Ahad, Januari 15, 2012

Melangsaikan Baki Wang Hantaran

Hari ini Sabtu, 14 Januari 2012. Lebih kurang jam 2.00 petang, aku dan Ifa, serta rombongan tiga buah kereta bergerak menuju ke Rembau. Turut serta ialah Hj. Ayup, Mak Bedah, Zamri, Shahmizah, Amir dan isterinya Fazana, Saufi, Ahmad dan Aisyah.

Tujuan kami ialah ke rumah No. 91, Lorong TSR 3, Taman Seri Rembau Fasa 1, Rembau untuk melangsaikan baki wang hantaran perkahwinan Saufi. Kami sampai lebih kurang pukul 3.15 petang.

Sebaik sampai, kami dijemput masuk oleh tuan rumah, Encik Nordin Ali dan isterinya Puan Zaliha Mohamad Nor. Turut ada di rumah ialah tunang Saufi, Norlina Nordin. Kami dijamu dengan hidangan gulai ayam, sambal udang petai, tauge dan telur asin serta buah tembikai. Alhamdulillah, terima kasih kepada tuan rumah di atas jamuan ini.

Setelah mengisi perut, tibalah masa untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan majlis pernikahan Saufi dan Norlina yang bakal diadakan pada 31 Mac 2012 atau bersamaan dengan 8 Jamadilawal 1433H.

Terlebih dahulu aku membuka majlis dan memaklumkan akan perjanjian semasa majlis pertunangan pada 1 Oktober 2011 yang lalu.

Mengikut perjanjian, wang hantaran akan diserahkan sejumlah RM4000.00 pada majlis pertunangan manakala bakinya dihantar beberapa bulan sebelum majlis pernikahan berlangsung. Ini bagi membolehkan pihak perempuan membuat persiapan untuk majlis perkahwinan mereka.

Pada majlis ringkas petang tadi, sejumlah RM5000.00 yang diisi dalam sebuah album diserahkan kepada Encik Nordin. Selain daripada itu, ada juga hadiah iringan berupa kek dan buah-buahan.

Perbincangan kemudian dipanjangkan dengan pihak perempuan memaklumkan aturcara majlis pada 31 Mac 2012 di mana pihak lelaki harus sampai pada jam 9.00 pagi. Rombongan pihak lelaki akan menginap sementara di sebuah homestay berdekatan sebelum majlis akad nikah dilangsungkan pada jam 10.00 pagi. Rombongan pihak lelaki akan balik semula ke homestay dan datang semula pada majlis persandingan iaitu pada pukul 12.45 tengah hari.

Berkenaan dengan bayaran-bayaran yang perlu disediakan oleh Saufi semasa majlis pernikahan ialah bayaran upah nikah (RM80.00), upah saksi (RM40.00), upah buapak (RM120.00), bayaran pendaftaran (RM40.00), sedekah kariah masjid (RM40.00) dan bayaran mas kahwin sebanyak RM200.00. Ini menjadikan kos keseluruhan berjumlah RM520.00. Rasanya tentang bayaran tidak menjadi masalah asalkan majlis berjalan dengan sempurna.

Pukul 4.30 petang, setelah selesai perbincangan, rombongan kami meminta diri untuk pulang. Kami sampai di rumah pada jam 6.00 petang. Alhamdulillah perbincangan hari ini berjaya mendapat kata sepakat dan diharapkan perancangan seterusnya akan berjalan lancar.


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan