Selasa, November 23, 2010

Memenuhi Undangan Di Hujung Minggu

Ahad, 21 November 2010. Hari ini aku sekeluarga menghadiri dua majlis keraian di dua lokasi berbeza.

Jam 2.00 petang, kami ke Taman Desa Duyong kerana menghadiri majlis perkahwinan Sham dan Siti. Sham merupakan adik ipar kepada Hamzah manakala Hamzah pula merupakan sepupu kepada Ida, di mana keluarga mereka juga berasal daripada Alai. Sham dijodohkan dengan Siti, anak Nek Ngah Jenab yang berasal daripada Durian Daun Dalam, Melaka.

Malam sebelumnya, aku dan beberapa orang jemaah surau dijemput ke rumah berkenaan untuk majlis berzanji. Kami diangkut dengan sebuah van. Aku kira taman perumahan ini masih baru dan tidak ramai penghuninya.

Sewaktu kami tiba, majlis bersanding sudahpun selesai. Kelihatan rombongan di pihak perempuan sudah bersiap-siap untuk meninggalkan majlis. Tetapi tetamu dan jemputan tuan rumah masih bertali arus.

Pukul 2.40 petang, sesudah menjamu selera, kami berangkat ke Taman Air Molek. Di sini satu lagi majlis diadakan iaitu kenduri kesyukuran sambutan ulangtahun Muhammad Muhaimin, anak kepada Zahar. Zahar juga sepupu kepada Ida, anak Pak Ngah Ahmad dan kami menerima jemputan sehari sebelum majlis.

Sambil berbual-bual dengan tetamu yang lain, kami menjamu selera. Jam 3.50 petang, kami bertolak pulang ke Alai.

Duduk di kampung memang begitu. Boleh dikatakan setiap minggu ada kenduri. Kenduri kesyukuran, kenduri orang meninggal dunia, kenduri orang menunaikan haji, kenduri orang menunaikan umrah, kenduri kahwin dan bermacam kenduri lagi.

Kini cuti sekolah sudahpun bermula. Undangan ke majlis perkahwinan juga semakin banyak. Dan sebagai ahli masyarakat, kita seharusnya memenuhi undangan-undangan tersebut bagi meraikan majlis berkenaan.






















Tiada ulasan:

Catat Ulasan