Isnin, Januari 30, 2012

Majlis Penyerahan Wang Hantaran Perkahwinan Ridhwan-Yati

Isnin, 23 Januari 2012. Hari ini merupakan hari cuti iaitu cuti sambutan Tahun Baru Cina. Pagi ini Mak Bedah yang dalam perjalanan mengambil tapai di rumah seorang pengusaha tapai di Kampung Tambak Bugis, singgah di Alai. Beliau memberikan beberapa bungkus tapai untuk kami sekeluarga menikmatinya. Sambil itu beliau memaklumkan bahawa petang nanti akan ada rombongan daripada Kesang Pajak akan datang ke rumah beliau dan meminta aku hadir sama di dalam majlis tersebut.

Pukul 3.30 petang sewaktu aku sampai di Kg. Bukit Palah, Hj. Ayup dan Mak Bedah sudah keluar. Mereka bersama keluarga Aziah menghadiri kenduri 'masuk rumah' Wan, anak Kak Marina di Taman Krubong Perdana.



Aku bertanyakan Yati tentang perkara ini dan Yati mengesahkan bahawa rombongan dari Kesang Pajak akan datang selepas Asar untuk menyerahkan wang hantaran.

Tunggu punya tunggu, rombongan tersebut masih tidak sampai. Lebih kurang pukul 6.30 petang, sebuah MPV Toyota Unser memasuki halaman rumah Mak Bedah. Memang benar, keluarga Ridhwan hadir diketuai oleh bapa saudara dan ibunya serta Tok Sidang. Tujuh orang semuanya termasuk seorang kanak-kanak.

Kami menyambut mesra rombongan tersebut. Memandangkan waktu sudah senja, perbincangan kami terus kepada perkara pokok perbincangan iaitu penyerahan wang hantaran.

Tok Sidang membelek-belek album berisi wang sejumlah RM7000.00 dan kemudian mengira satu persatu helaian album. Beliau kemudian menyerahkan kepada aku dan Amir yang kemudian mengira sekali lagi sebagai tanda pengesahan. Bak kata Tok Sidang, biar kita bergaduh sekarang daripada bergaduh kemudian merujuk kes-kes yang pernah berlaku di dalam akhbar berhubung penipuan semasa menyerahkan wang hantaran.

Setelah mengesahkan jumlah wang hantaran yang diterima, pihak lelaki memaklumkan bahawa semasa datang bernikah nanti, rombongan mereka tidak akan membawa sebarang bentuk hadiah lagi dan kami setuju dengan cadangan tersebut. Pihak kami pula meminta supaya segala dokumen berkaitan pernikahan dari pihak lelaki perlu disiapkan segera agar memudahkan pihak kami berhubung dengan imam kariah.

Sebaik perbincangan selesai, jamuan dihidangkan. Ada sedikit kuih-muih yang dibeli dihidangkan bersama air kopi. Selain kuih-muih, dihidangkan juga buah-buahan seperti manggis, rambutan dan langsat yang dibawa pulang oleh Amir dari rumah mertuanya di Gemas.

Pukul 7.05 malam, rombongan dari Kesang Pajak meminta diri untuk beredar. Kami menghantar mereka sehingga ke kereta dan menghadiahkan dengan kuih-muih dan buah-buahan.

Alhamdulillah, majlis ringkas penyerahan wang hantaran berjalan lancar. Aku berdoa semoga perjalanan persiapan untuk majlis perkahwinan Ridhwan-Yati dapat direncanakan dengan sebaik-baiknya.

Rabu, Januari 25, 2012

Perbincangan Keluarga Persediaan Majlis Perkahwinan

Ahad, 22 Januari 2012. Lebih kurang 8.00 malam, aku sekeluarga ke rumah Mak Bedah. Malam ini aku diminta menjadi pengerusi bagi perbincangan keluarga sebagai persediaan untuk majlis perkahwinan adik-adik aku, Saufi dan Norhayati yang bakal diadakan pada 7 April 2012.

Sewaktu sampai, kami 'langkah kanan' kerana ahli keluarga yang lain sedang menjamu selera. Kami pun yang memang belum makan malam seperti orang mengantuk disorongkan bantal.



Pukul 10.00 malam, perbincangan bermula. Aziah, Amir, Azilah, Rosniza, Zainab dan Rozana hadir bersama suami dan isteri mereka hadir di dalam perbincangan yang antara lain bertujuan mendapat persetujuan daripada semua ahli keluarga dari segi persediaan dan perjalanan majlis perkahwinan Saufi dan Yati nanti. Turut hadir di dalam perbincangan ialah Hj. Ayup, Mak Bedah, Mak Ngah Norsiah dan Yati.

Banyak perkara dibincangkan antara lain ialah perancangan masa untuk majlis pernikahan Saufi-Norlina pada jam 10.00 pagi, 31 Mac 2012, pernikahan Yati dan Ridhwan pada hari Khamis, jam 5.00 petang, 5 April 2012.

Turut diperbincangkan ialah tentang Majlis Khatam Al-Quran dan Majlis Berinai Besar pada 6 April 2011 serta Majlis Perkahwinan Saufi dan Yati pada hari Sabtu, 7 April 2012 dan bertandang ke rumah Ridhwan di Kesang Pajak pada 8 April 2012.

Semuanya telah disusun dengan rapi. Sesetengah persiapan sudah sedia seperti kad kahwin, banner, bunga telur dan lain-lain lagi. Dari segi tenaga kerja juga, perancangannya sudah siap. Senarai tugas telah diagihkan, siapa akan membuat apa dan setiap ahli keluarga akan berperanan seperti yang telah ditetapkan. Perbincangan ini juga melibatkan penajaan daripada ahli keluarga yang berkemampuan seperti jamuan, peralatan dan lain-lain lagi.

Pukul 11.55 malam, perbincangan selesai. Secara kebetulan malam itu ialah malam sambutan Tahun Baru Cina dan malam itu sungguh meriah kerana dari rumah Mak Bedah sendiri boleh didengari dentuman mercun dan melihat percikan bunga api berwarna-warni yang datangnya dari rumah penghuni berbangsa Cina yang letaknya tidak jauh dari rumah beliau.

Kami pulang ke rumah pukul 12.40 pagi.

Jumaat, Januari 20, 2012

Stop Online Piracy Act (SOPA)

Salah satu perbincangan yang menjadi semakin hangat akhir-akhir ini adalah berkenaan dengan SOPA, dan bukan sahaja hangat dibincangkan di Amerika Syarikat sahaja, malah media seluruh dunia. Melaluinya, ia bukan hanya memberi kesan kepada cetak rompak, tetapi kepada internet secara menyeluruh.

SOPA merupakan singkatan kepada Stop Online Piracy Act, yang sedang diperbincangkan oleh pihak Amerika Syarikat.

Secara kasarnya ia merupakan salah satu cara untuk mengurangkan masalah cetak rompak melalui internet, namun ia memberi kesan yang lebih daripadanya, dan seperti tidak begitu adil untuk semua penyedia perkhidmatan berasaskan internet.



Memandangkan banyak penyedia perkhidmatan nama domain (.com, .net. dan .org) berpengkalan di Amerika Syarikat, maka perkhidmatan ini memberikan kesan menyeluruh, termasuk kepada para pengguna dan pembangun di Malaysia.

Walaupun cetak rompak merupakan salah satu perkara yang dihalang di semua negara, mahupun agama, pengawalannya masih lagi suatu perkara yang sukar. Apatah lagi dengan kebanyakan perkhidmatan berasaskan web sekarang, seperti YouTube, Facebook dan sebagainya menggunakan kandungan yang dijana oleh pengguna, maka mengawalnya mungkin sesuatu yang sukar. Dengan pengenalan SOPA, ia semestinya akan memberikan kesan yang menyeluruh kepada perkhidmatan seumpama ini, dan memberikan kesan kepada penggunannya di seluruh negara, termasuk Malaysia.

Selain daripada itu, jika salah satu kandungannya yang bertentangan dengan hak cipta, di bawah akta ini, ia akan menjadikan keseluruhan nama domain tersebut dihalang, dan memberikan efek yang besar.



Buat masa ini, kebanyakan syarikat berasaskan internet membantah perkara ini, termasuklah Google, Facebook, Yahoo!, Microsoft, PayPal, Mozilla, FourSquare, eBay, AOL, Creative Commons dan banyak lagi.

Namun begitu masih ada yang menyokongnya, dan salah satu syarikat yang menyokongnya adalah GoDaddy (GoDaddy telah menarik balik sokongan selepas ramai pengguna mereka keluar dan beralih ke perkhidmatan lain).

SOPA masih lagi pada peringkat pendengaran buat masa ini, dan pendengaran seterusnya bakal diadakan pada bulan Januari kelak. Dan semakin hari, semakin banyak syarikat membantah cadangan tersebut, dan ada juga yang menyokongnya.

Walaupun ia masih tidak diketahui kesannya, tahun hadapan akan menjadi antara tahun yang hangat membincangkan mengenai akta-akta berkaitan internet, termasuk di Malaysia sendiri yang membincangkan mengenai Akta Badan Perkomputeran Professional.

Rabu, Januari 18, 2012

Latihan Pendepositan Bahan Repositori

Rabu, 18 Januari 2011. Hari ini seramai 22 orang staf Perpustakaan UTeM menghadiri Latihan Pendepositan Bahan Repositori di Bilik Pangkalan Data Perpustakaan. Mereka yang terlibat ialah 2 orang Pustakawan Kanan dari Unit Pengindeksan dan Unit Rujukan, tiga orang Pustakawan, seorang Penolong Pustakawan dan 15 orang Pembantu Perpustakaan.



Latihan ini dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Burairah Hussin, Timbalan Dekan (Penyelidikan & Pengajian Siswazah) dari Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi (FTMK). Portal repositori menggunakan open source software iaitu ePrints.



Latihan yang diuruskan oleh Unit Latihan dan Kualiti dengan kerjasama Unit Automasi ini bermula pada jam 2.15 petang. Peserta yang mengikuti latihan ini ditunjukkan demonstrasi bagaimana untuk mendeposit bahan-bahan perpustakaan seperti projek sarjana muda (PSM) pelajar dan kertas peperiksaan ke dalam portal ePrints atau repositori UTeM.



Nampaknya para peserta amat berminat dengan latihan ini dan sering bertanya kepada fasilitator membuatkan sesi ini menjadi bertambah meriah. Semoga dengan adanya latihan seperti ini ianya akan dapat meningkatkan kefahaman staf dalam membangunkan repositori universiti.



Latihan tamat pada jam 4.20 petang.

Ahad, Januari 15, 2012

Mr. Labuci

Malam tadi selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di antara Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long,aku sempat menonton Cerekarama di TV3 bertajuk 'Mr. Labuci'. Promo tentang cerekarama ini beberapa kali dimainkan di TV3.


Promo


Tonton

Mr. Labuci ialah sebuah telemovie kekeluargaan yang sangat menghiburkan penonton. Ia diterbitkan oleh Zeel Production dengan sentuhan pengarah terkenal Muhammad Murali Abdullah dan dibantu oleh Anjely Mohammad. Skrip ditulis oleh Enny Ridwan. Para pelakon yang membintangi telemovie ini ialah Rozita Che Wan, Azhan Rani, Puteri Balkis, Roy Azman, Natasha Hudson, Ifa Raziah, Delimawati, Ridzwan Hashim dan lain-lain lagi.

Mr. Labuci mengisahkan seorang isteri iaitu Zulaikha (Rozita Che Wan) yang berkhidmat selama 10 tahun dengan syarikatnya, seorang yang sangat mementingkan diri sendiri akibat merebutkan jawatan besar di syarikatnya. Manakala suaminya mempunyai masalah dalam kerjaya tetap, namun seorang suami yang baik dan menjaga anak dengan sempurna.

Malique (Azhan Rani) minat dalam dunia labuci, hasil dari kepakaran ibunya sendiri. Malique sentiasa menyediakan dan menghasilkan idea yang kreatif pada pakaian isterinya Zulaikha iaitu dengan menghasilkan pakaian yang penuh dengan labuci.

Sering berlaku pertengkaran apabila Zulaikha sering mengungkit hingga terbawa-bawa apabila pulang ke rumah, Zulaikha hilang rasa hormat terhadap suaminya sendiri hingga sanggup merendah-rendahkan kemampuan suaminya dalam rumahtangga mereka.

Kes ini, buatkan anaknya Mimi (Puteri Balkis) sering kesedihan bila ayahnya Malique merajuk hati. Mimi rindukan ayahnya yang sering memasak sambil menari.

Zulaikha, yang mula sedar apabila perbuatannya selama ini sangat melampaui batas, gara-gara ingin merebutkan hati isteri majikannya, pada hal isteri majikannya (Ifa Raziah) tidak suka pada kaki pembodek.

Dalam pada masa yang sama Malique dan sahabatnya Ali sedang dalam proses merancang perniagaan pakaian online yang sangat berjaya.

Zulaikha mula tersedar dengan tindakannya selama ini di mana setelah berjaya dinaikkan pangkat, isteri majikannya telah menyatakan bahawa beliau tidak suka pada kaki pembodek di mana perbuatan tersebut boleh meruntuhkan organisasi.

Akhinya, suaminya berjaya membuka butik sendiri bersama rakan kongsinya Ali di mana isteri majikannya merupakan pelabur utama dalam butik tersebut. Butik itu dinamakan Butik Sentuhan Zulaikha. Dari sini barulah Zulaikha menyedari betapa sayangnya dan berharganya kasih sayang seorang suami yang di panggil Mr. Labuci.

Banyak juga moral daripada drama ini seperti kepentingan perhubungan antara suami-isteri, majikan-pekerja, sesama rakan sekerja, ibu dan anak, mertua-menantu begitu juga hubungan bapa dan anak. Dalam organisasi, memang ada budaya bodek-membodek yang mana jika dibiarkan boleh merosakkan organisasi.

Mesej yang paling baik ialah tidak semua orang yang tiada pekerjaan tidak boleh berjaya...












Melangsaikan Baki Wang Hantaran

Hari ini Sabtu, 14 Januari 2012. Lebih kurang jam 2.00 petang, aku dan Ifa, serta rombongan tiga buah kereta bergerak menuju ke Rembau. Turut serta ialah Hj. Ayup, Mak Bedah, Zamri, Shahmizah, Amir dan isterinya Fazana, Saufi, Ahmad dan Aisyah.

Tujuan kami ialah ke rumah No. 91, Lorong TSR 3, Taman Seri Rembau Fasa 1, Rembau untuk melangsaikan baki wang hantaran perkahwinan Saufi. Kami sampai lebih kurang pukul 3.15 petang.

Sebaik sampai, kami dijemput masuk oleh tuan rumah, Encik Nordin Ali dan isterinya Puan Zaliha Mohamad Nor. Turut ada di rumah ialah tunang Saufi, Norlina Nordin. Kami dijamu dengan hidangan gulai ayam, sambal udang petai, tauge dan telur asin serta buah tembikai. Alhamdulillah, terima kasih kepada tuan rumah di atas jamuan ini.

Setelah mengisi perut, tibalah masa untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan majlis pernikahan Saufi dan Norlina yang bakal diadakan pada 31 Mac 2012 atau bersamaan dengan 8 Jamadilawal 1433H.

Terlebih dahulu aku membuka majlis dan memaklumkan akan perjanjian semasa majlis pertunangan pada 1 Oktober 2011 yang lalu.

Mengikut perjanjian, wang hantaran akan diserahkan sejumlah RM4000.00 pada majlis pertunangan manakala bakinya dihantar beberapa bulan sebelum majlis pernikahan berlangsung. Ini bagi membolehkan pihak perempuan membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.

Pada majlis ringkas petang tadi, sejumlah RM5000.00 yang diisi dalam sebuah album diserahkan kepada Encik Nordin. Selain daripada itu, ada juga hadiah iringan berupa kek dan buah-buahan.

Perbincangan kemudian dipanjangkan dengan pihak perempuan memaklumkan aturcara majlis pada 31 Mac 2012 di mana pihak lelaki harus sampai pada jam 9.00 pagi. Rombongan pihak lelaki akan menginap sementara di sebuah homestay berdekatan sebelum majlis akad nikah dilangsungkan pada jam 10.00 pagi. Rombongan pihak lelaki akan balik semula ke homestay dan datang semula pada majlis persandingan iaitu pada pukul 12.45 tengah hari.

Berkenaan dengan bayaran-bayaran yang perlu disediakan oleh Saufi semasa majlis pernikahan ialah bayaran upah nikah (RM80.00), upah saksi (RM40.00), upah buapak (RM120.00), bayaran pendaftaran (RM40.00), sedekah kariah masjid (RM40.00) dan bayaran mas kahwin sebanyak RM200.00. Ini menjadikan kos keseluruhan berjumlah RM520.00. Rasanya tentang bayaran tidak menjadi masalah asalkan majlis berjalan dengan sempurna.

Pukul 4.30 petang, setelah selesai perbincangan, rombongan kami meminta diri untuk pulang. Kami sampai di rumah pada jam 6.00 petang. Alhamdulillah perbincangan hari ini berjaya mendapat kata sepakat dan diharapkan perancangan seterusnya akan berjalan lancar.


















Khamis, Januari 05, 2012

Sesi Persekolahan 2012 Bermula

Rabu, 4 Januari 2012. Sesi persekolahan bagi tahun 2012 bermula. Semua pelajar akan menyarung pakaian seragam putih dan menyandang beg ke sekolah. Jalan mula menjadi sesak kerana banyak kenderaan dipandu menuju ke sekolah. Ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka ke sekolah sebelum ke tempat kerja.

Hari ini aku mengambil cuti rehat semata-mata untuk menguruskan anak-anak. Sebelah pagi, aku ke SJKC Keh Seng di Bukit Baru untuk membeli buku-buku dan peralatan persekolahan Miza dan Alim.



