staf dan Pelajar Ke Perpustakaan' disampaikan oleh beliau. Pada sesi ini, staf dibahagikan kepada lima kumpulan dan masing-masing duduk di dalam kumpulan.

Pada sebelah petang, Encik Mohd Fathrulrizam Said menyampaikan ceramah bertajuk, 'Strategi Mempromosi Perkhidmatan Dan Kemudahan Perpustakaan'. Pada sesi ini para peserta bersama ahli kumpulan masing-masing berbincang untuk menyediakan pelan pemasaran perkhidmatan perpustakaan berdasarkan tajuk-tajuk yang disediakan.

Setiap kumpulan harus membincangkan audit pemasaran, SWOT dan environmental analysis, kajiselidik pemasaran, strategi pemasaran, pelan tindakan dan kaedah pengimplementasian. Empat perkara yang perlu dilihat ialah dari segi product, price, place dan promotion.

Tajuk-tajuk bagi kumpulan adalah seperti berikut:

Kumpulan 1 - Meningkatkan Penggunaan Kelas Pendidikan Pengguna.
Kumpulan 2 - Mempromosi Keahlian Luar.
Kumpulan 3 - Menggalakkan Pengguna Ke Perpustakaan.
Kumpulan 4 - Menggalakkan Penggunaan Pangkalan Data
Kumpulan 5 - Pemasaran Kemudahan Perpustakaan.

Di akhir sesi, semua kumpulan membentangkan dapatan daripada perbincangan kumpulan kepada semua peserta.

Bengkel Mesra Ilmu, Mesra Perpustakaan tamat pada jam 5.00 petang setelah sesi pembentangan setiap kumpulan selesai. Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Ketua Pustakawan Perpustakaan UTeM menyampaikan cenderahati kepada Encik Mohd Fathrulrizam Said di penghujung sesi.

Semoga dengan adanya bengkel tersebut, diharapkan staf dapat menggunakan segala ilmu yang diterima dan hasil perbincangan kumpulan untuk mempromosikan perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna agar lebih ramai pengguna mengunjungi perpustakaan.

Ahad, Julai 24, 2011

Miza Masuk Pertandingan Bacaan Doa Harian

Hari ini sewaktu balik dari berkursus, Miza menunjukkan cenderamata yang diterimanya.

Jam 2.00 petang, 23 Julai 2011, Miza yang dipilih bersama beberapa orang pelajar lain hadir ke SRA JAIM Solok Musai, Bukit Baru untuk mewakili SRA JAIM Jalan Datuk Palembang dalam pertandingan bacaan doa harian di Karnival Kokurikulum Ilmiah Tahap 1 2011 SRA JAIM.



Karnival Kokurikulum Ilmiah Tahap 1 2011 SRA JAIM Peringkat Zon Melaka Tengah diadakan adalah bertujuan bagi menanam dan meningkatkan semangat bekerjasama di kalangan pelajar-pelajar. Selain itu, ia juga bertujuan bagi melahirkan pelajar yang berbakat dalam bidang ilmiah sepeti Tilawah Al-Quran, Hafazan, Doa dan lain-lain.

Majlis ini juga dapat meluaskan minda pelajar melalui pertandingan yang sihat di samping dapat memupuk semangat persahabatan dan silaturaim di antara pelajar.

Di antara acara yang dipertandingkan ialah Tilawah Al-Quran, Bercerita Kisah Nabi, Hafazan, Azan, Iqamah, Doa Harian dan Amali.
























Dalam acara doa harian, Miza sekadar mendapat saguhati di kalangan 22 orang pelajar perempuan dan lelaki yang mengambil bahagian.

Pada aku soal menang atau kalah tidak timbul. Sebaliknya aku berbangga dengan pemilihannya kerana ini akan mendorong Miza untuk maju pada masa hadapan.

Semoga terus berjaya...

Sabtu, Julai 23, 2011

Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008

Pada 23 Julai 2011, Unit Pentadbiran dan Latihan, Perpustakaan UTeM telah mengadakan Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008. Kursus ini dijalankan di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan UTeM dan dihadiri seramai 27 orang staf yang terdiri daripada pustakawan dan pembantu perpustakaan dari pelbagai unit di perpustakaan.


Kursus disampaikan oleh konsultan TOMC, Puan Haryati Omar.

Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008 disampaikan oleh Puan Haryati Omar, konsultan dari Total Organization Management Consulting (M) Sdn. Bhd. Beliau mempunyai banyak pengalaman bertugas dalam sektor industri elektronik, pembuatan dan perkhidmatan dan pernah bertugas di Asahi Electronics Johor, Sony EMCS Selangor, Dell Asia Penang, ST Microelectronics Johor, Modus Media International Penang dan IP Softcom Penang Malaysia.

Graduan dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini pernah menjawat jawatan juruteknik, pengawal dokumen dan jurutera kanan dan turut terlibat dalam pelbagai tugasan berkaitan seperti penyediaan dan semakan semula dokumen ISO, laporan dan juga penyediaan latihan kepada staf.



Di antara objektif kursus ini ialah bagi memberi peluang kepada staf memahami tujuan dan kepentingan kawalan dokumen serta mengenalpasti langkah-langkah kawalan dokumen termasuk dokumen luaran. Selain daripada itu, staf juga berpeluang mengetahui dan memahami prosedur-prosedur yang terlibat dalam mengawal dokumen. Ini selaras dengan perancangan dan matlamat Perpustakaan UTeM untuk memperolehi persijilan ISO 9001:2008 pada tahun ini.

Kursus bermula pada jam 9.15 pagi dengan ucapan pengenalan daripada Cik Norlian Mohd Najib, selaku urusetia kursus. Kemudian diadakan sesi pengenalan diri ringkas bagi setiap staf dan akhirnya Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008 ini bermula.

Kandungan kursus ini meliputi pengenalan dan tujuan dokumentasi, fleksibiliti dokumentasi mengikut keperluan sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2008, hirarki dan kaedah rekabentuk dokumentasi serta kelulusannya, teknik pernomboran sistem dokumentasi, kawalan dokumen serta pengagihannya juga mengenalpasti peringkat semakan dan pindaan dokumen serta kelulusannya semula.

3 modul disediakan meliputi pengenalan dan tujuan dokumentasi, struktur dokumentasi dan kawalan, pindaan dan penyelenggaraan dokumen.



Selain mendengar taklimat daripada konsultan, staf yang juga peserta kursus diminta menjawab soalan berbentuk objektif bertujuan meningkatkan kefahaman mereka terhadap kursus yang dijalankan.

Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008 memang sesuai dengan keperluan perpustakaan pada masa ini. Selain dijalankan oleh konsultan berpengalaman, sesi ini adakan secara tidak formal dan ini tidak memberikan tekanan kepada peserta yang terpaksa hadir berkursus pada hari cuti hujung minggu.

Kursus tamat pada jam 5.00 petang setelah semua kandungan kursus disentuh. Di akhir sesi Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Ketua Pustakawan Perpustakaan UTeM menyampaikan cenderahati kepada Puan Haryati Omar.

Foto: Kredit kepada En. Harul Rizam