Rabu, November 17, 2010

Sambutan Hari Raya Aidil Adha 1431H

Tarikh 17 November 2010 merupakan Hari Raya Aidil Adha atau lebih dikenali sebagai Hari Raya Haji di kalangan umat Islam. Pada hari tersebut selain daripada bertakbir, diadakan juga kenduri kesyukuran dan seperti kebiasaannya akan ditumbangkan lembu untuk korban dan dagingnya diagih-agihkan kepada mereka yang berhak.

Jam 8.00 pagi, aku dengan Arif ke Masjid Alai. Sebaik sampai, para jemaah sudahpun ramai. Masing-masing beramai-ramai bertakbir sementara menantikan imam memandu sembahyang sunat Aidil Adha. Dalam pada itu, pengerusi masjid memaklumkan sumbangan daripada jemaah amat diperlukan untuk pembangunan masjid. Beberapa orang petugas membawa bekas kosong atau songkok yang diterbalikkan kepada jemaah masjid bagi memungut sedekah. Masing-masing yang berkemampuan dan membawa wang memberikan sedekah masing-masing.

Pukul 8.30 pagi, sembahyang sunat Aidil Adha diimamkan oleh Tuan Haji Ahmad. Selesai sembahyang, khutbah pula disampaikan oleh imam. Pukul 9.20 pagi, selesai sembahyang, aku berdua kembali ke rumah.

Dek perut yang kelaparan, aku dengan Arif terus mengisi perut sementara menunggu kenduri dan acara sembelih lembu korban pada pukul 10.00 pagi nanti. Kami menjamu ketupat dan rendang ayam di samping sambal udang dan kari daging.

Tahun ini Busu Jamil, adik bongsu Mak Munah sekeluarga sepakat untuk menyumbangkan seekor lembu untuk majlis korban. Selepas bersembahyang sunat hari raya, aku dan ahli keluarga yang lain berkumpul untuk mengadakan tahlil ringkas dan kenduri. Seperti pada tahun lepas, tahun ini juga diadakan Majlis Korban.

Pada pukul jam 10.45 pagi, Tuan Hj. Ahmad, Imam Kampung Alai sampai dan mengetuai tahlil. Selepas selesai kenduri, jiran-jiran dan beberapa orang pemuda kampung sudah bersedia untuk menjalankan gotong-royong untuk menyembelih dan melapah lembu untuk ibadah korban. Pukul 11.00 pagi, upacara penyembelihan dijalankan. Pak Imam mendapatkan senarai nama mereka yang mengadakan korban ini. Setelah akad dijalankan, Pak Imam segera menjalankan tugas penyembelihan tersebut.

Cuaca pagi ni mendung. Kerja-kerja penyembelihan dijalankan oleh Pak Imam dengan dibantu oleh beberapa pemuda kampung. Mulanya agak sukar untuk menumbangkan lembu tersebut tetapi lama-kelamaan dengan kepakaran dan kekuatan pemuda, kerja-kerja menumbangkan lembu berjalan lancar.

Pak Imam meletakkan pisau pada leher lembu sambil membaca doa dan terus menyembelih haiwan berkenaan. Darah memancut keluar daripada leher lembu. Setelah beberapa minit menunggu, akhirnya lembu tersebut sudah tidak bernyawa lagi. Kerja-kerja melapah lembu berjalan lancar. Setelah itu, daging-daging diagih-agihkan kepada jiran-jiran dan keluarga terdekat serta orang kampung.

Pukul 12.30 tengah hari, semua kerja agihan selesai. Selepas membersihkan diri, aku bersiap-siap untuk menunaikan solat Zuhur. Pukul 2.30 petang, aku sekeluarga ke rumah Mak Bedah dan Pak Yup untuk menziarah mereka. Biasanya aku akan mencari ketupat dan rendang buat mengisi perut tetapi tahun ini ada tambahan menu iaitu nasi ayam. Tak larat nak makan banyak-banyak. Kesihatan perlu dijaga.

Pukul 5.00 petang, kami kembali semula ke Alai dan mula menjalankan aktiviti sampingan aku iaitu surf internetdan mengemaskini blog.....

Sambutan Hari Raya Aidil Adha mungkin tidak semeriah seperti di Pantai Timur tetapi ianya cukup bermakna bagi keluarga kami. Tahun depan giliran siapa pula mengadakan majlis korban?

Tunggu dan lihat.




Rakaman video penyembelihan lembu untuk majlis Qurban di Alai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan