Ahad, November 28, 2010

Karnival Angkasa di Planetarium Melaka

Hari ini kami sekeluarga mengambil keputusan untuk mengunjungi Planetarium Melaka yang terletak berhampiran MITC Ayer Keroh, Melaka. Jam 12.45 tengah hari, kami bergerak dari rumah dan sampai ke destinasi 20 minit kemudian.

Hari ini juga merupakan hari terakhir Karnival Angkasa yang berlangsung selama seminggu. Ia diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik. Karnival Angkasa dianjurkan Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama The National Aeronautics and Space Administration (NASA), Amerika Syarikat di mana ia julung kali diadakan di Negeri Melaka.

Sebaik membeli tiket dan melalui pintu masuk, kami dimaklumkan ada tayangan di tingkat atas. Kami lantas mengambil tempat dan menikmati tayangan tentang matahari dan planet-planet di angkasa selama kira-kira 20 minit. Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik minat pengunjung untuk mengetahui tentang sains. Antaranya pameran angkasa oleh NASA, bumi dan planet lain, aktiviti interaktif seperti mengukur sistem UV, eksplorasi robotik, manik-manik UV, roket daripada tiub kertas dan spektroskop DIY.

Kami sempat menghadiri satu bicara selama 30 minit berkaitan dengan matahari iaitu 'The Sun and Us' yang disampaikan oleh Dr. Gopalswamy Natchimuthuk dari Goddard Space Flight Center, Greenbelt, Amerika Syarikat. Sebelum itu, Arif dan Ifa sempat mengikuti aktiviti mengukur sistem UV dan membuat spektroskop DIY. Alim dan Miza pula menggunakan komputer untuk aplikasi simulator kapalterbang.

Di bahagian bawah bangunan planetarium ini, terdapat satu ruang pameran yang mempromosikan Melaka Negeri Maju di mana salah satunya ialah pameran yang melibatkan kejayaan UTeM dalam menghasilkan penyelidikan yang berjaya di peringkat dunia. Maklumat tentang Planetarium Melaka boleh didapat di sini.

Kami juga ke Perpustakaan Planetarium di mana di sini juga ada pameran dan buku-buku tentang angkasa.

Jam 4.00 petang, kami bertolak pulang dan singgah di sebuah restoran di Kota Fesyen untuk menjamu selera.

Buat anak-anak, semoga dengan mengunjungi Karnival Angkasa di planetarium ini akan dapat mengisi masa lapang di samping akan meningkatkan minat dalam sains dan teknologi hendaknya.




























Jamuan Kesyukuran Abidah

Sabtu, 27 November 2010. Jam 1.30 petang, kami sekeluarga bertolak untuk ke Kampung Pondok Kempas, Selandar untuk menghadiri jamuan kesyukuran Abidah Hj. Hashim. Seperti biasa, Arif tidak mahu mengikuti kami dan lebih selesa tinggal di rumah Pak Yup, atuknya di Peringgit.

Jam 3.00 petang, kami sampai ke destinasi dituju. Abidah dan suaminya Norbi Abd. Wahab, menyambut kami di rumah baru Abidah yang terletak bersebelahan rumah keluarganya. Mereka sedondon berpakaian warna krim. Kami dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan di khemah berhampiran.

Bagi Abidah, ini merupakan perkahwinan beliau kali kedua. Perkahwinan pertamanya berakhir beberapa tahun lalu dan beliau dikurniakan 3 orang anak yang kini di bawah jagaan beliau.

Abidah yang bertugas di Perpustakaan Negeri Melaka (PERPUSTAM) merupakan staf yang pernah bekerja di bawah seliaan aku suatu masa dahulu. Kini beliau bertemu jodoh dengan seorang duda yang mempunyai dua orang anak dan perkahwinan ini merupakan perkahwinan jarak jauh kerana suaminya bertugas di Kuantan, Pahang.

Namun begitu kami mengharapkan semoga jodoh ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Sebelum pulang, kami sempat bergambar dengan Abidah manakala suaminya berehat kerana kurang sihat.