Ramai juga pelajar Melayu yang bersekolah di SJKC Keh Seng pada tahun ini. Ini menunjukkan sudah ada kesedaran di kalangan orang Melayu untuk menguasai Bahasa Cina. Dari segi makanan, tiada makanan halal dijual di kantin melainkan makanan ringan seperti jajan dan aiskrim. Bagi Miza dan Alim, kami akan bekalkan makanan dari rumah.

Semalam, aku dan Ifa ke SMKA Sharifah Rodziah, Telok Mas bagi menghadiri Hari Pendaftaran Tingkatan Satu Tahun 2012/1433H. Sebaik sampai, kami diberi pilihan untuk memilih kelas. Ifa mendaftar di Kelas 1 Saodah.

Di dalam Dewan As-Sharifah, diadakan Majlis Taklimat Hari Pendaftaran Tingkatan 1. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, kemudian ucapan daripada YDP PIBG serta ucapan daripada Pengetua, Puan Hjh Hamizah Hassan. Seterusnya ucapan perasmian daripada wakil Pegawai Pelajaran Daerah, PPD Melaka Tengah, Jabatan Pelajaran Melaka dan diakhiri majlis dengan doa.

Bagi ibu bapa dan anak-anak, mereka tinggal di dewan untuk mendengar taklimat HEM daripada Puan Zaini Jani, GPK HEM, SMKASR.

Aku membawa Ifa menjelaskan bayaran persekolahan kepada guru kelas dan kemudian menguruskan pembelian buku, pakaian sukan dan peralatan persekolahan Ifa. Hampir 4 jam kami di sana dan pulang semula ke tempat kerja pada jam 12.00 tengah hari.

Bagi Arif, aku minta beliau menguruskan sendiri urusan persekolahannya di SMKA Sultan Muhammad, Batu Berendam. Arif kini di Tingkatan 4.

Lewat tengah hari, aku menjemput anak-anak pulang dari sekolah. Aku mengambil Miza dan Alim dari sekolah dan kemudian menjemput Arif sebelum singgah untuk membayar pendaftaran sekolah agama di SRA Jalan Datuk Palembang, Bukit Baru.

Jam 4.00 petang aku ke SMKA Sharifah Rodziah untuk menjemput Ifa malangnya semasa minggu orientasi, pelajar luar dibenarkan balik pukul 5.00 petang.

Walaupun penat, bila melihat kerenah anak-anak semasa nak ke sekolah ataupun pulang dar sekolah, hati jadi gembira. Masing-masing akan menceritakan pengalaman mereka di sekolah bersama rakan baru atau guru-guru.

Semoga sesi persekolahan diteruskan dengan penuh semangat...







Selamat Hari Lahir Miza, Alim...

Isnin, 2 Januari 2012. Hari ini merupakan hari ulangtahun kelahiran Miza dan Alim. Secara kebetulan, kedua anak ini dilahirkan pada tarikh yang sama tetapi tahun berbeza. Miza menyambut ulangtahun kelahirannya kali ke-9 manakala Alim menyambut ulangtahun kelahirannya ke-8.

Kami jarang dapat menyambut ulangtahun kelahiran keduanya pada tarikh 2 Januari setiap tahun kerana kebiasaannya sibuk membuat persiapan persekolahannya. Kami akan sambut hari lahir Miza dan Alim seminggu selepas tarikh tersebut. Tetapi pada tahun ini, aku bertekad untuk menyambutnya pada tarikh tersebut agar ianya menjadi lebih 'happening'.

Pagi itu kami ke Aeon Bandaraya Melaka Shopping Centre untuk membeli barang-barang keperluan bagi persiapan majlis hari lahir Miza dan Alim. Antaranya kek hari lahir, buah-buahan, makanan ringan dan lain-lain lagi. Kami bercadang untuk membuat majlis sambutan hari lahir secara kecil-kecilan sahaja.

Pukul 5.00 petang, kami meminta Miza dan Alim menjemput rakan-rakannya. Apabila rakan-rakannya sampai, Miza dan Alim duduk di hadapan sebuah meja di samping kek hari lahirnya. Rakan-rakan menyanyikan lagu 'Happy Birthday' dan 'Allah Selamatkan Kamu' dan apabila selesai, kek dipotong.

Miza dan Alim menjemput rakan-rakannya menjamu selera dan membahagi-bahagikan kek hari lahir kepada mereka.

Sebelum balik, tetamu yang hadir dihadiahkan bungkusan 'berkat'.

Kami sekeluarga mendoakan semoga Miza dan Alim dipanjangkan umur, murah rezeki dan akan terus dewasa serta berjaya dalam hidupnya di masa hadapan.

Amin!