Isnin, Oktober 03, 2011

Majlis Pertunangan Saufi Yuzaimi & Norlina

Ahad, 1 Oktober 2011 bersamaan 3 Zulkaedah 1432H. Seperti yang dijanjikan, hari ini ialah hari pertunangan adik lelaki aku, Saufi Yuzaimi dengan tunangnya Norlina Hj. Nordin.

Pada 3 Julai 2011 yang lalu, kami ahli keluarga pihak lelaki telah mengaturkan satu majlis merisik di rumah pihak perempuan di Taman Seri Rembau, Rembau, Negeri Sembilan. Di dalam majlis tersebut, beberapa cadangan di antara kedua belah pihak telah dipersetujui.

Pada sebelah pagi, aku dimaklumkan oleh Babah bahawa hari ini Tok Sidang semuanya ada hal, jadi majlis ini kena ada seorang jurucakap merangkap Tok Sidang. Babah minta aku kena jadi jurucakap wakil pihak lelaki. Alamak...aku memang tak pernah menjadi jurucakap sebelum ini. Kalau ada pun sekadar menokok tambah perbincangan sahaja. Nak tak nak, aku terpaksa kuatkan semangat dan mengambil tanggungjawab ini sebagai suatu cabaran. Tambahan pula Mak Bedah kata siapa yang bercakap nanti, Saufi bagi duit upah sidang sebanyak RM60.00.



Pukul 12.30 tengah hari, rombongan pihak lelaki bergerak ke Rembau melalui Simpang Ampat, Kendong, Kota dan akhirnya Rembau. Ada 10 kenderaan semuanya yang bergerak secara berkonvoi. Aku bergerak lambat sedikit kerana terpaksa menghadiri dua majlis perkahwinan di kampung.

Pukul 2.00 petang, rombongan pihak lelaki sudahpun berada di Taman Seri Rembau. Mereka berkumpul di padang taman permainan berhampiran sambil mengatur-aturkan hantaran. Sebaik bersiap kami menuju ke rumah berkenaan dan disambut oleh wakil pihak perempuan. Di antara barang-barang hantaran yang dibawa bersama ialah sebentuk cincin pertunangan, separuh daripada jumlah wang hantaran yang ditetapkan iaitu Rm4000.00, sebakul buah-buahan, kek dan juga sebekas kuih. Kesemuanya ada 7 dulang hantaran pihak lelaki dan dibalas dengan 9 dulang oleh pihak perempuan.



Kesemua barang-barang hantaran diletakkan di ruang tamu rumah dan kemudian ahli rombongan peminangan pihak lelaki dan perempuan duduk mengelilinginya untuk acara berikutnya iaitu perbincangan mengenai pertunangan dan hari perkahwinan kelak.

Pihak perempuan memulakan majlis melalui dua orang wakilnya yang menyatakan hajat majlis diadakan. Mereka kemudian mengulangi butir perbincangan di dalam majlis merisik dahulu dan kemudian menyerahkan kepada wakil pihak lelaki untuk memberi sepatah dua kata. Aku yang mewakili rombongan pihak lelaki sedikit gementar tetapi cuba memberanikan diri untuk berkata apa jua sepatutnya.



Majlis ringkas ini tidak memperincikan perbincangan lanjut di dalam pertemuan ini sebaliknya hanya menerima cincin pertunangan untuk disarungkan kepada bakal tunang, wang hantaran RM4000.00 dan hadiah iringan serta balasan daripada pihak perempuan. Selebihnya, kedua pihak bersetuju baki wang hantaran dapat diselesaikan sekurang-kurangnya sebulan dari tarikh pernikahan. Majlis pernikahan dijangka akan diadakan pada bulan Mac atau April 2012.



Majlis kemudian diteruskan dengan upacara menyarung cincin pertunangan kepada tunang Saufi, Norlina. Kalau merisik dulu, Aziah atau Kak Ngah menyarung cincin, kali ini Mak Bedah sendiri menyarungkan cincin ke jari manis bakal menantunya. Dengan upacara ini, maka rasmilah Norlina menjadi tunangan kepada Saufi Yuzaimi.

Setelah selesai upacara menyarung cincin pertunangan dan perbincangan, majlis ditutup dengan bacaan doa selamat oleh wakil pihak perempuan. Semua tetamu dijemput menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak tuan rumah, Hj. Nordin di khemah berhampiran.

Alhamdulillah, semua yang dirancangkan sebelum ini berjalan dengan baik.

Pukul 3.30 petang, semua ahli rombongan berangkat pulang ke Melaka dengan selamat.








































Tiada ulasan:

Catat Ulasan