Jam 3.40 petang, kami bertolak balik ke Peringgit untuk menjemput Arif di rumah atuknya.

Buat Abidah dan Norbi, Selamat Pengantin Baru...







Selasa, November 23, 2010

Biarlah Kejahatan Dibalas Kebaikan

"Jika kejahatan dibalas dengan kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas dengan kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, maka itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji."- La Roche



Begitulah apabila anda ingin menjadi manusia hebat. Melupakan kejahatan yang pernah dilakukan kepada anda. Berikan kemaafan dan bina hubungan baru dengan terus menerus memberi kebaikan kepada orang lain. Bukan perkara mudah untuk dilaksanakan melainkan hati dan jiwa mereka yang benar-benar dekat dengan Allah SWT. Bayangkanlah dalam masyarakat kita hari ini bukan mudah untuk berjumpa manusia yang mempunyai ciri-ciri seperti ini.

Sifat mulia Rasulullah SAW sebenarnya dapat kita hayati daripada kisah berikutnya.

Di satu sudut pasar di Madinah Al-Munawarah kelihatan seorang pengemis Yahudi buta. Hari demi hari apabila ada orang yang mendekatinya dia selalu berkata, "Wahai saudaraku janganlah kamu dekati Muhammad, dia itu orang gila, dia itu pembohong, dia itu tukang sihir, apabila kalian mendekatinya kalian akan dipengaruhinya."

Namun tanpa disedari pengemis Yahudi buta, setiap pagi Rasulullah SAW mendatanginya dengan membawa makanan. Tanpa berkata sepatah kata pun Rasulullah SAW menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Begitulah yang dilakukan oleh baginda pada setiap hari sehinggalah ke saat kewafatannya.

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu. Suatu hari Abu Bakar Radhiallahu Anhu (RA) berkunjung ke rumah anaknya Aisyah. Beliau bertanya kepada anaknya, "Anakku adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?"

Aisyah menjawab pertanyaan ayahnya, "Wahai ayahanda, engkau adalah seorang ahli sunnah dan hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayahanda lakukan kecuali satu sunnah saja."

"Apakah itu?", tanya Abu Bakar RA.

"Setiap pagi Rasulullah SAW selalu berkunjung ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi buta yang berada di sana," kata Aisyah.

Keesokan harinya Abu Bakar RA pergi ke pasar dengan membawa makanan untuk diberikannya kepada pengemis itu. Beliau mendatangi pengemis itu dan memberikan makanan itu kepadanya.

Ketika Abu Bakar RA mulai menyuapkan nasi, si pengemis itu marah sambil berteriak, "Siapakah kamu?"

Abu Bakar RA menjawab, "Aku orang yang biasa."

"Bukan! Engkau bukan orang yang biasa mendatangiku," jawab si pengemis buta itu.

"Apabila dia datang kepadaku, tidak susah tangan ini memegang dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapkan aku tetapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut," pengemis itu melanjutkan perkataannya.



Abu Bakar RA tidak dapat menahan air matanya. Beliau menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "Aku memang bukan orang yang biasa datang padamu, aku adalah salah seorang daripada sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi. Beliau adalah Muhammad Rasulullah SAW."

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar RA, dia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian? Selama ini aku selalu menghinanya dan memfitnahnya. Dia tidak pernah memarahiku walau sedikit pun, malah dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi. Dia begitu mulia.."

Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadah di hadapan Abu Bakar RA.

Kerana itulah Rasulullah SAW walaupun sudah seribu tahun lebih baginda tetap dikenang sebagai seorang yang hebat dan merupakan pemimpin terulung dunia.

Semoga kita berusaha memiliki sifat-sifat mulia yang ada pada junjungan kita itu kerana jika kejahatan dibalas dengan kebaikan, maka itu adalah sifat dan amalan mulia lagi terpuji.

Mudah-mudahan...

Membina 'Syurga' Dunia Dan Akhirat

Sesungguhnya rumah tangga yang menjadi impian dan harapan setiap daripada kita ialah rumah tangga yang di dalamnya bersemarak suasana sakinah (ketenangan), mawaddah dan rahmah.

