Khamis, November 11, 2010

Berfikir Seperti Seorang Juara

Sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerja pagi semalam, aku tertarik dengan kata-kata motivasi Tuan Hj. Fazli Yusof yang berkongsi tips motivasinya di Ikim.fm mengenai gaya berfikir seperti seorang juara.

Menurut beliau, untuk berjaya kita mestilah memiliki mentaliti sama seperti orang yang berjaya dan mampu mencipta peluang untuk berjaya.

Apakah mentaliti seorang juara? Mentaliti juara ialah gaya berfikir positif orang-orang yang cemerlang. Orang yang mempunyai mentaliti ini akan berfikir secara optimis, proaktif dan bertanggungjawab penuh terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka tidak menyalahkan keadaan. Sebaliknya melihat masalah sebagai peluang untuk mencipta kejayaan.

Tuan Hj. Fazli Yusof berkongsi satu kisah tentang Carl Lewis yang meletakkan pingat emas Olimpik yang diperolehinya bersama jenazah jurulatih yang juga bapa kandungnya.

Apabila orang sekeliling bertanya mengapa beliau berbuat demikian, maka kata Carl Lewis, "Saya tidak berfikir adakah saya akan memenangi pingat emas Olimpik lagi pada tahun akan datang tetapi saya berfikir bagaimana tali garis penamat mengenai dada saya".

Begitulah gaya berfikir seorang juara iaitu berfikir secara objektif mengenai sesuatu yang ingin dicapai.
























Dr Walter Doyle Staples, penulis buku 'Think Like A Winner!' menggariskan 10 kepercayaan atau corak pemikiran yang sebenarnya menjadi asas kepada pencapaian hebat mereka yang berjaya. 10 kepercayaan tersebut ialah:

* Orang hebat bukanlah dilahirkan, mereka dicipta.
* Daya yang menentukan kewujudan anda adalah fikiran yang anda masukkan.
* Anda berkuasa dalam menentukan realiti anda.
* Terdapat hikmah disebalik kepayahan.
* Setiap kepercayaan anda adalah pilihan.
* Anda tidak dikalahkan sehinggalah anda menerima realiti bahawa anda dikalahkan dan mengambil keputusan untuk berhenti.
* Anda sememangnya mempunyai potensi berjaya sekurang-kurangnya satu kawasan dalam kehidupan anda.
* Batasan sebenar yang menghalang anda mencapai apa yang diingini dalam kehidupan ini adalah anda.
* Tiada pencapaian yang hebat tanpa komitmen yang hebat.
* Anda memerlukan sokongan anda kerjasama daripada orang lain dalam mencapai impian yang bermakna.

Suka atau tidak, pemahaman ini diterapkan orang hebat dalam hidup mereka. Dan inilah yang perlu kita ada dalam perjalanan menjadi insan yang hebat.

Bersediakah kita menjadi sang juara? Fikir-fikirkanlah...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan