Isnin, Januari 02, 2012

Menikmati Makanan Laut Di Muara Sungai Duyung

Ahad, 1 Januari 2012. Sebaik selesai membeli barang-barang keperluan sekolah anak-anak, kami singgah di Medan Ikan Bakar Muara Sungai Duyung. Kami tiba di sana pada pukul 6.45 petang. Malam semalam kami bercadang untuk menikmati makanan laut di sini malangnya terlalu ramai pengunjung sehinggakan tiada meja kosong lalu kami beralih ke sebuah gerai di Permatang Pasir untuk makan malam.



Kami sangkakan kami datang pada sebelah petang, bilangan pengunjung tidak ramai. Rupanya, pada sebelah petang pun ramai juga pengunjung sehinggakan untuk memilih barangan basah seperti ikan, sotong, udang dan lain-lain lagi, pengunjung perlu beratur panjang.

Ida dan Arif mencari meja kosong dan akhirnya kami mendapat sebuah meja yang letaknya cukup menarik iaitu di bahagian sisi gerai berhampiran muara. Pemandangan di muara pada waktu matahari terbenam memang menarik ditambah dengan bot-bot nelayan yang keluar masuk melalui muara. Aku sempat merakam foto-foto berkenaan.

Tujuan aku membawa anak-anak menikmati makanan laut ini ialah sebagai meraikan di atas kejayaan anak-anak di dalam peperiksaan tempohari. Ifa berjaya di dalam peperiksaan UPSR manakala Arif cemerlang di dalam PMR. Setidak-tidaknya ia merupakan suatu penghargaan di atas segala penat lelah mereka selama setahun memberikan fokus terhadap persediaan yang bakal didudukinya.



Ida memesan udang goreng butter, sotong dan ketam goreng, kupang sambal, ikan jenahak bakar, ikan siakap sweet n sour dan ikan terubuk bakar. Kesemua makanan laut ini dimakan bersama nasi lemak. Ida juga memesan otak-otak yang sangat digemari oleh Miza dan Alim. Bagi minuman, Ida memesan air teh o ais limau dan air kelapa muda.

Hampir dua jam kami di sana, anak-anak teruja menikmati makanan laut. Aku sangat gembira bila melihat anak-anak seronok menikmati makanan mereka. Sambil makan, aku merakamkan beberapa foto aksi anak-anak menikmati makanan.

Pukul 8.30 malam, setelah selesai menikmati makanan laut, kami bergerak pulang ke rumah. Anak-anak mengucapkan terima kasih di atas jamuan yang diberikan itu.

























Tiada ulasan:

Catat Ulasan