Isnin, Oktober 31, 2011

Majlis Konvokesyen Ke-7 UTeM

Majlis Konvokesyen Ke-7 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berlangsung selama 2 hari iaitu pada 22 dan 23 Oktober di Dewan Besar UTeM, Kampus Induk, Durian Tunggal.



Seramai 1,502 orang graduan menerima ijazah dan diploma masing-masing daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob selaku Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Daripada jumlah tersebut, 3 orang menerima Doktor Falsafah, 100 orang menerima Sarjana, 1,141 orang menerima Sarjana Muda dan 258 orang menerima diploma.



Pada tahun ini tiada penerima ijazah kehormat yang kebiasaannya dianugerahkan kepada tokoh-tokoh yang banyak menyumbang kepada kemajuan UTeM.

Bagi Anugerah Pelajaran Diraja, dua orang graduan yang menerima anugerah tersebut iaitu Wong Kok Hong dari Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) dan Mohd Saiful Izzat Mat Zahari dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE).

Majlis penganugerahan diploma dan ijazah berlangsung dalam tiga sesi. Sehingga kini jumlah graduan yang telah dihasilkan oleh UTeM adalah seramai 8,758 orang.

Sempena dengan Majlis Konvokesyen Ke-7 ini, turut diadakan Pesta Konvokesyen Ke-7 bagi memeriahkan majlis berkenaan.














































Khamis, Oktober 27, 2011

Makan Malam Persidangan Di Permata Senibong

Setelah penat menghadiri persidangan pada sebelah pagi dan petang, akhirnya pada sebelah malam para peserta 1st PERPUN International Conference and Workshop On Key Performance Indicators For Libraries 2011 (CKPI 2011) diraikan dalam satu majlis makan malam di Permata Senibong Seafood & Steamboat.



Ramai peserta menaiki bas yang disediakan oleh penganjur tetapi aku dan Razak Siamin, peserta daripada Perpustakaan Sultanah Bahiyah, UUM menaiki kenderaan universiti yang dipandu oleh Shahrul. Kami bergerak pada jam 5.15 petang.

Shahrul memandu mengikut laluan yang dilalui oleh bas UTM. Hampir sejam bergerak, kami sampai di tempat yang dituju. Permata Senibong Seafood & Steamboat letaknya dekat Permas Jaya. Ia merupakan suatu medan selera yang letaknya sungguh strategik iaitu berhampiran Selat Tebrau. Dari sana pengunjung dapat melihat Pulau Singapura dari arah Sembawang.



Malam itu menu yang disediakan ialah Siakap Steam Nyonya, Crab Salted Eggs, Nestum Prawn, Grill Squid, Lemon Chicken, Kupang Lemak Chilli Padi, Crispy Kailan, Vegetable Soup, Nasi, Buah-buahan Campur dan Cendol.

Sambil makan, kami dihiburkan dengan persembahan nyanyian karaoke oleh Ayai, bekas vokalis kumpulan Ilusi dan ahli kumpulannya. Mereka mempersilakan ahli persidangan yang hadir makan malam untuk menyanyikan karaoke. Mereka menjemput peserta dari Jerman, Singapura, Filipina dan Malaysia sendiri. Peserta pada malam itu sungguh sporting dan mereka menyanyikan lagu-lagu dengan penuh semangat sekali.

Hampir jam 10.00 malam, setelah kesemua hidangan selesai dijamu, para peserta berangkat pulang ke tempat penginapan masing-masing.

Terima kasih buat penganjur persidangan, Perpustakaan Sultanah Zanariah, UTM di atas makanan yang disediakan.