Rabu, November 10, 2010

Selamat Pengantin Baru, Mizi!

Ahad, 7 November 2010. Sebaik menjemput anak-anak balik dari kelas pengajian tahfiz di Masjid Al-Azim, aku bersiap untuk menghadiri majlis perkahwinan bekas rakan sepejabat, Kharmizi Khamis. Memandangkan anak-anak mempunyai urusan mereka sendiri, aku mempelawa Miza untuk bersama aku.

Jam 12.30 tengah hari, aku bergerak ke Taman Penghulu Jabar, Bukit Katil. Memandangkan ini kali pertama mengadakan majlis perkahwinan bagi keluarga ini, tetamu agak ramai. Aku dan beberapa orang tetamu terpaksa menunggu beberapa minit untuk mendapatkan tempat bagi menjamu selera di bawah khemah yang disediakan tuan rumah itu.

Ramai rakan-rakan sepejabat yang aku jumpa di majlis berkenaan, antaranya Arman dan Zulkarnaen bersama keluarga masing-masing, Shazley dan Wan Kasehan.

Kharmizi yang bertugas sebagai Pembantu Am Pejabat mulanya bersama Perpustakaan pada tahun 2003 dan selepas 6 tahun, beliau ditukarkan ke Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK). Aku senang berurusan dengan beliau sepanjang bertugas di Perpustakaan kerana beliau tidak berkira dari segi masa dan tenaga. Pernah juga aku suatu masa dulu mengusik-usik beliau supaya berkahwin tetapi beliau hanya tersenyum sahaja. Kini beliau sudahpun memasuki gerbang perkahwinan.

Kharmizi memilih Nur Azean Mahat sebagai pasangan hidupnya dan aku mendoakan semoga jodohnya berkekalan sehingga ke akhir hayat. Sebagai orang muda yang ranggi, aku mengharapkan beliau dapat menjadi suami yang baik dan dapat membimbing isterinya menjadi wanita syurga hendaknya...

Dan sehingga aku bersalaman dengan bapanya, Khamis Ismail sewaktu pulang, bapanya menjelaskan pengantin masih belum sampai lagi...





















Foto: Ihsan Stramberrymanis

Tiada ulasan:

Catat Ulasan