Setiap pasangan yang akan, sedang dan sudah mendirikan rumah tangga tentunya mendambakan sebuah institusi perkahwinan yang dibina dengan disirami kasih sayang yang berpanjangan, harmoni dan sejahtera yang tiada tepian.

Pada masa yang sama, kita terpaksa berusaha mengemudi bahtera perkahwinan itu agar tidak musnah, waima dilanda ombak dan badai dalam kehidupan.

Ini kerana, kejayaan mengharungi pahit manis alam rumah tangga akan menjadikan suami isteri itu bertambah matang, sekali gus lebih menghargai pasangan hidup masing-masing serta mendapat reda Allah SWT.

Lantaran itu, terpulang kepada suami isteri itu sendiri bagaimana untuk mencorakkan rumah tangga mereka agar selaras dengan konsep rumahku syurgaku atau baiti jannati.

Suatu masa, pasangan dikurniakan cahaya mata. Amanah Allah untuk membesar, memelihara dan mendidik anak-anak turut terpikul di bahu ibu dan bapa.



Pokok pangkalnya, perlu ada ilmu, kemahiran dan aspek paling penting ialah pegangan agama yang kukuh. Barulah hubungan suami isteri itu bukan sekadar hubungan untuk memudahkan naluri manusia, hubungan tubuh atau sebagai wahana untuk melahirkan keturunan. Hakikat sebenarnya adalah hubungan atau ikatan yang wujud atas dasar cinta, kasih sayang, kesenangan dan ketenangan.

Ini ditegaskan oleh Allah SWT dengan firman-Nya:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenismu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan jadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al-Rum: 21)

Bahawasanya, cinta suami isteri adalah jauh lebih mulia berbanding di antara cinta sepasang kekasih. Ini kerana perkahwinan adalah satu ikatan yang terlalu suci dan menjadi landasan terbaik untuk menjalin kasih sayang antara lelaki dan wanita yang halal berkahwin.

Memenuhi Undangan Di Hujung Minggu

Ahad, 21 November 2010. Hari ini aku sekeluarga menghadiri dua majlis keraian di dua lokasi berbeza.

Jam 2.00 petang, kami ke Taman Desa Duyong kerana menghadiri majlis perkahwinan Sham dan Siti. Sham merupakan adik ipar kepada Hamzah manakala Hamzah pula merupakan sepupu kepada Ida, di mana keluarga mereka juga berasal daripada Alai. Sham dijodohkan dengan Siti, anak Nek Ngah Jenab yang berasal daripada Durian Daun Dalam, Melaka.

Malam sebelumnya, aku dan beberapa orang jemaah surau dijemput ke rumah berkenaan untuk majlis berzanji. Kami diangkut dengan sebuah van. Aku kira taman perumahan ini masih baru dan tidak ramai penghuninya.

Sewaktu kami tiba, majlis bersanding sudahpun selesai. Kelihatan rombongan di pihak perempuan sudah bersiap-siap untuk meninggalkan majlis. Tetapi tetamu dan jemputan tuan rumah masih bertali arus.

Pukul 2.40 petang, sesudah menjamu selera, kami berangkat ke Taman Air Molek. Di sini satu lagi majlis diadakan iaitu kenduri kesyukuran sambutan ulangtahun Muhammad Muhaimin, anak kepada Zahar. Zahar juga sepupu kepada Ida, anak Pak Ngah Ahmad dan kami menerima jemputan sehari sebelum majlis.

Sambil berbual-bual dengan tetamu yang lain, kami menjamu selera. Jam 3.50 petang, kami bertolak pulang ke Alai.

Duduk di kampung memang begitu. Boleh dikatakan setiap minggu ada kenduri. Kenduri kesyukuran, kenduri orang meninggal dunia, kenduri orang menunaikan haji, kenduri orang menunaikan umrah, kenduri kahwin dan bermacam kenduri lagi.

Kini cuti sekolah sudahpun bermula. Undangan ke majlis perkahwinan juga semakin banyak. Dan sebagai ahli masyarakat, kita seharusnya memenuhi undangan-undangan tersebut bagi meraikan majlis berkenaan.