Selasa, November 02, 2010

Mak Bedah Masuk Wad Kerana Diabetes

Sudah seminggu Mak Bedah dimasukkan ke wad akibat penyakit diabetesnya. Beliau didapati lemah tubuh badannya pada 26 Oktober 2010 akibat gula dalam darah yang sedikit tinggi. Secara kebetulan, Amir, adik aku dan isterinya pulang dari Kuala Lumpur petang itu membawa Mak Bedah ke hospital. Arif juga turut membantu neneknya.

Mak Bedah dimasukkan ke Wad C4, wad lama. Dan sewaktu aku melawat beliau di sana, dapat aku melihat kedaifan wad-wad di Hospital Melaka di mana bumbungnya retak dan dimasuki air ketika hujan. Namun begitu menurut staf di wad berkenaan, mereka dalam proses mengosongkan wad tersebut untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan pembaikan.

Aku meminta Mak Bedah dipindahkan ke wad lain sebaik aku mendapat guarantee letter (GL) dari majikan dan keesokan harinya beliau dipindahkan ke katil yang berbeza pada wad yang sama. Selang sehari kemudian, beliau dipindahkan ke Wad A2 dan ditempatkan bersebelahan pesakit-pesakit yang mengidap demam denggi.

Aku sebenarnya tidak kisah wad mana pun ditempatkan asalkan rawatan yang diberikan memuaskan.

Mak Bedah mengalami simptom mabuk dan sedikit pneumonia, barangkali jangkitan kuman pada paru-paru. Buat masa ini beliau diberikan antibiotik bagi melegakan kesakitannya.

Ahad, 31 Oktober 2010, ramai anak-anak dan cucu pulang untuk melawat Mak Bedah tetapi alangkah hampanya bila notis di hospital tidak membenarkan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun melawat pesakit.

Aku meminta kebenaran pengawal keselamatan untuk membawa pesakit ke tingkat bawah Wad A berhadapan dengan taman permainan bagi memboleh pelawat bertemu pesakit dan beliau membenarkan. Jadi, petang itu dapatlah cucu-cucu yang pulang berjumpa dengan nenek mereka.

Wad A2 ni merupakan wad untuk pesakit wanita dan orang lelaki tidak dibenarkan menjaga pesakit. Oleh itu, adik dan adik ipar aku yang menjaga Mak Bedah sehingga ke hari ini.

Hari demi hari berlalu dan kini aku dapat melihat perubahannya. Mabuk sudah semakin hilang. Beliau sudah boleh ke bilik air dan makan sendiri. Cuma doktor belum boleh membenarkan beliau pulang kerana perlu menghabiskan antibiotik selama 5 hari.

Menyingkap kisah-kisah lalu, Mak Bedah seorang yang sukar untuk mengikut nasihat doktor. Walaupun tahu beliau mengidap diabetes namun beliau enggan memakan ubat yang diberikan.

Aku menasihatkan Mak Bedah supaya mengurangkan makanan bergula dan aku berharap pengajaran berguna dimasukkan ke wad dapat mengubah tabiat pemakanan beliau.

Dan ketika Mak Bedah yang kini berusia 68 tahun masih di hospital, Pak Yup yang berusia 73 tahun sentiasa melawat dan membelikan sarapan buat isteri tercintanya. Kata orang itulah teman bergaduh dan itu juga teman berbual. Begitulah setianya kedua orang tua aku ini.

Kata orang wang boleh dicari tetapi kesihatan tidak. Dan bagi aku pula, wang boleh dicari tetapi ibu bapa tidak mungkin. Hanya satu sahaja dan tiada tolok bandingnya.

Aku mendoakan kesejahteraan buat kedua-duanya.

Amin...

Nota: Mak Bedah dibenarkan pulang ke rumah pada hari Isnin, 8 November 2010.








2 ulasan: