Jumaat, Julai 15, 2011

Hari Terakhir Pelajar Praktikal Di Perpustakaan UTeM

Jumaat, 15 Julai 2011 merupakan hari terakhir pelajar Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), UTeM seramai 9 orang menjalani latihan amali di Perpustakaan UTeM.



Pelajar-pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam ialah Norhamizah Hashim, Nur Ili Mahmod, Nur Hiddhayu Muhamad, Aziana Adzab, Fathen Fareena Daut, Mohamad Fahiezan Md Zan dan Mohd Fariz Samsuddin manakala dari FTMK, UTeM ialah Amirul Faiz Abd. Latif dan Louis Kueh Fung Yen.

Sepanjang tempoh dua bulan dari 15 Mei hingga 15 Julai 2011, para pelajar ditempatkan di Unit Perolehan Buku, Unit Perolehan Hadiah dan Pertukaran, Unit Perolehan Jurnal, Unit Pengindeksan, Unit Sirkulasi, Unit Media, Unit Rujukan, Unit Automasi dan Unit Pentadbiran dan Latihan. Jangkamasa penempatan di unit-unit ialah di antara 1 hingga 19 hari bergantung susunan yang ditentukan oleh Unit Pentadbiran dan Latihan.

Bagi Amirul Faiz Abd. Latif dan Louis Kueh Fung Yen, mereka terlibat untuk membantu membangunkan projek Institutional Repository (IR) UTeM dan penempatan mereka ialah di Unit Automasi.

Sepanjang tempoh latihan, tujuh orang pelajar FPM, UiTM Shah Alam ini mempelajari teknik-teknik kerja dari unit ke unit di perpustakaan. Ini bagi membolehkan mereka mendapat pengalaman yang berguna semasa memasuki alam pekerjaan kelak.

Para pelajar juga diminta menyediakan projek-projek kecil yang ditentukan oleh perpustakaan bermula dari 1 hingga 20 Jun 2011. Di antara projek tersebut ialah penyediaan slaid interaktif profil perpustakaan yang dibangunkan oleh Nur Ili Mahmod dan Fathen Fareena Daut manakala projek penyediaan bibliografi bagi bahan media mengikut fakulti disusun oleh Norhamizah Hashim dan Nur Hiddhayu Muhamad.

Dua pelajar lelaki iaitu Mohamad Fahiezan Md Zan dan Mohd Fariz Samsuddin terlibat dengan projek penyediaan bibliografi bagi bahan koleksi PSM manakala Aziana Adzab pula menyiapkan projek paparan jurnal di portal mengikut fakulti. Projek ini dipantau oleh pustakawan dari Unit Rujukan, Unit Perolehan Jurnal, Unit Automasi dan Unit Sirkulasi.



Pada 1 Julai 2011, satu sesi pembentangan projek untuk para pelajar bagi mengukur sejauh mana idea dan pandangan mereka boleh digunakan untuk penambahbaikan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan perpustakaan telah diadakan di Bilik Tayangan 1, Perpustakaan UTeM. Sesi ini dihadiri oleh semua pustakawan dari semua unit di Perpustakaan UTeM.

Bagi menghargai dan meraikan kesemua pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam dan FTMK, UTeM yang menamatkan latihan amali di Perpustakaan UTeM, satu majlis ringkas telah diadakan di Ruang Legar Unit Perolehan pada jam 12.00 tengah hari dihadiri oleh beberapa orang pustakawan.

Ketua Pustakawan, Puan Hajah Faridah Hj. Md. Amin mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih di atas sumbangan yang telah diberikan oleh para pelajar kepada perpustakaan.

Wakil pelajar dari Fakulti Pengajian Maklumat, UiTM Shah Alam, Nur Ili Mahmod pula dalam ucapan balas memberi penghargaan kepada semua staf di perpustakaan khususnya para pustakawan yang telah banyak membantu memberikan pengalaman semasa latihan amali sehingga menimbulkan minat mereka bertugas dalam unit-unit tertentu seperti Unit Pengindeksan.

Pelajar FTMK, Amirul Faiz Abd. Latif dan Louis Kueh Fung Yen turut mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih di atas bantuan dan tunjuk ajar yang diberikan oleh perpustakaan khususnya Unit Automasi sehingga penghujung tempoh latihan.

Puan Hajah Faridah turut menyampaikan cenderahati kepada kesemua pelajar latihan amali dan sebagai balasan, para pelajar FKP, UiTM Shah Alam juga menghadiahkan cenderamata kepada pihak perpustakaan.

Sebelum majlis ringkas ini berakhir, satu sesi bergambar diadakan sebagai kenang-kenangan. Majlis berakhir pada jam 12.30 tengah hari.

Semoga mereka mendapat sedikit pengalaman daripada latihan selama dua bulan ini dan semoga maju jaya dalam bidang yang telah mereka pilih.


























Tiada ulasan:

Catat Ulasan