Sabtu, Julai 23, 2011

Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008

Pada 23 Julai 2011, Unit Pentadbiran dan Latihan, Perpustakaan UTeM telah mengadakan Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008. Kursus ini dijalankan di Bilik Tayangan, Aras 2, Perpustakaan UTeM dan dihadiri seramai 27 orang staf yang terdiri daripada pustakawan dan pembantu perpustakaan dari pelbagai unit di perpustakaan.


Kursus disampaikan oleh konsultan TOMC, Puan Haryati Omar.

Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008 disampaikan oleh Puan Haryati Omar, konsultan dari Total Organization Management Consulting (M) Sdn. Bhd. Beliau mempunyai banyak pengalaman bertugas dalam sektor industri elektronik, pembuatan dan perkhidmatan dan pernah bertugas di Asahi Electronics Johor, Sony EMCS Selangor, Dell Asia Penang, ST Microelectronics Johor, Modus Media International Penang dan IP Softcom Penang Malaysia.

Graduan dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini pernah menjawat jawatan juruteknik, pengawal dokumen dan jurutera kanan dan turut terlibat dalam pelbagai tugasan berkaitan seperti penyediaan dan semakan semula dokumen ISO, laporan dan juga penyediaan latihan kepada staf.



Di antara objektif kursus ini ialah bagi memberi peluang kepada staf memahami tujuan dan kepentingan kawalan dokumen serta mengenalpasti langkah-langkah kawalan dokumen termasuk dokumen luaran. Selain daripada itu, staf juga berpeluang mengetahui dan memahami prosedur-prosedur yang terlibat dalam mengawal dokumen. Ini selaras dengan perancangan dan matlamat Perpustakaan UTeM untuk memperolehi persijilan ISO 9001:2008 pada tahun ini.

Kursus bermula pada jam 9.15 pagi dengan ucapan pengenalan daripada Cik Norlian Mohd Najib, selaku urusetia kursus. Kemudian diadakan sesi pengenalan diri ringkas bagi setiap staf dan akhirnya Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008 ini bermula.

Kandungan kursus ini meliputi pengenalan dan tujuan dokumentasi, fleksibiliti dokumentasi mengikut keperluan sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001:2008, hirarki dan kaedah rekabentuk dokumentasi serta kelulusannya, teknik pernomboran sistem dokumentasi, kawalan dokumen serta pengagihannya juga mengenalpasti peringkat semakan dan pindaan dokumen serta kelulusannya semula.

3 modul disediakan meliputi pengenalan dan tujuan dokumentasi, struktur dokumentasi dan kawalan, pindaan dan penyelenggaraan dokumen.



Selain mendengar taklimat daripada konsultan, staf yang juga peserta kursus diminta menjawab soalan berbentuk objektif bertujuan meningkatkan kefahaman mereka terhadap kursus yang dijalankan.

Kursus Kawalan Dokumen ISO 9001:2008 memang sesuai dengan keperluan perpustakaan pada masa ini. Selain dijalankan oleh konsultan berpengalaman, sesi ini adakan secara tidak formal dan ini tidak memberikan tekanan kepada peserta yang terpaksa hadir berkursus pada hari cuti hujung minggu.

Kursus tamat pada jam 5.00 petang setelah semua kandungan kursus disentuh. Di akhir sesi Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin, Ketua Pustakawan Perpustakaan UTeM menyampaikan cenderahati kepada Puan Haryati Omar.

Foto: Kredit kepada En. Harul Rizam



















Tiada ulasan:

Catat Ulasan